Panduan Permohonan Maktab Tentera Diraja 2026 Tingkatan 4

Panduan Permohonan Tingkatan 4 MTD 2026 Maktab Tentera Diraja. Cara dan langkah buat permohonan kemasukan Maktab Tentera Diraja dan maklumat syarat kelayakan.

Dalam landskap pendidikan Malaysia, terdapat beberapa institusi yang menonjol dengan keunikan dan keistimewaan tersendiri. Salah satunya ialah Maktab Tentera Diraja (MTD), sebuah institusi berasrama penuh yang tidak hanya menumpukan kepada akademik semata-mata tetapi turut membentuk sahsiah dan jati diri pelajarnya menerusi disiplin ketenteraan yang ketat. Sebagai satu-satunya sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia, MTD memegang peranan penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berintegriti, berpengetahuan dan berdaya saing.

Maktab Tentera Diraja (MTD)

MTD berpegang teguh kepada prinsip pembelajaran yang berasaskan disiplin dan budaya hidup ala ketenteraan. Pendekatan ini bukan sahaja membentuk disiplin diri yang tinggi dalam kalangan pelajarnya tetapi juga memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, tanggungjawab dan semangat setia kawan. Setiap program yang dijalankan direka untuk memperkukuhkan aspek kecemerlangan akademik dan sahsiah, sejajar dengan matlamat utama melahirkan pemimpin berdaya saing dan berintegriti tinggi.

Selain itu, reka bentuk kurikulum dan susunan pembelajaran di MTD diolah secara strategik bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran yang holistik dan seimbang. Melalui latihan fizikal dan mental yang konsisten, pelajar didedahkan kepada cabaran sebenar dalam kehidupan ketenteraan yang memerlukan ketahanan mental, fizikal dan emosi yang tinggi.

mata pelajaran maktab tentera diraja

Pendidikan Maktab Tentera Diraja

MTD menitikberatkan aspek kecemerlangan dalam setiap program yang dianjurkan. Antara aktiviti utama termasuklah eksplorasi akademik, ekspedisi mencabar, latihan kepimpinan serta program jati diri yang berterusan sepanjang tahun. Latihan ketenteraan seperti menembak, kawad kaki, membaca peta dan ilmu medan perang adalah sebahagian daripada latihan wajib yang membentuk ketahanan fizikal dan mental pelajar.

Selain itu, aktiviti berkumpulan dan perkhemahan tahunan ala ketenteraan membantu pelajar membina semangat kerjasama dan kepercayaan antara satu sama lain. Program ini bukan sekadar mengajar mereka tentang ilmu ketenteraan malah juga menanam nilai-nilai murni dan membentuk sahsiah yang mantap sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Fokus Pada Pemupukan Nilai-Nilai Patriotisme Dan Kesetiaan

Di samping aspek akademik dan latihan fizikal, MTD turut memberi penekanan kepada pembangunan nilai patriotisme dan kesetiaan terhadap negara. Setiap pelajar diajar untuk menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air serta memahami tanggungjawab mereka sebagai generasi pewaris negara. Semangat setia kawan dan rasa hormat-menghormati menjadi tunjang utama dalam membentuk komuniti yang harmoni dan bersatu padu.

Selain itu, program perjalanan udara tahunan yang disediakan khusus untuk pelajar dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan membolehkan mereka memahami lebih dekat budaya dan keunikan setiap negeri sekali gus memperkukuhkan rasa bangga menjadi warga Malaysia.

pelajar maktab tentera diraja

Kemudahan Dan Keistimewaan Maktab Tentera Diraja

Putera-putera MTD akan menikmati pelbagai kemudahan secara PERCUMA yang merangkumi:

  • Penginapan dan sajian sebanyak 6 kali sehari, memastikan mereka sentiasa bertenaga dan sihat.
  • Elaun bulanan sebanyak RM100.00 sebagai bantuan kewangan dan galakan.
  • Klinik rawatan kesihatan yang lengkap untuk memastikan kesihatan pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik.
  • Pakaian seragam tentera dan keperluan pemakaian rasmi di MTD, menanam rasa bangga dan identiti ketenteraan.
  • Fasiliti akademik lengkap termasuk kelas berhawa dingin, makmal sains, perpustakaan dan dewan makan.
  • Buku teks dan bahan pembelajaran terkini bagi menyokong kecemerlangan akademik.
  • Kemudahan komputer dan akses internet di setiap kelas, memudahkan pelajar mengakses maklumat dan bahan pembelajaran secara digital.
  • Program eksplorasi akademik dan ekspedisi mencabar yang mengasah kemahiran kepimpinan dan jati diri.
  • Latihan ketenteraan termasuk menembak, kawad kaki, membaca peta dan ilmu medan perang yang mengasah kemahiran taktikal dan strategik.
  • Waran perjalanan udara tahunan untuk pelajar dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi merasai pengalaman perjalanan dan memperluas horizon mereka.

