Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa pemilik lesen memandu kini boleh mencetak kad fizikal lesen memandu mereka tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara serta tanpa sebarang sekatan kategori.
Kad Fizikal Lesen Memandu Dan Digital
Sejak pelancaran Lesen Memandu Digital melalui aplikasi MyJPJ, penggunaannya telah menunjukkan peningkatan pengguna yang telah mendaftar dan mengakses lesen memandu digital. Kemudahan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin selesa dan yakin dengan penggunaan teknologi dalam urusan rasmi.
Namun begitu, walaupun penggunaan lesen digital semakin meluas, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerima maklum balas bahawa masih terdapat sebahagian rakyat yang memerlukan dokumen fizikal bagi tujuan tertentu, terutamanya untuk perjalanan ke luar negara kerana kad fizikal lesen memandu diakui sebagai dokumen sokongan penting diperlukan di sesetengah negara.

Kadar Bayaran Harga Kad Fizikal Lesen Memandu
Bermula 23 Januari 2026, pemilik Lesen Memandu Memandu Lesen (LLM) boleh mendapatkan kad fizikal lesen memandu mereka dengan mudah dan tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara. Permohonan cetakan kad fizikal boleh dibuat di semua kaunter JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara. Kadar bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia: RM20
- Bukan Warganegara Malaysia: RM100
Kadar ini adalah khusus untuk perkhidmatan cetakan kad fizikal sahaja dan tidak menjejaskan penggunaan lesen digital yang sedia ada. Ia dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan mempunyai pilihan dan fleksibiliti dalam menguruskan dokumen mereka.
Kategori Penerima Kad Fizikal Percuma
Dasar pemberian kad fizikal secara percuma terus diteruskan kepada golongan tertentu yang memerlukan, termasuk:
- Warga emas berumur 60 tahun ke atas
- Pemegang Lesen Kelas A1 dan A
- Pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan JKM
Pembaharuan Lesen Memandu
Selain itu, pembaharuan lesen memandu kini boleh dilakukan sehingga 10 tahun sekali sama ada secara digital mahupun fizikal. Walaupun lesen tempatan boleh diperbaharui sehingga 10 tahun, perlu diingatkan bahawa International Driving Permit (IDP) hanya sah untuk tempoh satu tahun dan perlu diperbaharui setiap tahun oleh pemandu yang ingin memandu kenderaan di luar negara.
Oleh yang demikian, pemilik lesen disarankan memilih kaedah yang paling sesuai dengan keperluan mereka sama ada secara digital ataupun fizikal.

Kelebihan Dan Kemudahan Lesen Memandu Digital
Lesen Memandu Digital melalui aplikasi MyJPJ tetap menjadi pilihan utama. Ia menawarkan kelebihan dari segi kemudahan, kecekapan dan keberkesanan masa.
Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi tersebut, mendaftar dan kemaskini maklumat secara digital yang mana proses ini secara percuma dan tidak memerlukan sebarang bayaran tambahan.


