Apa yang berlaku apabila MyKad kita miliki mengalami kerosakan? Jangan khuatir, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menyediakan pelbagai saluran dan kemudahan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan kad pengenalan baharu.
MyKad Rosak Perlu Ganti Baru
JPN telah memperkenalkan pelbagai saluran membolehkan rakyat Malaysia menukar MyKad rosak dengan mudah tanpa perlu beratur panjang.
Terdapat 210 kaunter di seluruh negara menyediakan perkhidmatan ini, selain daripada kemudahan Bas dan Van Bergerak MEKAR JPN berfungsi sebagai kaunter bergerak boleh diakses di pelbagai lokasi strategik. Tambahan pula, rakyat Malaysia kini boleh menghubungi talian MyPhone-In yang disediakan oleh JPN atau membuat permohonan secara dalam talian (online) melalui JPN e-Services.

Prosedur Permohonan Ganti Mykad Baru
Pemohon hanya perlu membawa MyKad rosak dan bil utiliti sekiranya ingin menukar alamat. Jika hadir ke kaunter atau perkhidmatan MEKAR, pemohon dinasihatkan supaya berpakaian kemas kerana gambar MyKad dikemas kini secara langsung di situ.
Permohonan melalui MyPhone-In dan JPN e-Services pula, gambar serta maklumat alamat tidak boleh dikemas kini secara dalam talian. Oleh itu, apabila hadir ke pejabat JPN, pemohon tetap perlu membawa MyKad rosak untuk tujuan pengambilan kad baharu.

Bila Perlu Ganti MyKad Terkini
JPN menegaskan bahawa MyKad perlu diganti berdasarkan beberapa situasi tertentu. Antaranya jika kad tidak dapat dibaca oleh mesin atau kiosk layan diri, urusan di bank atau agensi kerajaan ditolak kerana sistem tidak dapat mengesan data kad. Selain itu, kerosakan fizikal seperti calar, retak, bengkok atau kad yang terdedah kepada haba tinggi dan air juga menjadi sebab utama untuk melakukan penggantian.
MyKad yang telah digunakan melebihi 10 tahun juga disarankan untuk diganti kerana cip di dalamnya berisiko haus atau terpadam sekali gus menjejaskan keberkesanan penggunaannya.

Harga Tukar Mykad Dan Tempoh Proses
JPN menetapkan bayaran penggantian MyKad adalah sebanyak RM10 manakala bagi MyKAS dan MyPR pula adalah RM40. Walau bagaimanapun, jika permohonan penggantian dilakukan dalam tempoh 12 bulan selepas kad rosak diserahkan, proses ini adalah percuma.
Tempoh siap penggantian pula berbeza mengikut lokasi di Ibu Pejabat Negeri, cawangan UTC dan cawangan terpilih, prosesnya hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Manakala di cawangan lain di Semenanjung Malaysia, ia mengambil masa lima hari bekerja. Bagi negeri Sabah, Sarawak dan Labuan pula, tempoh penyelesaian adalah selama tujuh hari bekerja.
Tip Penjagaan MyKad
JPN berkongsi beberapa tip penting memastikan MyKad kekal dalam keadaan baik dan tidak cepat rosak. Antaranya, menyimpan kad dalam bekas khas yang disediakan, tidak membengkok atau melipat kad serta mengelakkan kad terdedah kepada haba tinggi dan air.
Selain itu, elakkan meletakkan kad berdekatan magnet yang boleh merosakkan cip di dalamnya. Juga, pastikan menjauhkan kad daripada geseran kasar atau mesin tidak dikenali yang boleh menyebabkan kerosakan fizikal.



