Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) berobjektif menyelaraskan proses permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara sama seperti sistem UPU yang digunakan bagi permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Saluran UP TVET melancarkan proses permohonan menjadi lebih mudah dan efisien.
TVET Saluran Tunggal Permohonan Kursus Kemahiran
Semua permohonan ke institusi TVET di seluruh Malaysia kini melalui satu saluran sahaja, iaitu portal UP TVET. Langkah ini diambil selepas mesyuarat Majlis TVET (MTVET) Bil 3/2023 yang bertujuan menyelaraskan proses permohonan dan mengelakkan pertindihan maklumat serta kekeliruan kepada pemohon.
TVET, singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional merupakan satu pendekatan pendidikan yang memberi penekanan utama kepada latihan praktikal dan industri. Ia bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan relevan selaras keperluan pasaran kerja tempatan dan global.
Pengenalan UP TVET juga merupakan usaha kerajaan memperluaskan akses pendidikan vokasional kepada semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya.

UP TVET: Senarai Institusi Terlibat
Pelbagai institusi awam terlibat dalam sistem UP TVET, antaranya termasuk:
- Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang mengendalikan ILP, ADTEC dan JMTI.
- GIATMARA dan Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH).
- Kolej KEDA, RISDA dan Akademi Perikanan Malaysia.
- ILKBS: IKBN/IKTBN
- Kolej Pertanian dan institusi latihan lain di seluruh negara.
Setiap institusi menawarkan pelbagai kursus kemahiran dari jangka pendek ke jangka panjang bagi memastikan pelajar mendapat latihan yang relevan dan berkualiti.

Cara Buat Permohonan UP_TVET
Calon-calon berminat menyertai program TVET tidak perlu risau kerana sistem UP TVET menyediakan proses permohonan mudah dan tidak memerlukan pembelian pin. Langkah-langkah permohonan adalah seperti berikut:
- Daftar Akaun Baru
Layari portal rasmi UP TVET di https://mohon.tvet.gov.my dan klik Daftar. Isikan maklumat peribadi secara lengkap dan lengkapkan pendaftaran. Setelah selesai, klik Daftar Pengguna. - Log Masuk dan Pilih Kursus
Setelah akaun didaftarkan, log masuk ke portal dan pilih kursus dari senarai yang lengkap. Anda boleh membuat carian berdasarkan kursus, institusi atau lokasi negeri. - Permohonan dan Hantar
Pilih kursus, lengkapkan maklumat permohonan dan tekan Mohon. Setelah semak dan sah, klik Hantar untuk menghantar permohonan. - Semak Status Permohonan
Pemohon boleh menyemak status permohonan di portal. Notifikasi tawaran kursus akan dihantar melalui emel. - Pengesahan Tawaran
Calon yang menerima tawaran perlu mengesahkan penerimaan di portal. Jika tiada tawaran diterima, permohonan boleh dikemukakan semula dalam fasa rayuan dibuka.
Bila Tarikh Permohonan UP_TVET Dibuka
Terdapat dua kategori UP_TVET iaitu Perdana dan Flexi.
- UP_TVET Perdana
Program pengajian sepenuh masa disediakan oleh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh Malaysia bagi ambilan bulan Januari dan Julai pada setiap tahun. Sila rujuk kepada Jadual Ambilan Perdana untuk maklumat lanjut. - UP_TVET Flexi
Program pengajian sepenuh masa serta program mikro-kredensial disediakan oleh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh Malaysia dengan ambilan sepanjang tahun.

Jenis Permohonan UP TVET
Terdapat dua kategori utama permohonan dalam sistem UP TVET:
- UP TVET Perdana
Kemasukan ke institusi TVET awam, termasuk ILP, ADTEC, JMTI, GIATMARA dan lain-lain. Dibuka dua kali setahun iaitu Januari dan Julai. - UP TVET Flexi
Kursus jangka pendek dan latihan kemahiran lebih fleksibel, sesuai untuk mereka yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya. Permohonan dibuka sepanjang tahun.
Sebarang maklumat lanjut anda boleh layari Facebook Rasmi UP TVET Malaysia.
Kelebihan TVET
Program TVET kini semakin mendapat perhatian berikutan keperluan tenaga kerja mahir di Malaysia. Selain peluang pekerjaan yang cerah, pelajar TVET juga berpeluang menyertai program latihan industri, mendapat sijil kemahiran yang diiktiraf dan seterusnya membina kerjaya stabil.


