Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS). Sistem ini bukan sahaja memudahkan pengumpulan dan penyimpanan data peperiksaan tetapi juga menjadi aplikasi penting bagi ibu bapa dan penjaga untuk memantau prestasi akademik anak-anak mereka. Dengan adanya SAPS, semua maklumat berkaitan keputusan peperiksaan pelajar kini boleh diakses secara dalam talian (online) menjadikan proses semakan lebih mudah dan efisien.
SAPS Ibu Bapa: Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah
Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah inovasi sangat berguna bagi ibu bapa dan penjaga bagi tujuan memantau perkembangan akademik anak-anak mereka. Bersandarkan akses mudah kepada maklumat keputusan peperiksaan, ibu bapa dapat mengambil langkah proaktif untuk membantu anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran. Oleh itu, semua ibu bapa dan penjaga digalakkan untuk memanfaatkan sistem ini sepenuhnya demi kebaikan pendidikan anak-anak mereka di masa depan.

Objektif Dan Kelebihan SAPS
Salah satu tujuan utama pembangunan SAPS adalah mengurangkan permintaan data peperiksaan yang sering diajukan oleh ibu bapa kepada pihak sekolah. Melalui sistem ini, ibu bapa tidak lagi perlu menunggu laporan dari guru atau sekolah mengenai pencapaian akademik anak mereka, sebaliknya semua maklumat tersedia hanya dengan beberapa klik sahaja. Ini menjadikan SAPS sebagai platform yang transparan dan mesra pengguna.
Sistem ini juga berfungsi sebagai alat pengukur untuk pihak KPM dalam menganalisis prestasi pelajar di seluruh negara. Melalui analisis TOV (Take Of Value), ETR (Expected Target Result) dan AR (Actual Result), pihak berwajib dapat melihat dengan lebih jelas tahap pencapaian pelajar dan membuat keputusan lebih tepat untuk meningkatkan sistem pendidikan di Malaysia.
Peranan Guru Dalam Sistem SAPS
Guru kelas dan guru mata pelajaran memainkan peranan sangat penting. Mereka bertanggungjawab memasukkan dan mengemaskini maklumat pelajar serta markah peperiksaan ke dalam sistem pangkalan data. Proses ini perlu dilakukan mengikut jadual tugasan ditetapkan oleh KPM bagi memastikan data dimasukkan adalah tepat dan terkini. Namun, keberkesanan sistem ini juga bergantung kepada kecepatan dan ketepatan guru dalam mengemaskini maklumat.

Cara Mengakses SAPS Bagi Ibu Bapa
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membuat semakan keputusan peperiksaan pelajar secara dalam talian menerusi Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah:
- Layari Portal Rasmi SAPS
Ibu bapa perlu melayari Portal Rasmi SAPS di pautan: https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php - Langkah Pertama: Carian Murid
Sila masukkan atau Nombor Sijil Lahir atau Nombor Kad Pengenalan (Pastikan nombor tersebut adalah betul). Seterusnya klik pada butang Cari. - Nota
Jika Nombor Sijil lahir atau Kad Pengenalan (K/P) yang dimasukkan itu ada dalam pangkalan data Saps. Ibu bapa / Penjaga / Pelajar boleh terus ke langkah kedua. Jika sebaliknya, rujuk bahagian Masalah Login yang dinyatakan di bawah. - Langkah Kedua: Carian Sekolah
Sila tetapkan pilihan Negeri, pilihan Daerah dan pilihan Sekolah, kemudian klik pada butang Semak. Selepas itu senarai nama sekolah pelajar bagi pilihan negeri dan daerah akan terpapar. - Tetapan Berjaya
Setelah berjaya melakukan langkah kedua, Ibu Bapa / Penjaga / Pelajar boleh membuat pilihan untuk semakan keputusan peperiksaan anak / jagaan. Sila pilih tahun dan jenis peperiksaan kemudian klik butang Papar Slip Keputusan atau Papar Markah Peperiksaan.

