Kenapa Perlu Kemaskini STR 2026 Cara Mengemaskini Permohonan

Kenapa Perlu Kemaskini STR 2026? Cara Mengemaskini Permohonan. Panduan dan langkah kemaskini permohonan Sumbangan Tunai Rahmah 2026 & jumlah duit STR 2026.

Kerajaan Malaysia MADANI melalui Belanjawan 2026 telah menyusun semula Program Bantuan Tunai dan Sara Hidup, khususnya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan penyesuaian terhadap bentuk dan kadar bantuan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka benar-benar memerlukan selain memenuhi kriteria dan syarat kelayakan sepertimana ditetapkan.

Seperti mana-mana inisiatif bantuan kewangan lain, maklumat penerima yang tepat dan terkini adalah faktor utama keberkesanan penyaluran bantuan. Penyesuaian terhadap bentuk dan kadar bantuan STR yang disusun semula di bawah Belanjawan 2026 bertujuan memastikan penerima yang layak dapat menerima manfaat secara adil dan tepat.

Oleh itu, penerima STR atau permohonan sedia ada yang tidak dikemas kini selama 3 tahun berturut-turut disarankan untuk mengemaskini permohonan STR 2026 agar terus menikmati manfaat bantuan ini.

Faktor Perlu Kemaskini Sumbangan Tunai Rahmah 2026

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada disarankan kemaskini permohonan bagi memastikan data maklumat penerima kekal up to date dan lebih utama adalah kepada penerima yang langsung tidak mengemaskini maklumat permohonan selama 3 tahun berturut-turut. Pengemaskinian bukan sahaja mengesahkan bahawa penerima masih wujud serta maklumat yang diberikan adalah tepat dan terkini malah membantu mempercepat selain mempermudah proses pembayaran bantuan kepada penerima yang layak.

notifikasi str

Memastikan Status Permohonan Kekal Lulus

Jika maklumat dalam permohonan tidak dikemas kini selama tiga tahun berturut-turut ia berpotensi menyebabkan status pengesahan akhir permohonan sebelum ini berubah (contohnya; status Lulus kepada kepada status yang anda tidak ingini). Oleh itu, sila ambil perhatian terhadap pemberitahuan terkini yang dinyatakan di dalam portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah bagi memastikan kelayakan anda untuk terus menerima manfaat STR sedia ada.

Perubahan Maklumat Isi Rumah

Kehidupan sentiasa berubah dan maklumat seperti status perkahwinan, bilangan anak, pendapatan isi rumah serta maklumat peribadi lain perlu dikemas kini agar jumlah amaun bantuan yang diterima berpadanan dengan kategori serta kelayakan sebenar penerima. Contohnya, jika seseorang sudah berkahwin atau mempunyai anak tambahan, jumlah bantuan yang layak juga mungkin berbeza dari sebelum ini.

Kelancaran Proses Pembayaran

Maklumat akaun bank, alamat surat menyurat dan nombor telefon yang terkini memudahkan bantuan disalurkan secara tepat dan cepat. Kegagalan mengemas kini maklumat ini boleh menyebabkan kelewatan atau kegagalan pembayaran kepada penerima.

Perubahan Maklumat Peribadi Atau Keluarga

Termasuk perubahan status perkahwinan (seperti cerai, kematian pasangan), pertambahan atau pengurangan ahli keluarga serta maklumat waris yang berkaitan, semua ini perlu dikemaskini agar data yang ada sentiasa relevan dan sah.

Panduan Dan Cara Kemaskini STR 2026

Sebagai peringatan, kemas kini maklumat permohonan STR 2026 adalah perkara penting untuk memastikan data yang dikemukakan adalah terkini dan tepat. Selain itu, kemaskini ini juga membantu mengelakkan sebarang masalah seperti permohonan ditolak disebabkan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat. Berikut adalah panduan ringkas cara untuk mengemaskini maklumat permohonan STR 2026.

log masuk str

Langkah 1: Layari Portal Rasmi

  • Langkah pertama yang perlu anda lakukan ialah melayari portal rasmi STR 2026 di pautan berikut: https://bantuantunai.gov.my
    Di laman utama portal ini, anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat lain yang berkaitan.
  • Seterusnya, klik pada menu utama Laman Utama MySTR 2026. Di situ, anda akan melihat butang Log Masuk. Klik butang ini untuk meneruskan kepada halaman semakan dan kemaskini permohonan.

logmasuk mystr

Langkah 2: Log Masuk Ke Sistem MySTR 2026

  • Sistem akan membawa anda ke halaman Semakan Pemohonan.
  • Jika anda pernah membuat permohonan STR sebelum ini tetapi belum mempunyai akaun, anda perlu mendaftar terlebih dahulu. Klik pada Daftar Pengguna Baru dan ikuti arahan untuk mencipta akaun baharu. Rujuk infografik panduan pengguna: Pendaftaran MySTR 2026 jika memerlukan bantuan.
  • Jika anda sudah mempunyai akaun STR, cukup klik SEMAK dan masukkan ID Pengguna dan Kata Laluan yang telah didaftarkan. Pastikan maklumat ini dimasukkan dengan betul untuk mengelakkan sebarang masalah log masuk.

