Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka permohonan bagi Program MyLesen B2 Tahun 2026 peringkat negeri Pahang. Program ini berobjektif membantu golongan B40 atau penerima STR serta tanggungan mereka memperoleh Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara sah bagi membolehkan mereka menunggang motosikal berkapasiti tidak melebihi 250cc.
Program MyLesen B2 Motosikal Tahun 2026
Program MyLesen B2 merupakan usaha kerajaan membantu golongan B40 atau penerima STR serta tanggungan mereka yang selama ini berhadapan dengan kekangan kewangan untuk mendapatkan lesen motosikal secara sah.
Melalui program ini, mereka berpeluang memperoleh lesen secara percuma, sekali gus meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan motosikal.

Syarat Kelayakan Program MyLesen B2 Pahang 2026
Program ini dirangka khas untuk golongan yang layak, di mana syarat utama termasuklah:
- Warganegara Malaysia dan berumur 16 tahun ke atas.
- Golongan B40 serta penerima STR dan tanggungan mereka.
- Belum memiliki sebarang Lesen Memandu sebelum ini.
- Bebas daripada senarai hitam Mahkamah, JPJ, dan PDRM.
- Sihat fizikal dan mental.
- Keutamaan akan diberikan kepada Kadet JPJ, pelajar sekolah, serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Borang Dan Cara Permohonan Program MyLesen B2
Para pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian (online) melalui borang yang disediakan. Untuk memudahkan proses, borang permohonan boleh diimbas melalui QR code yang terdapat di poster rasmi program.
Sila ke: Borang Permohonan Program MyLesen B2 Pahang Online
Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Januari 2026 dan program ini terhad kepada 2,100 peserta sahaja. Oleh itu, pemohon disarankan segera bertindak agar tidak terlepas peluang.
Kelebihan Program MyLesen B2
Apa yang lebih menarik tentang program ini ialah semua kos latihan dan ujian akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini bermaksud, peserta tidak perlu risau tentang kos bahan pembelajaran, latihan teori dan praktikal malah ujian kelayakan selain tertakluk kepada syarat-syarat lain.
Setelah peserta berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian, mereka akan menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 yang sah.
Pertanyaan Dan Maklumat Lanjut
Bagi mereka yang berminat atau memerlukan maklumat lanjut, pihak JPJ Pahang menyediakan pelbagai saluran komunikasi termasuk portal rasmi di JPJ Pahang dan rangkaian platform media sosial rasmi mereka. Ini bertujuan memastikan maklumat terkini dan sebarang pertanyaan dapat dijawab dengan cepat dan berkesan.
Sumber: Facebook Rasmi JPJ Pahang


