Saat kita melangkah ke penghujung tahun mungkin di antara kita merasa lega kerana segala cabaran sudah dilalui, ada berasa penuh syukur atas nikmat yang tidak terhingga dan tidak kurang juga yang sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu.
Ketika inilah waktu yang sesuai untuk kita berhenti sejenak dan merenung kembali perjalanan sepanjang tahun yang lalu. Ia adalah detik yang penuh makna di mana kita dapat menilai pencapaian, belajar daripada kesilapan dan memohon keampunan serta rahmat daripada Yang Maha Esa.
Ucapan syukur kepada Allah atas segala nikmat dan ujian yang telah dilalui adalah satu amalan mulia yang sangat dianjurkan dalam Islam. Nikmat seperti kesihatan, keluarga, rezeki dan peluang untuk memperbaiki diri adalah anugerah yang perlu disyukuri.
Sebaliknya, ujian dan cabaran juga merupakan asam garam kehidupan yang mendidik dan menguatkan hati serta jiwa. Dengan rasa syukur, hati menjadi tenang dan lapang sekali gus memudahkan kita untuk menerima segala ketentuan-Nya dan terus berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik.
Doa Akhir Tahun 2025 Masihi
Doa akhir tahun biasanya dibaca ketika hampir berakhirnya tahun. Dalam doa tersebut, kita memohon keampunan atas segala dosa dan kekhilafan selain memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT serta memohon agar diberikan kekuatan dan petunjuk dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Doa Awal Tahun Baharu 2026 Masihi
Sementara itu, doa awal tahun pula adalah harapan dan semangat baru. Ia adalah doa yang mengandungi doa dan azam agar tahun yang akan datang dipenuhi dengan keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan. Melalui doa ini, kita berikrar untuk memperbaiki diri, meningkatkan amal ibadah dan memperkukuhkan hubungan dengan manusia serta Allah SWT. Ia memberi suntikan motivasi dan semangat positif agar kita mampu menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan dan keimanan.

Kelebihan Berdoa Awal Dan Akhir Tahun
Ia mengingatkan kita bahawa kehidupan ini penuh dengan liku-liku dan ujian, namun dengan doa dan tawakkal kita mampu melaluinya dengan tabah dan penuh harapan. Ia juga merupakan satu bentuk pengakuan bahawa segala nikmat dan rezeki datang daripada Allah dan hanya kepada-Nya kita berserah dan memohon pertolongan.
Berdoa adalah waktu yang sesuai untuk kita melakukan muhasabah diri. Apakah pencapaian yang telah kita raih? Apakah kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki? Apakah matlamat yang belum tercapai dan bagaimana kita boleh berusaha lebih gigih di tahun yang baru? Dengan melakukan muhasabah, kita dapat menetapkan azam dan matlamat yang lebih terancang serta bersemangat dalam menempuh hari-hari mendatang.
Azam Tahun Baharu
Melangkah ke tahun baharu adalah peluang untuk memperbaharui azam, memperkukuh iman dan memperbaiki diri. Doa yang tulus dan rasa syukur, kita memulakan lembaran baharu dengan penuh semangat dan harapan. Semoga setiap langkah kita dipenuhi keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT dan semoga tahun yang akan datang membawa kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan.
Semoga segala usaha dan doa kita diberkati dan dikabulkan oleh-Nya. Aamiin.


