Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah menegaskan bahawa pentingnya semua individu yang terpilih sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melapor diri mengikut tarikh dan masa sepertimana ditetapkan dalam surat panggilan rasmi.
Hukuman Tak Hadir PLKN 3.0
Menurut makluman rasmi daripada JLKN, kehadiran pelatih adalah wajib dan mesti memenuhi arahan yang telah ditetapkan. Kegagalan untuk hadir tanpa alasan munasabah atau pengesahan masalah kesihatan disahkan oleh pakar perubatan boleh membawa kepada tindakan undang-undang di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara.
| Bil. | Pautan Rujukan |
|---|---|
| 1. | Akta Latihan Khidmat Negara 2023 |
| 2. | Akta Khidmat Negara 1952 |
Ini bermaksud, mana-mana individu tidak mematuhi arahan tersebut berisiko dikenakan denda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Tindakan tegas ini diambil bertujuan memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan memastikan setiap pelatih mendapat manfaat sepenuhnya daripada latihan ini.

Kesalahan Menghasut
JLKN turut menegaskan bahawa sebarang usaha oleh pihak lain menghasut atau memujuk mana-mana pelatih agar tidak hadir tanpa kebenaran juga merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 19(2) akta yang sama. Ia menunjukkan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana usaha yang boleh merosakkan objektif utama program ini.
Seruan Kerjasama
Jabatan Latihan Khidmat Negara menyeru semua pelatih dan waris mereka agar memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan pelaksanaan program berjalan lancar. Tiada jalan singkat dalam membina generasi muda yang berkualiti dan keberkesanan program ini bergantung kepada komitmen serta disiplin setiap individu terlibat.
Pelaporan diri yang tepat dan patuh kepada arahan juga menunjukkan rasa tanggungjawab dan komitmen terhadap pembangunan diri sendiri serta negara. Ia adalah langkah awal menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan bangsa dan menanam nilai-nilai murni bagi membentuk individu berguna kepada masyarakat dan negara di masa akan datang.


