Umur 6 Tahun Boleh Daftar Darjah 1-2027, Prasekolah 5 Tahun

Malaysia MADANI melalui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa bermula tahun 2027, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala Tahun Satu pula akan mula diperkenalkan kepada kanak-kanak berusia enam tahun.

Umur Enam Tahun Masuk Darjah 1 & Umur 5 Tahun, Prasekolah

Pengumuman ini merupakan satu langkah progresif menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan menyediakan asas pendidikan sejak awal lagi. Menurut Perdana Menteri dalam satu kenyataan media, perubahan ini tidak serta-merta diwajibkan kepada semua ibu bapa. Sebaliknya, ia diberikan ruang masa dan pilihan kepada ibu bapa untuk bersedia menerima sistem baharu ini.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap situasi dan keperluan setiap keluarga. Ia memberi peluang kepada ibu bapa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan secara berperingkat dan tidak terburu-buru, sekali gus memastikan pengalaman pendidikan awal anak-anak tidak menjadi beban atau tekanan.

umur 6 tahun darjah 1

Fokus Kepada Prasekolah Berkualiti

Perubahan ini turut memberi penekanan kepada program prasekolah yang kini mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan. Perdana Menteri menyatakan, seluruh sistem prasekolah akan diambil alih dan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia bertujuan memastikan kualiti pendidikan prasekolah dapat dipertingkatkan dan memenuhi standard ditetapkan seterusnya menyediakan anak-anak dengan asas akademik dan kemahiran sosial sebelum memasuki alam persekolahan formal.

Kerajaan percaya bahawa prasekolah bukan sekadar tempat bermain dan belajar ringkas tetapi sebuah platform yang mampu membentuk personaliti dan keupayaan anak-anak sejak usia muda. Melalui penambahbaikan sistem ini, diharapkan anak-anak dapat memulakan persekolahan dengan lebih yakin, berkemampuan dan bersedia menghadapi cabaran pembelajaran di Tahun Satu kelak.

Tindakan Dan Persediaan Rapi

Menerusi ucapan di Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, Perdana Menteri menegaskan bahawa persiapan segera perlu dilakukan oleh KPM. Beliau menegaskan bahawa kemudahan asas, termasuk infrastruktur, tenaga pengajar dan sumber pendidikan harus diperkemas dan dipercepatkan bagi memastikan sistem baru ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Langkah ini pastinya menimbulkan pelbagai cabaran terutama persediaan dari segi latihan tenaga pengajar, penyesuaian kurikulum dan penyediaan kemudahan asas yang mencukupi. Ia memerlukan kerjasama erat daripada semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah dan kementerian berkaitan. Kerajaan turut berharap agar ibu bapa dapat memberi sokongan penuh dan bersedia untuk menyokong perubahan ini demi kepentingan anak-anak mereka.

Penulis mengharapkan, pelaksanaan sistem ini juga diharapkan mampu membawa perubahan positif dalam pencapaian akademik dan pembangunan holistik kanak-kanak. Apabila memulakan pendidikan dari usia lima tahun, kanak-kanak berpeluang membina asas, mengasah kemahiran sosial dan daya kreativiti mereka sejak dari awal lagi.

info darjah 1 2027

Info Penting Kemasukan Tahun 1 Mulai 2027

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan beberapa garis panduan berkaitan kemasukan murid berumur 6 tahun (5+) ke Tahun Satu bagi tahun 2027 dan seterusnya. Perubahan tersebut merupakan satu langkah strategik yang dirancang bagi memberi manfaat terbaik serta aspek utama perlu difahami oleh ibu bapa atau penjaga dalam proses kemasukan dan kesiapan kanak-kanak mengharungi alam persekolahan.

Umur 7 Tahun Kekal Laluan Biasa Masuk Tahun Satu

Sistem pendidikan di Malaysia telah lama mengekalkan umur 7 tahun sebagai umur standard memasuki Tahun Satu. Keputusan ini dibuat berdasarkan kajian perkembangan kanak-kanak secara psikologi dan akademik yang menunjukkan bahawa pada umur ini, kebanyakan kanak-kanak sudah mencapai tahap kesiapan mental dan fizikal untuk memulakan pendidikan formal.

Umur 6 Tahun (5+) Hanyalah Pilihan, Bukan Kewajipan

Walaupun umur 7 tahun kekal sebagai laluan utama, kemasukan awal berumur 6 tahun (5+) kini dilihat sebagai satu pilihan yang terbuka kepada ibu bapa dan penjaga. Ia bukanlah satu keperluan wajib tetapi satu peluang yang boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan dan keadaan anak masing-masing.

Pendekatan ini memberi ruang kepada ibu bapa menilai sendiri sama ada anak mereka sudah cukup bersedia untuk memulakan alam persekolahan lebih awal tanpa memaksa anak mereka mengikuti jadual standard jika mereka belum benar-benar bersedia dari segi perkembangan fizikal, mental dan sosial.

Kemasukan Awal Melalui Saringan Kesediaan

Proses kemasukan awal ini tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia melalui satu sistem saringan kesediaan yang komprehensif dan objektif bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan kanak-kanak dari aspek akademik, sosial dan emosional.

Saringan ini biasanya melibatkan penilaian oleh pihak sekolah atau pihak berwajib yang berpengalaman serta melibatkan ibu bapa dalam proses membuat keputusan. Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa anak-anak yang dipilih untuk kemasukan awal benar-benar mempunyai kebolehan dan kesiapan untuk menghadapi cabaran pembelajaran serta menjamin pengalaman awal mereka di sekolah adalah positif dan membina.

Tiada Penambahan Tempoh Persekolahan

Walaupun terdapat kemasukan awal berumur 6 tahun, tempoh persekolahan di peringkat rendah dan menengah tidak akan bertambah panjang. Sistem pendidikan di Malaysia tetap mengekalkan struktur sedia ada.

Kebajikan, Perkembangan Dan Kesiapan Diutamakan

Sistem pendidikan dan proses kemasukan awal ini memastikan bahawa hak dan keperluan kanak-kanak tidak terabai. Program saringan kesediaan tidak hanya menilai aspek akademi tetapi juga aspek emosi, sosial dan fizikal bagi memastikan bahawa setiap kanak-kanak mendapat peluang membangun potensi mereka secara menyeluruh.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia

Kongsi Artikel

Azam Hairi

Azam Hairi

Penulis utama laman web mysumber dengan pengalaman lebih 5 tahun dalam menghasilkan kandungan digital berkualiti. Berkomited menyampaikan maklumat sahih, relevan dan terkini bagi memastikan setiap pembaca mendapat info yang tepat dan bermanfaat.

"Seorang penulis yang yakin idea hebat akan datang. Cuma tidak pasti bila."