Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) peringkat negeri Perak telah mengumumkan Program MyLesen B2 Tahun 2026. Program ini merupakan satu inisiatif membantu golongan B40 dan penerima STR serta tanggungan mereka memperoleh Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara percuma dengan membuat permohonan namun perlu memenuhi syarat kelayakan sepertimana ditetapkan.
Program MyLesen B2 Motosikal Tahun 2026
Antara objektif utama program ini ialah meningkatkan keselamatan jalan raya. Pemilikan lesen motosikal yang sah melahirkan penunggang berdisiplin dan bertanggungjawab sekali gus berupaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang kerap melibatkan penunggang motosikal tanpa lesen atau kurang berkemahiran.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak memaklumkan bahawa kuota permohonan adalah terhad kepada seramai 2,300 orang sahaja. Oleh itu, warga Perak yang berminat dan memenuhi syarat kelayakan disarankan agar mengemukakan permohonan dengan segera. Pemohon yang berjaya akan diberikan latihan penuh secara percuma termasuk menanggung kos ujian memandu, sehingga memperoleh lesen motosikal yang sah.

Syarat Kelayakan Program MyLesen B2 Perak 2026
Jabatan Pengangkutan Jalan Perak mengumumkan bahawa permohonan adalah terbuka kepada warga negara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memenuhi syarat tertentu. Syarat utama termasuklah:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 16 tahun dan ke atas (pada atau sebelum 13 Februari 2026)
- Golongan B40 dan penerima STR serta tanggungan mereka
- Belum memiliki sebarang Lesen Memandu
- Bebas daripada senarai hitam Mahkamah, JPJ dan PDRM
- Sihat fizikal dan mental
Selain itu, keutamaan diberikan kepada kadet JPJ, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Borang Dan Cara Permohonan Program MyLesen B2
Semua permohonan mesti dihantar sendiri bersama dokumen sokongan secara fizikal ke JPJ Ipoh (Unit Pengujian, Blok E) atau cawangan-cawangan JPJ Negeri Perak kecuali Cawangan UTC Perak. Sebarang borang yang tidak lengkap atau diterima selepas tarikh tutup akan ditolak. Perlu diingat bahawa hanya 2,300 permohonan sahaja akan diluluskan.
Warga Perak disarankan melengkapkan dan menghantar borang permohonan dengan segera sebelum tarikh tutup pada 13 Februari 2026 jam 4 petang. Borang permohonan juga boleh dimuat turun secara dalam talian melalui QR code yang disediakan pada poster rasmi program.
Muat Turun: Borang Permohonan Peserta Program MyLesen B2 Perak
Manfaat dan Kelebihan Program MyLesen
Kelebihan utama program ini adalah segala kos latihan dan ujian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Peserta tidak perlu membayar apa-apa kos termasuk bahan pembelajaran, latihan teori dan praktikal serta ujian kelayakan.
Setelah berjaya lulus ujian, peserta akan menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 yang sah sekali gus membolehkan mereka menunggang motosikal berkapasiti tidak melebihi 250cc secara sah.
Maklumat Lanjut
Bagi mereka yang berminat atau memerlukan maklumat lanjut mengenai Program MyLesen B2 Tahun 2026, JPJ Negeri Perak menyediakan pelbagai saluran komunikasi. Maklumat terkini serta aktiviti berkaitan boleh diikuti melalui portal rasmi JPJ Perak dan semua rangkaian media sosial rasmi mereka.
Sumber: Facebook Rasmi JPJ Negeri Perak


