Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat pengumuman rasmi berkenaan kos, bayaran serta prosedur pengeluaran Surat Tawaran Haji kepada para dhuyufurrahman (tetamu Allah). Pengumuman tersebut bukan sahaja menjadi tanda persiapan rasmi bagi bakal jemaah malah turut membuka peluang kepada semua untuk membuat semakan dan persediaan awal bagi menunaikan ibadah haji.
Pengeluaran Surat Tawaran Haji 2026
Surat tawaran haji 1447H/2026M kepada seramai 31,600 bakal jemaah akan mula dikeluarkan secara berperingkat mulai hari Jumaat, 24 Oktober 2025. Proses ini dilakukan secara teliti dan sistematik bagi memastikan setiap individu yang layak mendapat peluang menunaikan ibadah haji menerima tawaran mereka dengan lancar dan teratur.
Para bakal jemaah disarankan untuk membuat semakan status tawaran melalui platform digital THiJARI merupakan saluran utama dan mudah diakses untuk memantau perkembangan permohonan dan giliran mereka. Dengan kemudahan ini, bakal jemaah boleh mendapatkan maklumat terkini secara langsung tanpa perlu berkunjung ke cawangan secara fizikal sekaligus menjimatkan masa dan tenaga.

Rayuan Belum Terima Tawaran Tunai Haji
Walaupun jumlah kuota haji yang diberikan agak terbatas, TH memahami bahawa tidak semua bakal jemaah akan menerima surat tawaran serentak. Oleh itu, mulai 3 November 2025, TH akan membuka peluang rayuan kepada mereka yang belum menerima tawaran khususnya kepada mereka yang belum tiba giliran.
Proses rayuan ini akan diuruskan melalui platform THiJARI dan akan mengambil kira beberapa kriteria penting seperti tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan di Tabung Haji serta kekerapan permohonan rayuan dibuat.
Ini bermakna, bakal jemaah yang memenuhi syarat dan menunjukkan komitmen tinggi dalam menunaikan ibadat ini mempunyai peluang yang lebih cerah untuk diluluskan.

Syarat Penting Dan Persediaan Awal Jemaah Haji
Bakal jemaah diingatkan untuk mencukupkan simpanan mereka di Tabung Haji kepada minimum RM15,000. Syarat ini penting kerana ia mencerminkan kemampuan kewangan dan komitmen mereka dalam menunaikan haji. Selain itu, calon jemaah juga perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh pihak berwajib untuk memastikan mereka mampu menjalani ibadat haji dengan sihat dan selamat.
Pengguna disarankan agar segera mengemas kini maklumat peribadi mereka di platform THiJARI bagi memastikan maklumat terkini dan tidak terlepas peluang menunaikan rukun Islam kelima ini. Semakan giliran juga boleh dibuat secara digital atau melalui lawatan ke cawangan Tabung Haji berhampiran.
Kursus Asas Haji
Selain daripada aspek kewangan dan kesihatan, persiapan ilmu juga sangat penting dalam menunaikan haji. Untuk itu, TH akan menganjurkan Kursus Asas Haji yang akan berlangsung di lebih 200 masjid seluruh negara bermula 3 Oktober 2025. Kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan ilmu yang cukup kepada bakal jemaah agar mereka memahami setiap rukun dan adab dalam menunaikan ibadah haji.
Kursus ini juga membantu mereka membina keyakinan dan mengurangkan rasa cemas atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan di tanah suci nanti. Dengan ilmu yang cukup, bakal jemaah dapat menunaikan ibadat haji dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta memperoleh keberkatan dan keberkesanan ibadah.

Panduan Semakan Surat Tawaran Tunai Haji
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diikuti oleh semua bakal haji Malaysia untuk menyemak dan menjawab tawaran haji mereka melalui platform digital yang disediakan oleh Tabung Haji:
- Login ke Portal THiJARI
Layari laman web rasmi THiJARI di pautan berikut:
https://www.thijari.com.my
Masukkan ID pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan semasa pendaftaran awal.

- Pilih Menu Perkhidmatan Haji
Setelah berjaya login, cari dan klik pada menu Perkhidmatan Haji yang biasanya terletak di bahagian utama panel pengguna.

- Klik Semak Tawaran Haji
Di dalam menu tersebut, pilih pilihan Semak Tawaran Haji.
Paparan skrin seterusnya akan menunjukkan status tawaran haji terkini anda. - Semak Maklumat Dan Jawab Tawaran
Sekiranya anda menerima panggilan haji bagi tahun ini, maklumat tersebut akan dipaparkan di situ.
Pastikan anda membaca maklumat yang diberikan dan buat keputusan sama ada ingin menerima tawaran atau tidak. - Pengesahan Dan Persediaan
Jika menerima tawaran, ikuti arahan seterusnya untuk pengesahan dan persediaan ke tanah suci.
Jika tidak, anda boleh menunggu tawaran tahun depan atau membuat permohonan semula mengikut prosedur yang ditetapkan.



