Gas LPG atau gas memasak adalah satu keperluan utama bagi kebanyakan isi rumah (pengguna kediaman) di Malaysia. Tetapi, pernahkah anda tertanya-tanya berapakah harga runcit sebenar gas LPG yang ditetapkan oleh kerajaan? Adakah harga yang anda bayar itu sepadan dengan harga sepertimana ditetapkan?
Harga Maksimum Runcit Gas Memasak
Menurut maklumat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), harga runcit LPG/gas memasak di Malaysia untuk kegunaan isi rumah atau pengguna kediaman merupakan harga kawalan.
Harga ini telah diwartakan dan dipersetujui oleh kerajaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011.
Tujuan utama penetapan harga ini bagi memastikan pengguna tidak dikenakan harga yang melampau dan memastikan akses kepada gas LPG tetap berpatutan.

Sebagai panduan, berikut adalah harga runcit semasa bagi beberapa saiz silinder (tong) LPG yang biasa digunakan di pasaran:
| Perkara | Butiran |
|---|---|
| Silinder (Tong) 10kg | RM19.00 |
| Silinder (Tong) 12kg | RM22.80 |
| Silinder (Tong) 14kg | RM26.60 |
Harga-harga ini adalah harga asas yang ditetapkan kerajaan dan menjadi rujukan utama peniaga serta pengguna.
Ia memastikan bahawa pengguna tidak perlu membayar lebih daripada harga yang telah ditetapkan sekali gus melindungi mereka daripada kenaikan harga tidak munasabah.
Pengiraan Harga Gas Memasak Saiz Tong Gas
Harga runcit dinyatakan ini merupakan harga maksimum yang boleh dikenakan oleh peniaga. Contohnya, bagi silinder 10kg, jika dikira secara kasar, harga runcit adalah:
- RM1.90 x 10kg = RM19.00
Begitu juga untuk silinder 12kg dan 14kg, harga dikira berdasarkan harga per kilogram yang ditetapkan.
Ia memudahkan pengguna memahami bagaimana harga tersebut dikira dan memastikan mereka tidak tertipu dengan caj tambahan yang tidak wajar.
Jadi, lain kali apabila anda membeli gas LPG, ingatlah bahawa harga runcit sepatutnya anda bayar adalah berdasarkan RM1.90 sekilogram dan harga maksimum yang ditetapkan setiap saiz silinder.
Pastikan juga memeriksa caj penghantaran dikenakan agar tidak tertipu dan sentiasa berurusan dengan peniaga yang sah dan berlesen.

Harga Kawalan Gas Memasak
Penetapan harga runcit LPG menerusi harga kawalan oleh kerajaan adalah memastikan kestabilan harga. Ia membantu mengelakkan spekulasi dan penipuan yang boleh berlaku di pasaran selain melindungi hak pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah.
Kerajaan melalui agensi berkenaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), memantau dan memastikan harga LPG kekal stabil dan mengikut harga yang telah diwartakan.
Peniaga pula dibenarkan mengenakan caj penghantaran bagi gas LPG yang dijual tetapi caj ini haruslah munasabah dan tidak melebihi had ditetapkan.
Caj penghantaran ini biasanya bergantung kepada jarak pengangkutan dan jumlah silinder atau tong gas yang ditempah. Pengguna disarankan berunding dan mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat pembelian supaya mereka tidak tertipu dengan caj tambahan disifatkan tidak wajar.