Permohonan Maktab Tentera Diraja 2026 Tingkatan 4

Maktab Tentera Diraja (MTD) tidak hanya institusi pendidikan biasa. Ia adalah tempat yang membentuk individu holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah berkarakter tinggi dan berdisiplin. Melalui pendekatan berteras nilai ketenteraan, kemudahan lengkap serta program yang dirancang khusus, MTD berperanan sebagai ‘Home of Future Leaders‘ yang melahirkan generasi pemimpin negara yang berintegriti, berdaya saing dan patriotik. Dengan komitmen dan usaha berterusan, MTD akan terus menjadi institusi terunggul dalam melahirkan pemimpin yang mampu membawa negara ke arah kemakmuran dan kejayaan yang gemilang.

Syarat Kemasukan Maktab Tentera Diraja

Syarat AM

  • Maktab Tentera Diraja sebagai pilihan pertama pemohon.
  • Mencapai aras toleransi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Hanya calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil untuk menduduki Ujian Pemilihan Putera Maktab Tentera Diraja.

Syarat Khusus

  1. Lulus Ujian Pemilihan Putera Maktab Tentera Diraja.
  2. Pemohon (lelaki sahaja) mestilah warganegara Malaysia.
  3. Ibu dan bapa mestilah warganegara Malaysia.
  4. Berat minimum – 40.5 kg.
  5. Tinggi minimum – 152 cm.
  6. Indeks Jisim Badan (Body Mass Index) antara 18 hingga 26.9.
  7. Ukuran dada – 74 cm (biasa) dan 79 cm (tarik nafas).
  8. Kesihatan – sihat tubuh badan dan tidak mempunyai masalah kesihatan seperti di bawah:
  • Angin pasang (inguinal hernia).
  • Asma atau lelah (asthma).
  • Buasir (haemorrhoids).
  • Fizikal bahu tidak sama (uneven shoulder).
  • Jangkitan kulat pada kulit (tinea).
  • Kekurangan enzim Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD-Deficiency).
  • Rabun jauh (myopia) 6/12.
  • Rabun warna (colour blindness).
  • Tapak kaki rata (flat footed).
  • Temu janji rawatan susulan yang berpanjangan.
  • Terdapat kerak telinga (impacted earwax).
  • Tidak dibenarkan memakai pendakap gigi (braces).
  • Tulang belakang bengkok (scoliosis).
  • Urat bersimpul (varicose veins).
  • Sebarang masalah kesihatan baru atau lama yang akan menyebabkan gangguan serta menjejaskan kelancaran sepanjang menjalani latihan ketenteraan di MTD.

Walaupun telah lulus semua syarat khusus, jika terdapat kecederaan sebelum melapor diri di MTD yang boleh menghalang calon melaksanakan aktiviti dan latihan ketenteraan, calon akan dikeluarkan.

Tarikh Bila Permohonan MTD 2026 Tingkatan 4

  • Dibuka: Jangkaan Ogos 2025
  • Ditutup: Jangkaan September 2025

Tarikh permohonan dibuka dan ditutup akan dikemaskini serta dinyatakan dengan tepat sebaik sahaja iklan permohonan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Harap maklum.

Cara Buat Permohonan Online MTD 2026 Tingkatan 4

Permohonan kemasukan ke Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja bagi tahun pengambilan 2026 boleh dibuat secara dalam talian (online) sepenuhnya melalui laman sistem permohonan spskt KPM yang dibuka pada tarikh yang dinyatakan di atas.

Pautan Sistem Borang Permohonan MTD Tingkatan 4

Sistem Permohonan Maktab Tentera Diraja untuk kemasukan tahun 2026 akan dibuka dan diaktifkan bermula pada tarikh serta waktu yang akan dinyatakan.

Peringatan Permohonan

  1. Pemohon disarankan memahami dan meneliti senarai panduan yang disertakan dan perlu juga merujuk kepada maklumat sistem sebelum melengkapkan butiran permohonan online.
  2. Ditegaskan, sila luangkan masa bagi memahami, meneliti dan membaca dahulu langkah-langkah untuk membuat permohonan.
  3. Saranan adalah bertujuan untuk mengelakkan pemohon daripada membuat sebarang kesilapan yang berpotensi menyebabkan permohonan akan ditolak.
  4. Sila ikuti arahan-arahan yang telah diberitahu dan apa tindakan selanjutnya melalui maklumat-maklumat yang disertakan dalam sistem permohonan online.

Maklumat Lanjut Tentang Permohonan

Jika anda menghadapi sebarang masalah atau mempunyai pertanyaan serta maklumat lanjut berkaitan Permohonan Kemasukan ke Tingkatan 4 Maktab Tentera Diraja 2026, sila layari judul pautan di bawah:

Kongsi Artikel