Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia MADANI bertujuan menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada rakyat yang menghadapi cabaran ekonomi akibat kenaikan kos sara hidup. Ia memberi peluang kepada golongan sasar untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bahan kebersihan diri dan barangan persekolahan dengan lebih mudah melalui sistem kredit yang disalurkan secara automatik ke akaun MyKad mereka. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan penerima mendapatkan keperluan harian malah mengurangkan beban kewangan mereka secara langsung.
Syarat Kelayakan Penerima SARA 2026
Program SARA 2026 menumpukan perhatian kepada golongan benar-benar memerlukan termasuk mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan miskin eKasih serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan. Data yang digunakan untuk menentukan kelayakan ini dikemaskini secara berkala melalui rekod rasmi eKasih dan maklumat permohonan STR yang diluluskan.
Antara syarat utama kelayakan termasuklah:
- Warganegara Malaysia.
- Lulus permohonan STR 2026 dalam kategori berkenaan.
- Tersenarai sebagai penerima Miskin Tegar / Miskin eKasih pada tarikh tertentu atau kategori berkenaan dalam rekod rasmi kerajaan.

Pelaksanaan SARA Secara Automatik
SARA dilaksanakan secara automatik tanpa memerlukan penerima membuat permohonan secara khusus. Setelah disahkan layak, penerima akan menerima bantuan dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad mereka. Sistem ini berfungsi secara cashless, di mana elaun bantuan direkodkan secara automatik ke dalam akaun MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan yang diluluskan.
Jumlah Bantuan Dan Kadar Kelayakan
Bagi kategori Miskin Tegar dan Miskin eKasih, elaun bulanan yang diberikan bermula dari RM200 sebulan manakala bagi kategori Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas Tiada Pasangan pula, elaun yang diberikan antara RM50 hingga RM150 sebulan. Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan elaun yang bakal diterima sepanjang 12 bulan adalah antara RM600 hingga RM2,400, bergantung kepada kategori dan status kelayakan.

Sebagai contoh, penerima STR dari kategori Miskin Tegar atau Miskin eKasih akan menerima elaun sebanyak RM200 setiap bulan. Manakala bagi kategori lain seperti Isi Rumah, Bujang dan Warga Emas, elaun yang diterima adalah bergantung kepada penilaian dan kategori ditetapkan, memastikan bantuan yang diberikan tepat mengikut keperluan.
Cara Semakan Kelayakan SARA
Penerima dan bakal penerima boleh menyemak status kelayakan mereka melalui pelbagai saluran rasmi yang disediakan, termasuk:
- Surat makluman rasmi selepas kelulusan STR.
- Sistem Pesanan Ringkas (SMS blast) dan aplikasi WhatsApp yang disediakan oleh Yayasan MyKasih.
- Portal rasmi SARA dan STR di https://sara.gov.my dan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
- Menghubungi talian khidmat pelanggan untuk maklumat lanjut dan semakan status.

Semakan secara berkala akan dilakukan berdasarkan data terkini daripada rekod eKasih dan permohonan STR yang diluluskan, memastikan hanya yang benar-benar layak sahaja menerima manfaat ini.
Jadual Pembayaran Dan Kadar Bayaran SARA 2026

Elaun bulanan akan dikreditkan ke dalam akaun MyKad penerima setiap bulan bermula Januari 2026 hingga Disember 2026. Penerima boleh menggunakan elaun tersebut untuk membeli barangan keperluan asas yang dilabelkan dan diluluskan termasuk beras, telur, minyak masak, produk kebersihan diri, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Baki elaun yang tidak digunakan dalam bulan tersebut akan dibawa ke bulan berikutnya sehingga tamat tempoh program. Sekiranya baki tidak digunakan selepas 31 Disember 2026, ia akan secara automatik luput dan tidak boleh dipindahmilik atau digunakan selepas tempoh tersebut.
Pembelian Barangan Melalui Rakan Niaga SARA
Program SARA bekerjasama dengan lebih 8,400 rakan niaga di seluruh negara termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Giant, Econsave, Tesco dan beberapa kedai runcit berdaftar. Penerima hanya perlu menunjukkan MyKad mereka dan memilih barangan keperluan asas yang berlabelkan MyKasih di rak tanda harga, kemudian membuat pembayaran menggunakan MyKad di kaunter.
Sila Semak: Senarai Pasar Raya Dan Kedai Runcit SARA


