Zakat Fitrah amat besar kesannya dalam kehidupan kita kerana Zakat Fitrah merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam dan ada perkara perlu dibuat jika lupa bayar zakat fitrah.
Tindakan Terlupa Membayar Zakat Fitrah
Sekiranya terlupa menunaikan Zakat Fitrah pada Ramadhan tahun ini selepas batas waktu terakhir yang ditetapkan maka jangan pula bertangguh atau menunggu hingga Ramadhan tahun depan kerana hukumnya berdosa, maka dengan itu wajib qadha zakat fitrah walaupun telah lewat daripada waktu yang ditentukan dan segera menunaikannya kepada golongan berhak menerimanya.
Selain memenuhi keperluan jiwa seseorang berpuasa, kewajipan menunaikan Zakat Fitrah dilaksanakan di bulan Ramadhan adalah bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.
Hukum membayar Zakat Fitrah adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka (golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak) dan mampu mengeluarkannya pada waktunya.
Peringatan Waktu Menunaikan Zakat Fitrah
- Harus – bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga akhir bulan Ramadhan.
- Wajib – selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
- Afdhal – selepas solat Subuh pada hari akhir Ramadhan sehingga sebelum mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri.
- Makruh – selepas sembahyang sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari.
- Haram – selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.
Lafaz Akad Zakat Fitrah
- Diri sendiri: Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
- Diri sendiri dan tanggungan: Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas diriku dan tanggunganku pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
- Sebagai Wakil: Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah yang wajib ke atas pihak yang aku wakili …… pada tahun ini kerana Allah Ta’ala.
Video Penjelasan Lupa Bayar Zakat Fitrah
Berikut adalah penjelasan daripada Ustaz Azhar Idrus mengenai masalah lupa bayar zakat fitrah.
Perlu Qada Zakat Fitrah Sekiranya Lupa Bayar – Mufti Kelantan
Menurut artikel Astro Awani, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengatakan umat Islam yang belum membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan lepas, wajib untuk qada zakat fitrah walaupun telah lewat daripada waktu yang telah ditetapkan.
Hal ini kerana terdapat hukum mengenai peringatan waktu bagi seseorang umat Islam yang layak membayar zakat fitrah. Ulasan lanjut beliau menyatakan bahawa sekiranya telah memasuki 2 Syawal, ia perlu wajib untuk qada niat zakat fitrah.


