Kerajaan Malaysia MADANI telah mengambil langkah progresif apabila memperkenalkan mekanisme subsidi diesel berasaskan MyKad yang akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Julai 2026.
Mekanisme Subsidi Diesel
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan subsidi diesel menerusi dua mekanisme berasingan iaitu bantuan tunai BUDI Diesel dan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
- BUDI Diesel memberi manfaat kepada pemilik kenderaan diesel, petani dan pekebun kecil.
- SKDS pula melibatkan kenderaan logistik dan pengangkutan awam yang menikmati diesel bersubsidi melalui sistem kad armada atau atau fleet card.
Walaupun inisiatif ini membantu sebahagian golongan tertentu, namun terdapat kekurangan dari segi ketelusan dan keberkesanan dalam memastikan subsidi sampai kepada pengguna yang benar-benar layak.

Harga Diesel Bersubsidi RM2.10 Seliter Beli Guna MyKad
Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) memperkenalkan sistem penyasaran subsidi diesel berasaskan MyKad yang seragam di seluruh negeri.
Penerima sedia ada BUDI Diesel Individu tidak lagi menerima bantuan tunai bulanan RM400 kerana bantuan berkenaan digantikan dengan subsidi terus di stesen minyak.
Melalui sistem baharu ini, rakyat Malaysia yang layak akan menikmati harga diesel bersubsidi sebanyak RM2.10 seliter berbanding harga semasa RM2.15 seliter.
Bagi bukan warganegara pula, mereka perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi iaitu harga pasaran semasa.
Sistem ini memudahkan pengguna melakukan pembelian diesel secara langsung di stesen minyak dengan menggunakan MyKad sebagai identifikasi utama. Pengguna boleh memilih sama ada untuk membayar secara tunai, kad debit, kad kredit atau menggunakan e-dompet terpilih seperti biasa.

Setiap penerima yang layak akan diberikan kuota asas sebanyak 200 liter sebulan yang boleh digunakan secara fleksibel sama ada untuk pembelian diesel atau petrol RON95 bersubsidi. Oleh itu, pengguna mempunyai kebebasan menentukan jenis bahan api yang diperlukan mengikut keperluan harian mereka.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha bagi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja sekali gus mengurangkan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ke negara jiran yang sering menjadi punca ketirisan besar dalam sistem subsidi negara.
Insentif Tambahan Pemilik Kenderaan Pikap Dan Jip
Selain kuota asas, pemilik kenderaan jenis pikap dan jip pula diberikan peluang memohon tambahan kuota sebanyak 100 liter menjadikan jumlah keseluruhan sehingga 300 liter sebulan.
Ini merupakan satu insentif membantu golongan pengguna yang memerlukan penggunaan bahan api lebih tinggi terutama bagi mereka yang bergantung kepada kenderaan tersebut untuk urusan perniagaan, aktiviti luar atau pengangkutan harian.

Harga Diesel Sarawak, Sabah Dan Labuan
Pengguna di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini menikmati subsidi diesel pada harga RM2.15 seliter akan menikmati penurunan kepada RM2.10 seliter sekali gus memberi sedikit kelegaan dari segi kos pengangkutan dan operasinya.
Seiring dengan usaha memperluaskan manfaat subsidi, kerajaan juga memperluaskan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) ke negeri Sabah dan Sarawak. Kini, kenderaan komersial di kawasan tersebut layak menikmati diesel pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan kad armada (fleet card).
Langkah ini menunjukkan perhatian kerajaan terhadap keperluan pengangkutan di kawasan luar bandar dan pedalaman di mana kos bahan api sering kali menjadi cabaran utama.
Pada masa yang sama, langkah penyelarasan harga ini akan membantu mengurangkan ketidakseimbangan harga bahan api antara Semenanjung Malaysia dan negeri-negeri di luar Semenanjung selain meningkatkan keadilan dalam pengagihan subsidi.
Semakan Kelayakan Dan Permohonan Kuota Tambahan
Kerajaan menyediakan pelbagai saluran kepada rakyat untuk menyemak kelayakan dan mengemukakan permohonan kuota tambahan.
Semakan boleh dibuat melalui portal rasmi BUDI MADANI selain di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Pendekatan ini memastikan proses permohonan lebih mudah dan telus serta memberi peluang kepada mereka yang benar-benar memerlukan untuk mendapatkan manfaat subsidi dengan lebih efisien.