dashboard mystr

Langkah 3: Akses Dashboard Dan Mulakan Kemas Kini Permohonan

  • Setelah berjaya log masuk, paparan Dashboard akan dipaparkan. Klik menu Kemas Kini Permohonan untuk memulakan proses kemaskini maklumat.

kemaskini maklumat str

Langkah 4: Semak Dan Kemas Kini Maklumat Permohonan

  • Di halaman Paparan Maklumat Permohonan, anda perlu mengisi dan mengemas kini maklumat berikut:

a) Maklumat Pemohon

Maklumat ini akan dipaparkan secara automatik berdasarkan permohonan terdahulu. Sila semak dan kemaskini maklumat berikut jika ada sebarang perubahan yang perlu dilakukan:

  • Nombor Telefon Rumah dan Bimbit / Pilihan Pekerjaan / Pendapatan Kasar Bulanan Isi Rumah (termasuk Pemohon dan Pasangan) / Status Perkahwinan (Kahwin, Cerai, Kematian Pasangan, Bujang).
  • Jika status perkahwinan adalah Kahwin, Cerai atau Kematian Pasangan, isikan Tarikh Status Perkahwinan (tarikh perkahwinan, perceraian atau kematian).

b) Alamat Surat-Menyurat

  • Pastikan alamat yang diberikan lengkap termasuk Nombor Poskod. Maklumat Bandar dan Negeri akan dipaparkan secara automatik berdasarkan poskod yang diisi.

c) Maklumat Bank

  • Pilih nama bank daripada senarai yang masih aktif dan masukkan Nombor Akaun Bank.

d) Alamat E-mel

  • Pastikan alamat e-mel yang diberikan adalah aktif dan betul kerana maklumat penting akan dihantar melalui e-mel.

maklumat pasangan str

e) Maklumat Pasangan (jika berkaitan)

Untuk pemohon yang berkahwin, isikan maklumat pasangan termasuk Jenis Pengenalan, Nombor Pengenalan, Nama, Jantina, Nombor Telefon, Pekerjaan, Nama Bank dan Nombor Akaun Bank pasangan.

  • Jika maklumat pasangan sudah wujud dalam data JPN, nama dan jantina akan dipaparkan secara automatik dan tidak boleh diubah.
  • Sekiranya pasangan tidak wujud dalam data, anda perlu mengisi maklumat secara manual dan mengemukakan salinan dokumen pengenalan ke LHDNM.

maklumat anak str

f) Maklumat Anak (jika bukan Bujang)

  • Masukkan Nombor Pengenalan Anak (MyKad/MyKid). Maklumat Nama dan Umur akan dipaparkan secara automatik jika data wujud.
  • Pilih status anak sama ada Anak Kandung atau Anak Angkat. Anda boleh mengisi sehingga maksimum 5 orang anak.
  • Jika maklumat anak sudah wujud dalam permohonan lain, sistem akan memaparkan mesej rujukan.

g) Dokumen Sokongan

  • Pilih jenis dokumen yang berkaitan berdasarkan status perkahwinan dan kemaskini muat naik dokumen dalam format PDF, JPG, JPEG, atau PNG dengan saiz tidak melebihi 3MB.
  • Pastikan dokumen berjaya dimuat naik dan paparan dokumen muncul di skrin.

maklumat waris str

h) Maklumat Waris

  • Pilih sama ada ada waris atau tidak. Jika ada, lengkapkan maklumat hubungan, jenis pengenalan, nombor pengenalan, nama dan nombor telefon waris.
  • Jika maklumat waris adalah sama seperti maklumat pasangan, data akan diisi secara automatik.

i) Pengesahan

  • Isi nilai Captcha seperti dipaparkan untuk pengesahan keselamatan.
  • Sekiranya captcha salah, sistem akan reset dan anda perlu memasukkan semula nilai yang betul.
  • Setelah semua maklumat lengkap dan betul, klik Hantar untuk meneruskan proses permohonan kemaskini.

Sila dapatkan infografik panduan lengkap pengguna: Cara Kemaskini Permohonan STR 2026

Jumlah Keseluruhan Duit Bantuan STR 2026

Berikut adalah jumlah amaun keseluruhan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 berdasarkan kategori dan pendapatan isi rumah merangkumi jumlah anak.

jumlah duit str 2026

Penafian: Maklumat dinyatakan pada artikel ini adalah berdasarkan rujukan penulis terhadap kenyataan rasmi yang dilaporkan oleh media arus perdana, maklumat dalam portal rasmi STR serta dari pengalaman dan pengetahuan penulis sendiri. Anda dinasihatkan membuat pertimbangan sewajarnya.

Pada masa yang sama, kami ingin menasihati anda, jangan sesekali memberikan maklumat butiran penting peribadi anda kepada individu atau pihak meragukan selain pastikan dan buat semakan semula pautan (link) atau url tersebut adalah capaian ke portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah yang sebenarnya iaitu: https://bantuantunai.hasil.gov.my

Semoga urusan dan proses pengemaskinian maklumat permohonan STR anda berjalan lancar serta dipermudahkan.

berhati-hati

Kongsi Artikel