Proses pemilihan pelajar ke sekolah khusus adalah melalui ujian PKSK atau Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus. Ujian ini adalah kaedah penilaian standard berpusat sebagai syarat utama permohonan Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 di Sekolah Khusus bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti SBP, SMKA, KV, SMT, MTD dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu MRSM.
Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus
Pengumuman mengenai PKSK dibuat selepas pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebagai syarat kemasukan ke sekolah khusus bermula tahun 2021.
Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus bertujuan menambah baik dan memodenkan proses pemilihan pelajar ke sekolah berprestasi tinggi seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja serta terkini Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Langkah ini diambil untuk memberi penekanan kepada penilaian holistik yang tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, tetapi juga perkembangan kecerdasan insaniah serta aspek rohani dan emosi pelajar.
PKSK merupakan satu sistem pentaksiran berpusat yang dilaksanakan secara dalam talian melalui single entry point. Sistem ini dibangunkan bagi memastikan proses permohonan dan penilaian pelajar adalah adil, telus dan efisien serta mampu mengurangkan bebanan birokrasi yang sebelum ini sering membelenggu pelajar dan ibu bapa.

Siapa Yang Perlu Menduduki PKSK?
PKSK terbuka kepada dua kumpulan utama pelajar:
- Murid Tahun 6 sesi semasa yang berhasrat memasuki Tingkatan 1 di sekolah khusus seperti SBP, SMKA dan MRSM.
- Murid Tingkatan 3 sesi semasa yang ingin memohon kemasukan ke Tingkatan 4 di sekolah khusus SBP, SMKA, SMT, KV, MTD, dan MRSM.
Syarat utama untuk menduduki ujian ini adalah:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 12 tahun (Tahun 6) atau 15 tahun (Tingkatan 3) pada tahun permohonan.
- Berdaftar dalam Modul Pengurusan Murid KPM (APDM/MOEIS).
Ujian PKSK
- Fasa 1: Pilih & Mohon Sekolah
Ibu bapa perlu log masuk ke portal rasmi KPM untuk mengisi borang permohonan online. Di sini, mereka boleh memilih jenis sekolah khusus yang diingini seperti SBP, KV, MRSM dan lain-lain. - Fasa 2: Cetak Slip Pusat Ujian
Setelah permohonan ditutup, ibu bapa perlu menyemak semula portal dan mencetak Slip Ambil Ujian yang mengandungi maklumat penting seperti tarikh, masa dan lokasi pusat ujian. - Fasa 3: Menduduki Ujian PKSK
Calon hadir ke pusat ujian yang telah ditetapkan dan menjawab ujian secara berkomputer (digital). - Fasa 4: Semakan Keputusan & Tawaran
KPM akan menilai markah merit dan mengumumkan calon yang berjaya mendapatkan tempat di sekolah yang dipohon.

Format Ujian PKSK
Ujian PKSK untuk menilai aspek akademik, sahsiah, kemahiran berfikir dan daya kepimpinan pelajar. Ia terbahagi kepada tiga bahagian utama:
Bahagian A: Kecerdasan Insaniah
- 30 soalan objektif tanpa jawapan betul atau salah.
- Mengukur ciri keperibadian, emosi, dan sahsiah pelajar.
- Contoh: “Jika rakan anda tidak mahu menyiapkan tugasan bersama, apakah tindakan anda?”
- Sumbangan markah: 20%.
Bahagian B: Kecerdasan Intelek
- 70 soalan objektif termasuk Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pengetahuan Am.
- Bahasa Inggeris meliputi 10 soalan khas.
- Contoh: “Siapakah Perdana Menteri Malaysia yang terkini?”
- Sumbangan markah: 70%.
Bahagian C: Artikulasi Penulisan
Pelajar memilih satu daripada tiga tajuk untuk ditulis sebagai karangan.
- Tempoh masa: 45 minit.
- Minimum perkataan: 100 (Tingkatan 1) dan 250 (Tingkatan 4).
- Sumbangan markah: 10%.
- Contoh tajuk: “Kesan penggunaan gajet secara berlebihan terhadap pelajar”.
Tips Persediaan PKSK
Berikut adalah beberapa tips penting untuk calon yang akan menduduki PKSK:
- Fahami Format Ujian
Ketahui setiap bahagian dan fokus kepada aspek yang akan diuji. - Latih Diri dengan Contoh Soalan
Amalkan menjawab soalan objektif dan latihan penulisan karangan. - Bawa Dokumen Penting
Pastikan membawa MyKad/MyKid, slip ujian, dan alat tulis. - Patuhi Waktu
Hadir di pusat ujian tepat pada masa dan ikut arahan staf. - Jaga Kesihatan
Rehat yang cukup dan makan sebelum hari ujian untuk kekal fokus. - Pakai Pakaian Sekolah Lengkap
Mematuhi kod pakaian untuk kelancaran proses. - Tenang & Fokus
Urus masa dengan baik dan baca soalan dengan teliti.


