Permohonan Rayuan Haji 2026-1447H Melalui Aplikasi THIJARI

Permohonan Rayuan Haji 2026-1447H Melalui Aplikasi THIJARI. Cara buat rayuan mengerjakan haji melalui pengisian borang secara online tanpa surat rayuan.

Menunaikan ibadah haji merupakan impian utama yang diidamkan oleh setiap Muslim. Namun, memandangkan jumlah kuota haji yang terhad setiap tahun, tidak semua yang memohon akan menerima tawaran secara serta-merta.

Justeru, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa berusaha mencari jalan agar lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan ibadah ini. Salah satu inisiatif dilaksanakan untuk mereka yang belum menerima tawaran haji adalah membuat permohonan rayuan secara digital melalui platform THiJARI.

Tarikh Permohonan Rayuan Haji 2026

Bagi mereka yang telah mendaftar tetapi belum berpeluang menerima tawaran haji pada tahun ini, jangan berputus asa. Mulai tarikh 3 November 2025, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian (online) melalui platform THiJARI yang mudah diakses dari mana-mana sahaja.

Ini adalah langkah proaktif dari pihak Tabung Haji bagi memastikan peluang menunaikan ibadah ini tidak terlepas begitu sahaja. Melalui platform ini juga, bakal jemaah berpeluang untuk mengemukakan permohonan rayuan secara sistematik dan teratur sekali gus mempercepatkan proses penilaian dan keputusan.

kenyataan tabung haji rayuan haji

Kriteria Utama Penilaian Rayuan Haji

Dalam usaha memastikan pemilihan bakal jemaah yang layak dan berpotensi untuk menunaikan haji, pihak Tabung Haji akan mengambil kira beberapa kriteria utama yang telah ditetapkan. Antara kriteria tersebut adalah:

  1. Tempoh Pendaftaran Haji
    Semakin lama seseorang mendaftar, semakin tinggi peluang untuk dipertimbangkan kerana menunjukkan kesungguhan dan komitmen terhadap ibadah ini.
  2. Umur
    Faktor umur turut diambil kira, di mana mereka yang lebih berusia biasanya diberikan keutamaan memandangkan peluang untuk menunaikan haji semakin terbatas.
  3. Purata Baki Simpanan Tabung Haji
    Simpanan yang stabil dan mencukupi menunjukkan kemampuan kewangan untuk menunaikan ibadah haji sekali gus menjadi salah satu indikator layak atau tidaknya seseorang bakal jemaah.
  4. Kekerapan Permohonan Rayuan
    Mereka yang kerap membuat permohonan rayuan menunjukkan komitmen yang tinggi dan minat yang mendalam dalam menunaikan ibadah ini.

cara mohon rayuan haji

Panduan Dan Cara Mohon Rayuan Haji Melalui THiJARI

Walaupun anda pernah membuat permohonan rayuan haji pada tahun sebelumnya adalah disarankan untuk memperbaharui rayuan setiap tahun. Ini kerana setiap permohonan adalah berbeza dan perlu dinilai semula mengikut kategori yang ditetapkan serta keadaan semasa. Peluang anda untuk dipanggil menunaikan haji akan meningkat.

Proses permohonan rayuan ini sangat mudah dan boleh dilakukan sepenuhnya secara dalam talian melalui laman web rasmi THiJARI. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ikuti:

  • Log Masuk Ke THiJARI
    Pautan: https://www.thijari.com.my
    Pastikan anda mempunyai akaun pengguna. Jika belum berdaftar, anda perlu mendaftar terlebih dahulu di laman web tersebut.
  • Pilih Menu Perkhidmatan Haji
    Setelah berjaya masuk, cari dan klik menu Perkhidmatan Haji untuk meneruskan proses.
  • Pilih Menu Rayuan Haji
    Di bahagian ini, anda akan melihat pilihan untuk membuat permohonan rayuan. Klik Rayuan Haji.
  • Garis Panduan Dan Kategori Rayuan
    Rujuk garis panduan serta kategori rayuan yang dipaparkan dengan teliti. Pastikan anda memahami syarat dan kategori yang sesuai untuk permohonan anda.
  • Pilih Kategori Rayuan Yang Berkaitan
    Pilih kategori yang paling sesuai dengan keadaan anda, sama ada kerana umur, kesihatan, status mualaf atau sebab-sebab lain.
  • Lengkapkan Maklumat Permohonan
    Isikan maklumat yang diperlukan di ruangan yang disediakan. Pastikan maklumat lengkap dan tepat, kecuali bahagian yang tidak berkaitan seperti Lanjut Usia, Mualaf dan lain-lain yang tidak perlu diisi.
  • Klik Seterusnya
    Setelah maklumat diisi, klik butang Seterusnya untuk meneruskan proses.
  • Pilih Dan Lengkapkan Maklumat Pada Ruangan Berkaitan
    Pilih maklumat berkaitan seperti Bayaran Haji, Kesihatan dan Akad Istitoah. Pastikan semua maklumat yang diberi adalah benar dan lengkap.
  • Hantar Permohonan
    Setelah semua bahagian dilengkapkan, klik Hantar untuk menyerahkan permohonan rayuan anda.
  • Semak Status Dan Muat Turun Surat Maklumbalas
    Maklumat status permohonan akan dipaparkan secara automatik. Pastikan anda klik ruangan Muat Turun untuk mendapatkan Surat Maklumbalas permohonan rayuan. Surat ini penting sebagai rujukan dan arahan selanjutnya.

Penting untuk diingat selepas menerima surat maklumbalas, pemohon harus memahami kandungan surat berkenaan dan mengikuti arahan yang diberikan. Surat ini juga akan dihantar ke email pemohon sebagai salinan rasmi.

panduan daftar thijari

Kongsi Artikel