Kerajaan Malaysia MADANI melalui Belanjawan 2026 telah mengumumkan had pengeluaran Akaun Sejahtera KWSP bagi tujuan menunaikan ibadah haji. Mulai 1 Januari 2026, pengeluaran haji melalui KWSP dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 atau baki maksimum dalam Akaun Sejahtera.
Pengeluaran KWSP Tujuan Ibadah Haji
Pengeluaran Haji KWSP merupakan satu inisiatif membolehkan ahli KWSP mengakses sebahagian daripada simpanan mereka untuk menampung kos menunaikan haji. Ia memberi peluang kepada mereka melengkapkan baki simpanan diperlukan di Tabung Haji (TH) bagi memenuhi syarat bayaran minimum haji.
Kenaikan had pengeluaran ini, bakal jemaah tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada simpanan mereka yang sebelum ini terhad kepada RM3,000 sahaja tetapi kini mereka boleh mengeluarkan sehingga RM10,000, sekali gus memudahkan urusan persiapan menunaikan ibadah haji.

Syarat Kelayakan Dan Permohonan Pengeluaran Haji KWSP
Bagi memenuhi syarat bayaran minimum di Tabung Haji, ahli KWSP hanya perlu mengeluarkan sebahagian daripada simpanan mereka dari Akaun Sejahtera untuk melengkapkan baki diperlukan. Sebagai contoh, jika baki dalam Akaun Sejahtera mencukupi, mereka boleh mengeluarkan sehingga RM10,000 atau baki yang lebih rendah daripada jumlah tersebut bergantung kepada keadaan simpanan mereka.
Untuk memohon pengeluaran ini, terdapat syarat-syarat utama yang perlu dipenuhi:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur bawah 55 tahun.
- Dipilih untuk menunaikan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji.
- Tidak pernah memohon pengeluaran haji sebelum ini.

Proses permohonan buat masa ini hendaklah dilakukan secara manual di kaunter KWSP cawangan berhampiran. Berikut adalah langkah-langkah perlu diikuti:
- Sediakan Dokumen
Kad Pengenalan (MyKad).
Surat tawaran dari LTH yang menyatakan status DIPILIH. - Hadir ke Cawangan KWSP
Bawa dokumen tersebut ke cawangan KWSP.
Ahli tidak perlu mengisi borang, cuma perlu menurunkan cap jari pada Notis Pengesahan Permohonan Pengeluaran sebagai bukti permohonan. - Pengesahan Biometrik
Imbasan cap jari akan dilakukan di kaunter untuk pengesahan identiti dan permohonan. - Penerimaan Bayaran
Wang akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam tempoh tidak melebihi 7 hari bekerja selepas permohonan diproses.
Semakan Status Permohonan Pengeluaran Haji KWSP
Ahli KWSP boleh menyemak status permohonan dan pengkreditan melalui aplikasi KWSP i-Akaun, portal web i-Akaun atau dengan mengunjungi pejabat KWSP berhampiran.
Pengurusan Wang Setelah Pengeluaran
Penting diingat bahawa jumlah pengeluaran perlu dipulangkan semula jika ahli membatalkan atau menangguhkan ibadah haji. Jumlah penuh mesti dikembalikan kepada KWSP.
Namun begitu, sekiranya ahli meninggal dunia selepas pengeluaran dibuat, waris tidak perlu memulangkan amaun tersebut dan boleh membuat tuntutan mengikut prosedur LTH terkini. Waris disarankan berhubung terus dengan LTH bagi mendapatkan maklumat lanjut.