Mengatasi Masalah Akses
Walaupun sistem SAPS direka untuk memudahkan pengguna, ada kalanya ibu bapa mahupun pelajar atau murid-murid mungkin menghadapi masalah untuk mengakses portal. Antara sebab yang mungkin adalah:
- Kesesakan Pelayan (server)
Kesesakan pelayan akibat jumlah pengguna yang tinggi. Capaian dibuat oleh pengguna lain ke atas portal atau laman web SAPS adalah terlalu tinggi pada satu-satu masa yang melebihi kemampuan proses server. - Proses pengemaskinian Sistem
Proses penutupan sementara atau pengemaskinian sistem oleh KPM yang mengambil tempoh masa tertentu.
Jika menghadapi masalah seperti ini, semua pengguna dinasihatkan untuk bersabar dan mencuba lagi di lain waktu. Sekiranya terdapat masalah berkaitan maklumat pelajar yang tidak dapat diakses, pengguna atau ibu bapa harus memberitahu guru kelas untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Masalah Login
Selain masalah Nombor Sijil Lahir atau Nombor Kad Pengenalan (K/P) tidak dapat mengakses seperti dinyatakan di atas, ibu bapa juga berkemungkinan mengalami masalah lain untuk login ke SAPS, antaranya adalah:
- ID atau Kata Laluan
Kemungkinan pengguna terlupa ID atau kata laluan sebenar ataupun berlaku kesilapan huruf besar/kecil bagi ID atau kata laluan. Masalah sebegini boleh diatasi dengan menghubungi terus HELPDESK menerusi butiran di bawah; - HELPDESK SAPS: 03-83208061
Waktu operasi: Isnin – Jumaat 8:30 pg – 5:00 ptg (kecuali cuti umum) Rehat 1:00 ptg – 2:00 ptg (kecuali hari jumaat 12:15 tengah hari – 2:45 ptg)
Nota Penting
- Sekolah Rendah
Sistem semakan saps ibu bapa hanya menyediakan semakan bagi Darjah 1 hingga Darjah 6. - Sekolah Menengah
Hanya menyediakan semakan bagi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. - Perisian Adobe Reader (PDF)
Sila pastikan komputer atau peranti mudah alih yang digunakan dilengkapi dengan perisian Adobe Reader (PDF) bagi membolehkan lampiran slip keputusan juga pemarkahan dapat dipaparkan. - Data Dan Rekod
Data atau rekod peperiksaan pelajar bagi tahun-tahun sebelumnya turut boleh disemak menerusi sistem aplikasi yang sama.
Tafsiran Dan Gred Pemarkahan Sekolah Rendah Dan Menengah Terkini
Berikut adalah tafsiran atau gred permarkahan bagi peperiksaan peringkat Sekolah Rendah, Menengah Rendah, dan Menengah Atas sebagai rujukan;
Gred Sekolah Rendah
| Julat Markah | Gred | Catatan |
|---|---|---|
| 80-100 | A | Cemerlang |
| 65-79 | B | Baik |
| 50-64 | C | Memuaskan |
| 40-49 | D | Mencapai Tahap Minimum |
| 0-39 | E | Belum Mencapai Tahap Minimum |
| TH | TH | Tidak Hadir |
Gred Menengah Rendah
| Julat Markah | Gred | Catatan |
|---|---|---|
| 85-100 | A | Cemerlang |
| 70-84 | B | Kepujian |
| 60-69 | C | Baik |
| 50-59 | D | Memuaskan |
| 40-49 | E | Mencapai Tahap Minimum |
| 00-39 | F | Belum Mencapai Tahap Minimum |
| TH | TH | Tidak Hadir |
Gred Menengah Atas
| Julat Markah | Gred | Catatan |
|---|---|---|
| 90-100 | A+ | Cemerlang Tertinggi |
| 80-89 | A | Cemerlang Tinggi |
| 70-79 | A- | Cemerlang |
| 65-69 | B+ | Kepujian Tertinggi |
| 60-64 | B | Kepujian Tinggi |
| 55-59 | C+ | Kepujian Atas |
| 50-54 | C | Kepujian |
| 45-49 | D | Lulus Atas |
| 40-44 | E | Lulus |
| 00-39 | G | Gagal |
| TH | TH | Tidak Hadir |


