Beli Minyak RON95 Kena Tunjuk Dan Scan MyKad (IC)?

Beli Minyak RON95 Kena Tunjuk Dan Scan MyKad (IC)? Rakaman video memaparkan pengguna perlu mengimbas Mykad untuk membeli minyak Petrol RON95 bersubsidi.

Satu inovasi baharu bakal diperkenalkan melalui penggunaan sebuah alat merevolusikan subsidi secara bersasar Petrol RON95 di Malaysia seiring usaha kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan pengagihan subsidi bahan api dan mengurangkan penyalahgunaan.

Alat tersebut menjadi bualan hangat di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi 1 minit 15 saat dimuat naik dan tular di aplikasi TikTok dan Threads. Melalui rakaman, dapat dilihat bahawa alat tersebut mengimbas MyKad pengguna untuk menentukan kelayakan mereka menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter sepertimana diumumkan.

Rakaman Video Alat Scan IC Beli Petrol RON95

Video berkenaan memaparkan sesi latihan kepada operator stesen minyak mengenai cara penggunaan alat tersebut. Dalam video tersebut, jelas kelihatan bagaimana operator diberi panduan lengkap mengenai pengoperasian alat yang bakal menjadi nadi utama sistem subsidi bersasar ini.

Selain menunjukkan proses pemasangan dan latihan, rakaman tersebut menekankan bahawa sistem ini menggunakan MyKad sebagai mekanisme pengesahan utama. Ini bermakna, setiap pengguna yang ingin membeli petrol RON95 perlu mengimbas MyKad mereka terlebih dahulu untuk mengesahkan kelayakan mereka sebagai penerima subsidi.

beli minyak guna mykad

Berdasarkan rakaman video itu juga, operator stesen minyak diberikan latihan ringkas mengenai cara penggunaannya. Alat tersebut dilihat berfungsi secara automatik dan berintegrasi penuh dengan sistem pengesahan identiti melalui MyKad. Paparan skrin akan menunjukkan tiga status utama:

  • Warna Biru
    Menunjukkan pelanggan layak menikmati subsidi RM1.99 seliter.
  • Warna Merah
    Menandakan kuota subsidi untuk hari itu telah habis dan pelanggan perlu membeli pada harga pasaran penuh.
  • Ralat
    Dipaparkan jika pengguna tidak layak disebabkan oleh masalah pengesahan atau faktor lain.

Selain itu, alat tersebut tidak hanya menyemak kelayakan tetapi juga membolehkan operator mencipta pesanan berdasarkan jumlah pam yang digunakan pelanggan, mengesahkan jumlah isian minyak serta mengeluarkan resit secara automatik.

Fungsi tersebut dilihat memudahkan proses semakan dan pembayaran, sekali gus memastikan maklumat disimpan dengan rapi dan sistem pengagihan subsidi dapat dilaksanakan secara telus dan efisien.

Penambahbaikan Proses Penyasaran Subsidi RON95

Satu langkah progresif dalam usaha kerajaan untuk penambahbaikan penyasaran subsidi RON95 di Malaysia adalah penggunaan teknologi moden, diharapkan sistem ini mampu memberikan manfaat maksimum kepada rakyat yang memerlukan sambil memastikan dana subsidi digunakan secara berhemah dan berkesan.

Pengguna berharap dengan penggunaan teknologi ini, proses pengagihan subsidi dapat dikawal dengan lebih telus dan efisien sekali gus membantu mengurangkan penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi petrol yang selama ini dilaporkan berlaku secara meluas.

Kesan Positif Dan Cabaran Penambahbaikan Subsidi RON95

Dengan penambahbaikan penyasaran ini, diharapkan ia mampu memberi manfaat besar kepada rakyat yang benar-benar layak menerima subsidi petrol RON95. Ia juga mampu meningkatkan integriti sistem pengagihan bahan api di Malaysia, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat cabaran yang perlu dihadapi, termasuk dari segi teknologi dan penerimaan pengguna. Penggunaan MyKad sebagai pengesahan perlu diuruskan dengan baik agar tidak menimbulkan isu keselamatan data dan privasi pengguna. Selain itu, latihan yang berkesan kepada operator di stesen minyak juga amat penting untuk memastikan proses pengoperasiannya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kongsi Artikel