Ramadan adalah bulan dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ia merupakan bulan penuh keberkatan di mana setiap amal ibadah dilakukan akan dilipatgandakan pahalanya. Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa pada tarikh 19 Februari 2026 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1447 Hijrah.
Keistimewaan Bulan Ramadhan
Puasa di bulan Ramadan adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Ia merupakan latihan yang sangat baik melatih kesabaran, disiplin dan empati terhadap golongan kurang bernasib baik. Berpuasa, kita dapat merasai kelaparan dan kehausan sekali gus mengingatkan kita untuk bersyukur dengan nikmat diberikan oleh Allah SWT.
Ramadhan juga bulan untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan amal ibadah. Dalam bulan ini, umat Islam digalakkan melakukan lebih banyak ibadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan melakukan kebaikan.

Pengumuman Rasmi Tarikh 1 Ramadan 1447 Hijrah
Tarikh permulaan puasa ini akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. Pengumuman ini biasanya dilakukan secara langsung melalui siaran radio dan televisyen RTM pada 29 Syaaban yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 8 malam.
Proses penetapan tarikh puasa ini adalah berdasarkan kepada kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (perhitungan astronomi) yang dilakukan oleh Panel Pakar Falak (PPF) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebarang maklumat terkini, sila rujuk: Pengisytiharan Hari Mula Berpuasa Bulan Ramadhan
Tarikh-Tarikh Penting Islam 1447-1448H
| Tarikh Hijri | Tarikh Miladi | Hari Perayaan Kebesaran Islam |
|---|---|---|
| 27 Rejab 1447 | 17 Januari 2026 | Israk dan Mikraj |
| 1 Ramadan 1447* | 19 Februari 2026 | Awal Ramadhan / Berpuasa |
| 17 Ramadan 1447 | 7 Mac 2026 | Nuzul Al-Quran |
| 1 Syawal 1447 * | 21 Mac 2026 | Hari Raya Puasa / Aidilfitri |
| 1 Zulhijjah 1447 | 18 Mei 2026 | Awal Zulhijjah |
| 10 Zulhijjah 1447 * | 27 Mei 2026 | Hari Raya Korban / Aidiladha |
| 1 Muharam 1448 | 17 Jun 2026 | Awal Muharam / Maal Hijrah |
| 12 Rabiulawal 1448 | 25 Ogos 2026 | Maulidur Rasul |
| Tarikh bertanda * akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. | ||


