Bermula 1 Julai 2025, kerajaan akan mengenakan cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas sektor kewangan. Namun disebalik pengumuman tersebut ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna terutamanya melibatkan transaksi pengeluaran antara bank di ATM. Ramai yang salah faham bahawa setiap kali mereka keluar wang sebanyak RM100 dari bank, mereka akan dikenakan SST sebanyak RM8. Dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.
Hakikat Cukai SST 8% Sektor Kewangan (BANK)
SST 8% dikenakan ke atas yuran perkhidmatan tertentu yang dikenakan oleh pihak bank. Ia bukanlah cukai yang dikenakan ke atas jumlah wang dipindahkan, disimpan atau dikeluarkan oleh pengguna. Dengan kata lain, cukai ini lebih berkaitan dengan perkhidmatan disediakan oleh bank seperti caj pemprosesan transaksi, caj kad kredit atau caj overdraf berbanding jumlah wang yang terlibat dalam transaksi tersebut.
Contoh perkhidmatan yang tidak dikenakan SST;
- Pembukaan akaun simpanan / semasa
- Pengeluaran atau deposit tunai
- Perbankan dalam talian (transfer duit sesama akaun)
- Pemindahan GIRO, DuitNow, FPX (tanpa caj)
- Pengeluaran ATM
Mengetahui perkhidmatan dikecualikan SST adalah penting agar pengguna tidak terkeliru dengan anggapan bahawa setiap transaksi bank akan dikenakan cukai SST sebanyak 8% atas jumlah wang yang dipindahkan atau dikeluarkan. Hakikatnya, cukai ini hanya dikenakan ke atas yuran perkhidmatan tertentu yang dikenakan oleh pihak bank dan hanya untuk transaksi berbayar melibatkan perkhidmatan tersebut.
SST 8% hanya dikenakan ke atas perkhidmatan kewangan yang berasaskan yuran dan komisen, antaranya;
- Pemindahan dana rentas sempadan.
- Transaksi pelaburan.
- Pengeluaran laporan khas.
- Perkhidmatan nasihat tertentu.
- Yuran perkhidmatan arranger / facility agent, yuran agensi, dan caj pentadbiran dalam pasaran hutang.
Contoh Pengiraan Cukai Perkhidmatan SST 8%
Untuk memudahkan pemahaman, berikut adalah contoh pengiraan yang ringkas dan jelas.
Bayangkan bank mengenakan caj sebanyak RM10 untuk satu perkhidmatan tertentu, contohnya;
- Pemindahan wang ke bank lain
- Permohonan penyata akaun tambahan
- Pengeluaran cek
Dalam kes ini, cukai 8% akan dikira berdasarkan jumlah caj tersebut:
- SST 8% = RM10 x 8% = RM0.80
Jumlah yang akan dicaj kepada pengguna pula adalah;
- Caj asas: RM10
- Cukai perkhidmatan (8%): RM0.80
- Jumlah keseluruhan: RM10.80
Perkara penting di sini ialah, SST 8% ini tidak dikenakan ke atas jumlah wang yang dipindahkan atau dikeluarkan, tetapi hanya ke atas yuran perkhidmatan yang dikenakan oleh bank.
Adakah Semua Transaksi Dikenakan SST 8%?
Jawapannya tidak. Hanya transaksi melibatkan yuran perkhidmatan berbayar sahaja yang akan dikenakan SST 8%. Contohnya;
- Caj pemprosesan transaksi.
- Caj kad kredit tahunan.
- Caj overdraf.
- Caj pemindahan melalui perkhidmatan tertentu yang mengenakan yuran.
Sebaliknya, transaksi seperti;
- Pengeluaran tunai dari mesin ATM (termasuk dari bank sendiri).
- Pemindahan dalaman antara akaun bank yang sama.
- Deposit tunai.
- Pengeluaran tunai dari akaun semasa ke akaun simpanan.
Dikecualikan SST 8%. Ini kerana ia dianggap sebagai perkhidmatan asas yang tidak berbayar tambahan.
Kenapa SST Kini Lebih Tinggi?
Kerajaan secara rasmi menaikkan kadar SST dari 6% kepada 8%. Langkah ini dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh pendapatan negara dan memastikan perkhidmatan tertentu dapat terus disediakan secara mampan.
Namun, kenaikan ini hanya tertakluk kepada perkhidmatan tertentu yang dikenakan SST, termasuklah perbankan, insurans, logistik dan telekomunikasi. Oleh itu, pengguna tidak perlu khuatir bahawa setiap transaksi bank akan dikenakan SST 8%, tetapi hanya transaksi yang melibatkan yuran perkhidmatan tertentu sahaja.
Perkhidmatan Dan Pengiraan SST
Sebagai gambaran, berikut adalah beberapa contoh situasi yang biasa berlaku;
- Pengeluaran tunai RM100 dari ATM
Tidak dikenakan cukai 8% kerana ini adalah transaksi pengeluaran tunai biasa. - Transfer wang RM100 ke akaun lain
Tiada cukai 8% dikenakan jika tiada yuran perkhidmatan dikenakan. - Bayar bil online dengan caj RM10
SST 8% = RM10 x 8% = RM0.80
Jumlah caj keseluruhan: RM10.80 - Caj kad kredit tahunan RM100
SST 8% = RM100 x 8% = RM8
Jumlah yang dicaj: RM108