Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara salah satu penanda aras penting menentukan perjalanan akademik pelajar serta masa depan mereka. Keputusan pelajar dalam SPM tidak hanya menjadi ukuran kejayaan individu tetapi turut mencerminkan keberkesanan sistem pendidikan negara dan pencapaian sekolah-sekolah yang mendidik generasi pelajar ini.
Gred Purata: Kedudukan Ranking MRSM SBP
Gred Purata Sekolah (GPS) dan Gred Purata Maktab (GPM) adalah satu ukuran purata gred yang diperoleh oleh semua pelajar SBP dan MRSM bagi peperiksaan SPM. Ia dikira berdasarkan semua gred yang dicatatkan oleh pelajar sekolah tersebut, dan semakin rendah nilai GPS, semakin baik prestasi akademik sekolah berkenaan.
Sebagai contoh, sebuah sekolah dengan GPS 1.50 menunjukkan pencapaian gred yang lebih tinggi berbanding sekolah dengan GPS 2.50. Dengan kata lain, sekolah yang mempunyai GPS lebih rendah biasanya mempunyai jumlah pelajar memperoleh gred tinggi seperti A dan A+.
Meskipun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengeluarkan senarai rasmi kedudukan ranking sekolah berdasarkan keputusan SPM, Gred Purata diakui secara meluas sebagai indikator utama untuk menilai dan membandingkan prestasi akademik sekolah-sekolah tersebut di seluruh negara.
Melalui data GP, pelbagai pihak termasuk media, komuniti pendidikan dan institusi tertentu dapat memperlihatkan pencapaian sekolah dan mengenal pasti institusi yang berjaya mengekalkan standard akademik.
Penilaian Ranking MRSM SBP
Penilaian berdasarkan GPM/GPS sering digunakan sebagai rujukan bagi menilai keberkesanan pengajaran dan pencapaian pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Ranking ini cukup berpengaruh membentuk persepsi tentang prestasi akademik sekolah tertentu.
Sebagai contoh, perbandingan GPS antara tahun menunjukkan perubahan prestasi di kalangan SBP yang terbaik. Ada sekolah menunjukkan peningkatan GPS, menandakan peningkatan pencapaian pelajar manakala ada juga mencatatkan sedikit penurunan. Perubahan ini memberi gambaran tentang keberkesanan strategi pendidikan dan usaha berterusan meningkatkan prestasi pelajar.
Begitu juga dengan ranking MRSM yang merangkumi pelbagai aliran termasuk MRSM Premier, Ulul Albab, Teknikal, Bitara, IGCSE, dan IB-MYP. Penilaian ini dilakukan berdasarkan Gred Purata Maktab (GPM), menggambarkan pencapaian keseluruhan pelajar di setiap jenis MRSM. Data ini penting memberi gambaran tentang keberkesanan program-program khusus ditawarkan dan sejauh mana mereka berjaya mengekalkan standard akademik.
Mengapa Ranking Ini Penting?
Ranking sekolah melalui Gred Purata adalah cerminan keberkesanan sistem pengajaran, dedikasi tenaga pengajar serta komitmen pelajar dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan akademik. Sekolah yang berjaya mengekalkan GPS rendah dianggap mampu menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif sekali gus membantu melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang mampu bersaing di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Selain itu, ranking ini juga membantu pihak berwajib dan komuniti pendidikan mengenal pasti sekolah yang memerlukan sokongan dan penambahbaikan. Ia dapat menjadi panduan meningkatkan kualiti pendidikan secara keseluruhan di Malaysia.
Cabaran Dan Kritikan Ranking
Walaupun mempunyai manfaat, ranking berdasarkan Gred Purata juga tidak terlepas daripada kritikan. Salah satu isu utama ialah ia hanya menilai aspek akademik sahaja dan tidak mengambil kira aspek lain seperti kokurikulum, pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan inovasi pelajar. Oleh itu, terdapat pandangan menyatakan bahawa penilaian ini tidak mencerminkan keseluruhan pencapaian pelajar dan sekolah.
Selain itu, kekurangan pengumuman rasmi oleh KPM mengenai ranking ini menyebabkan ketidaktentuan dan kemungkinan penyebaran maklumat tidak tepat. Ada juga berpendapat bahawa penekanan berlebihan terhadap GP boleh menimbulkan tekanan kepada pelajar dan sekolah untuk mencapai kedudukan tertinggi yang mungkin tidak selalu selaras dengan objektif pembelajaran sebenar.
Senarai Sekolah Terbaik 2026 SBP MRSM Keputusan SPM 2025
Kita harus melihat senarai ranking ini secara bijaksana, menggunakannya sebagai salah satu daripada pelbagai penanda aras dalam menilai kejayaan pendidikan.
Nota editor: Senarai terkini ranking sekolah terbaik 2026 berdasarkan keputusan SPM 2025 akan disertakan sebaik sahaja keputusan diumumkan. Harap maklum.

