Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah mengumumkan permohonan bagi Program MyLesen B2 Tahun 2026. Program ini merupakan satu inisiatif membantu golongan B40 dan penerima STR serta tanggungan mereka memperoleh Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara percuma.
Program MyLesen B2 Motosikal Tahun 2026
Program ini bertujuan memberi peluang kepada golongan B40 dan penerima STR serta tanggungan mereka mendapatkan lesen memandu secara percuma. Latihan teori dan praktikal disediakan oleh institusi latihan memandu, peserta akan memperoleh pengetahuan lengkap tentang undang-undang jalan raya selain keselamatan ketika menunggang serta kemahiran praktikal diperlukan untuk lulus ujian bagi mendapatkan lesen yang sah.
Selain memberi manfaat dari segi kewangan, program ini juga menggalakkan kesedaran keselamatan jalan raya di samping membantu mengurangkan risiko kemalangan motosikal yang sering berlaku di Malaysia. Ia juga selaras dengan aspirasi kerajaan memastikan rakyat Malaysia menunggang secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang jalan raya.

Syarat Kelayakan Program MyLesen B2 WP Kuala Lumpur 2026
Jabatan Pengangkutan Jalan menegaskan bahawa permohonan harus memenuhi beberapa syarat. Antara syarat utama adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 16 tahun dan ke atas.
- Golongan B40 dan penerima STR.
- Belum memiliki sebarang Lesen Memandu.
- Bebas daripada senarai hitam Mahkamah, JPJ dan PDRM.
- Sihat fizikal dan mental.
- Keutamaan diberikan kepada Kadet JPJ, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Borang Dan Cara Permohonan Program MyLesen B2
Permohonan boleh dibuat secara langsung di Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau di cawangan-cawangan JPJ yang berdekatan.
Warga Kuala Lumpur disarankan mendapatkan dan melengkapkan borang permohonan dengan segera kerana tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Februari 2026. Selain itu, borang permohonan juga boleh dimuat turun secara dalam talian dengan imbas QR code yang disediakan di poster rasmi program.
Muat Turun: Borang Permohonan Peserta Program MyLesen B2 WPKL
Kelebihan dan Manfaat Program MyLesen B2
Kelebihan utama Program MyLesen B2 ini ialah semua kos latihan dan ujian akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini termasuk bahan pembelajaran, latihan teori dan praktikal serta ujian kelayakan. Peserta tidak perlu risau tentang beban kos yang biasanya akan menanggung ratusan ringgit kerana segala-galanya dibiayai penuh oleh pihak kerajaan namun tertakluk kepada syarat lain sepertimana ditetapkan.
Setelah berjaya lulus ujian, peserta akan menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 yang sah dan diiktiraf sekali gus membolehkan mereka menunggang motosikal berkapasiti tidak melebihi 250cc secara sah dan selamat.
Pertanyaan Dan Maklumat Lanjut
Bagi mereka yang berminat atau memerlukan maklumat lanjut tentang Program MyLesen B2 Tahun 2026, pihak JPJ WP Kuala Lumpur menyediakan saluran komunikasi melalui Portal Rasmi JPJ Kuala Lumpur. Selain itu, maklumat terkini mengenai program ini serta aktiviti JPJ boleh diikuti melalui semua rangkaian platform media sosial rasmi mereka.
Sumber: Facebook Rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


