Bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam kalendar hijrah serta memiliki kedudukan istimewa atau kelebihan tersendiri. Di antara amalan sunat digalakkan adalah Puasa Asyura dan Puasa Tasu’a yang boleh dilakukan pada tarikh 9, 10 Muharram.
Kelebihan Bulan Muharram
Sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran dan Hadis, bulan Muharram adalah bulan mempunyai kelebihan. Ia merupakan bulan pertama dalam kalendar hijrah yang bermaksud bulan ini menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam.

Selain itu, bulan Muharram juga dikenali sebagai bulan mulia kerana Allah SWT telah mengangkat darjatnya sebagai bulan haram di mana peperangan dan kezaliman sangat dilarang.
Oleh itu, umat Islam disarankan untuk memanfaatkan peluang ini dengan memperbanyakkan amal ibadah termasuk berpuasa sunat, bersedekah dan memperbaiki hubungan silaturrahim.
Tarikh Puasa Hari Asyura Dan Puasa Hari Tasu’a 2026
Puasa sunat pada bulan Muharram, khususnya pada Hari Tasu’a (9 Muharram) dan Hari Asyura (10 Muharram) adalah amalan yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Bagi tahun 1448 Hijrah bersamaan tahun Masihi 2026, tarikh-tarikh penting bagi amalan puasa sunat dalam bulan Muharram adalah seperti berikut:
| Perkara | Tarikh Hijrah | Tarikh Masihi |
|---|---|---|
| Puasa Hari Tasu’a | 9 Muharam 1448 | 25 Jun 2026 |
| Puasa Hari Asyura | 10 Muharam 1448 | 26 Jun 2026 |
| Puasa 11 Muharram | 11 Muharram 1448 | 27 Jun 2026 |
| Puasa Hari Putih | 13, 14, 15 Muharram 1448 | 29, 30 Jun & 1 Julai 2026 |

Lafaz Niat Puasa Hari Asyura Dan Hari Tasua
Berikut adalah lafaz niat puasa sunat di bulan Muharram dalam bahasa Rumi dan Arab. Anda boleh menggunakan lafaz niat sepertimana di bawah atau rujuk kepada lampiran disertakan.
Niat Puasa Sunat Hari Tasu’a
- نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى
- Bacaan Rumi: Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnatal Lillahita’ala
- Maksudnya: Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana Allah Ta’ala
Niat Puasa Sunat Hari Asyura
- نَوَيْتُ صَوْم عشرسُنَّة لله تَعَالى
- Bacaan Rumi: Nawaitu Sauma Asyura Sunnatal Lillahita’ala
- Maksudnya: Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala

Hikmah Puasa Asyura
Puasa Asyura pada 10 Muharram mempunyai sejarah tersendiri. Ia dikaitkan dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam iaitu penyelamatan Nabi Musa AS dan kaumnya dari kezaliman Firaun.
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda bahawa orang Islam disarankan untuk berpuasa pada hari Asyura sebagai tanda syukur atas kemenangan Nabi Musa dan kaumnya ke atas Firaun yang zalim.
Selain itu, puasa Asyura juga sebagai penebus dosa setahun yang lalu. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Aku berharap agar Allah mengampuni dosa tahun sebelumnya.” (Riwayat Muslim). Oleh itu, amalan berpuasa pada hari ini memberikan peluang kepada umat Islam untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan amal ibadah dan mendapatkan keampunan Allah SWT.
Sila rujuk: Rujukan Hadis Dan Fakta Sahih Kelebihan 10 Muharram

Hikmah Puasa Tasu’a
Puasa Tasu’a dilakukan sehari sebelum Hari Asyura iaitu pada 9 Muharram juga sangat digalakkan. Rasulullah SAW sendiri pernah berpuasa pada hari Tasu’a dan menganjurkan umat Islam berpuasa pada hari tersebut sebagai satu bentuk ibadah tambahan.
Sila rujuk: Dalil Keutamaan Puasa Tasu’a
Berpuasa pada hari Tasu’a dan Asyura dapat membantu meningkatkan kesabaran, memperbaiki akhlak dan menanam rasa hormat terhadap sejarah dan perjuangan nabi-nabi serta pejuang agama.
Ia juga memberi peluang untuk kita merenung kembali perjalanan hidup, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keimanan agar menjadi hamba yang lebih bertakwa.
Selamat menyambut bulan Muharram. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan memberkati setiap langkah kita dalam melaksanakan amalan sunnah ini.


