Mempunyai pasport yang sah dan diiktiraf adalah keperluan utama bagi setiap warganegara Malaysia. Salah satu dokumen penting yang membolehkan individu melaksanakan perjalanan ke luar negara dengan lancar dan sah adalah Pasport Malaysia Antarabangsa.
Pasport Malaysia Antarabangsa
Pasport Malaysia Antarabangsa merupakan dokumen perjalanan rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada warganegara Malaysia. Ia merupakan satu sijil membuktikan status kewarganegaraan dan membolehkan pemegangnya memasuki negara-negara asing secara sah. Pasport ini juga dikenali sebagai pasport biometrik kerana mengintegrasikan teknologi terkini meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan pengguna.
Ciri-ciri Utama Passport Malaysia
Pasport Malaysia Antarabangsa mempunyai ciri-ciri keselamatan canggih dan moden. Ia menggunakan sistem biometrik diperkemas termasuk imbasan cap jari dan pengenalan wajah bagi memastikan maklumat pemegangnya dilindungi dan sukar dipalsukan. Tempoh sah laku pasport ini adalah selama lima (5) tahun dari tarikh pengeluaran.

Tujuan Dan Kelayakan
Pasport ini adalah dokumen wajib diperlukan setiap kali keluar masuk ke Malaysia dan negara-negara lain yang membenarkan kemasukan tanpa visa. Ia sah digunakan semata-mata untuk warganegara Malaysia sahaja. Selain itu ia juga berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri diiktiraf secara antarabangsa.
Kadar Bayaran Bayaran Harga Buat Pasport Malaysia Antarabangsa
Jabatan Imigresen Malaysia mengumumkan penurunan kadar bayaran memohon atau pembaharuan pasport antarabangsa kepada RM200 untuk tempoh lima (5) tahun. Kadar ini berkuat kuasa sejak 15 Januari 2015 dan masih kekal sehingga hari ini. Penurunan sebanyak RM100 berbanding kadar terdahulu yang berjumlah RM300 telah menunjukkan komitmen kerajaan dalam memudahkan urusan perjalanan rakyat Malaysia.
Selain itu, kadar bayaran untuk kategori tertentu turut dikurangkan. Bayaran bagi warga emas, kanak-kanak di bawah 12 tahun dan jemaah haji adalah sebanyak RM100 sahaja, berbanding RM150 sebelum ini. Untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), mereka tidak dikenakan bayaran sama sekali.
| Kategori | Butiran | Umur | Harga |
|---|---|---|---|
| A | Pemohon Biasa | 13 – 59 Tahun | RM200 |
| B | Warga Emas | 60 Tahun Ke Atas | RM100 |
| C | Kanak-Kanak | 12 Tahun Ke Bawah | RM100 |
| D | Pelajar Mengikuti Program Ijazah Luar Negara | 21 Tahun Ke Bawah | RM100 |
| E | Jemaah Haji (Surat Tawaran Dari Lembaga Tabung Haji) | RM100 | |
| F | Orang Kelainan Upaya | Percuma |
Hak Milik dan Penarikan Balik Dokumen
Sebagai dokumen rasmi kerajaan, pasport adalah hak milik Malaysia dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya terdapat alasan tertentu termasuk penyalahgunaan atau pelanggaran undang-undang. Oleh itu, adalah penting bagi pemegang pasport menjaga dokumen ini dengan baik dan mematuhi segala syarat ditetapkan.
Permohonan Dan Pembaharuan Pasport
Pemohon boleh mendapatkan pasport ini di mana-mana pejabat Imigresen di seluruh Malaysia ataupun melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. Proses permohonan dan pembaharuan boleh dilakukan secara fizikal di pejabat atau secara dalam talian melalui platform MyOnline Passport.
Cara Permohonan Renew Passport Secara Online
MYonline Pasport adalah satu kaedah sebagai kemudahan kepada warganegara Malaysia membuat permohonan pembaharuan Pasport Malaysia sahaja secara dalam talian melalui internet.
Mulai 11 Mei 2022, Sistem Temujanji Online (STO) yang diperkenalkan oleh Imigresen Malaysia telah dimansuhkan. Urusan “Walk In” ke mana-mana cawangan Imigresen Malaysia hanya dibuka untuk:
- Permohonan passport kali pertama.
- Permohonan pelanjutan kanak-kanak 13 tahun ke bawah.
- Kehilangan atau kerosakan passport.
- Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
- OKU.
- Pelajar berumur 21 tahun dan ke bawah yang menyambung pelajaran peringkat Ijazah di luar negara.
- Jemaah yang akan menunaikan ibadah Haji.
Pemohon yang ingin membuat pembaharuan pasport secara atas talian, ikuti langkah-langkah berikut.
- Sila layari Portal Rasmi MyOnline Passport : https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport
- Tekan butang Setuju
- Isi maklumat peribadi pada ruangan yang disediakan
- Pilih pejabat pungutan yang terdekat
- Klik Carian
- Pastikan untuk membaca Peringatan yang dipaparkan dan klik Setuju
- Muat naik gambar yang sesuai dan menepati saiz yang ditetapkan
- Klik pada kotak pengakuan sebagai tanda persetujuan
- Klik Teruskan Kepada Bayaran
- Buat bayaran menggunakan kad debit, kad kredit atau FPX
- Pastikan muat turun dan simpan resit bayaran serta transaksi kerana cawangan kutipan, tarikh dan masa kutipan akan ditunjukkan dalam resit tersebut
- Pemohon perlu hadir ke cawangan kutipan pada masa yang ditetapkan dengan membawa bersama resit, kad pengenalan dan passport asal. Pemohon bawah 18 tahun, sila bawa kad pengenalan penjaga dan surat beranak
Pemohon yang mempunyai masalah cap jari boleh meneruskan bayaran dan hadir terus ke pejabat pemungut yang dipilih bagi pengambilan cap jari.
Semakan Status Pembaharuan Pasport Online
Pemohon akan menerima notifikasi melalui emel dalam tempoh 3 hari bekerja untuk kelulusan pasport dan hadir ke pejabat pungutan sekiranya tidak mendapat notifikasi selepas tempoh tersebut. Semakan status permohonan pembaharuan pasport juga boleh disemak dengan cara berikut.
- Buka pautan berikut : https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport?pertanyaanStatusPMA\
- Isi maklumat yang diperlukan dan tekan butang Carian
- Status permohonan akan dipaparkan
Halaman Utama Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia
Menerusi halaman utama Portal Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia, pengguna boleh menggunakan kemudahan yang disediakan diantaranya seperti berikut.
- Semakan Status Kawalan Imigresen untuk Warganegara Malaysia – Blacklist (SSPI)
- Semakan Status Permohonan Pas Pelajar
- Semakan Status Permohonan Permit Masuk (myOnlinePermit)
- Semakan Permohonan Pembantu Rumah / Pekerja Asing
- Lain-Lain Semakan Dan Perkhidmatan Secara Dalam Talian (Online)