Kedudukan Ranking MRSM SPM 2024
Berikut adalah senarai kedudukan ranking Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terbaik (tahun 2025) bagi keputusan peperiksaan SPM 2024 berdasarkan Gred Purata Maktab (GPM).
Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
- Kuala Kubu Bharu: 1.261
- Kepala Batas: 1.312
- Johor Bahru: 1.350
- Tun Ghafar Baba, Jasin: 1.390
- Gemencheh: 1.411
- Taiping: 1.414
- Pengkalan Chepa: 1.439
- Kota Putra: 1.489
- Sungai Besar: 1.489
- Balik Pulau: 1.489
- Batu Pahat: 1.518
- Pasir Salak: 1.545
- Langkawi: 1.556
- Pasir Tumboh: 1.568
- Baling: 1.597
- Kuala Berang: 1.660
- Tun Abdul Razak, Pekan: 1.690
- Kubang Pasu: 1.704
- Sultan Azlan Shah: 1.711
- Kuantan: 1.715
- Alor Gajah: 1.817
- Tumpat: 1.875
- Parit: 1.896
- Serting: 1.910
- Beseri: 1.920
- PDRM Kulim: 1.924
- Mersing: 1.935
- Transkrian: 1.955
- Kuala Klawang: 1.974
- Merbok: 1.979
- Lenggong: 1.983
- Pengkalan Hulu: 2.015
- Felda Trolak: 2.030
- Tun Mohammad Fuad Stephens (Sandakan): 2.070
- Muadzam Shah: 2.092
- Pendang: 2.095
- Tun Dr. Ismail (Pontian): 2.104
- Kuala Krai: 2.126
- Bentong: 2.133
- Muar: 2.185
- Bagan Datuk: 2.195
- Kota Kinabalu: 2.213
- Betong: 2.214
- Gerik: 2.244
- Jeli: 2.250
- Arau: 2.284
- Terendak: 2.299
- Tun Ghazali Shafie (Lipis): 2.334
- Tun Mustapha (Semporna): 2.393
- Mukah: 2.442
- ATM Bera: 2.462
- Kuching: 2.510
- Kuala Terengganu: 2.522
- Besut: 2.689
- Semporna: 2.711

Rangkuman 40 Sekolah Terbaik Keputusan SPM 2024 Mengikut Gred Purata Sekolah (GPS)

Kedudukan Ranking SBP SPM 2024
Berikut adalah senarai kedudukan ranking Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terbaik (tahun 2025) bagi keputusan peperiksaan SPM 2024 berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS).
Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
- Sekolah Menengah Sains Pendang/ Akademi Sains Pendang (ASP): 0.38
- Sekolah Menengah Sains Integrasi Gombak (INTEGOMB): 0.93
- Sekolah Tun Fatimah (STF): 1.04
- Kolej Tunku Kurshiah (TKC): 1.05
- Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER): 1.16
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (SEPINTAR): 1.16
- Sekolah Sultan Alam Shah (SAS): 1.17
- The Malay College Kuala Kangsar (MCKK): 1.23
- Sekolah Seri Puteri (SSP): 1.24
- Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR): 1.32
- Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani (SGS): 1.34
- Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR): 1.41
- SM Sains Kota Tinggi (SAKTI): 1.41
- Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong (SUPERB): 1.48
- Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK): 1.48
- Sekolah Menengah Sains Banting (BASIS): 1.50
- Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH): 1.50
- Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR): 1.51
- Sekolah Seri Puteri Kuala Lumpur (SESERI): 1.51
- Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS): 1.53
- Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS): 1.56
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (BRAIN): 1.61
- Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA): 1.61
- Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH): 1.65
- Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS): 1.68
- Sekolah Menengah Sains Tapah (SeSTA): 1.70
- Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL): 1.70
- Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (FARIS PETRA): 1.71
- Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA): 1.71
- Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS): 1.74
- Sekolah Menengah Sains Muar (SAMURA): 1.75
- SM Sains Muzaffar Syah Melaka (MOZAC): 1.76
- Sekolah Menengah Sains Jeli (JeSS): 1.85
- Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA): 1.88
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng (IGOP): 1.91
- Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (SMSTJ/STJ): 2.04
- Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB/SAKBA): 2.05
- Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (INTEJ): 2.06
- Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (KUPSIS): 2.05
- Sekolah Menengah Sains Sultan Abdul Halim (SMSAH): 2.08
- Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar (SMSSI): 2.08
- Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA): 2.26
- Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan: 2.30
- Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil Shah (SMADJIWA): 2.34
- Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah: 2.41
- Sekolah Menengah Sains Gua Musang (GUAMSS): 2.41


