Cara Mohon Bantuan AM Persekolahan MAIWP 2026

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuka permohonan kepada ibu bapa dan penjaga berkelayakan memohon Bantuan AM Persekolahan MAIWP bagi tahun 2026. Permohonan ini adalah inisiatif berasaskan keprihatinan terhadap masyarakat yang menghadapi kekangan kewangan khususnya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka.

Bantuan AM Persekolahan MAIWP

Bantuan AM Persekolahan MAIWP diwujudkan sebagai langkah proaktif meringankan beban kewangan keluarga asnaf yang berdepan cabaran menyediakan keperluan persekolahan seperti pakaian, alat tulis, buku dan lain-lain. Ia adalah usaha berterusan bagi memastikan anak-anak asnaf dapat melangkah ke sekolah tanpa tekanan kewangan.

Inisiatif ini turut menegaskan bahawa pendidikan adalah hak setiap anak tanpa mengira latar belakang ekonomi. Melalui bantuan ini, diharapkan tiada lagi anak-anak terpaksa ketinggalan bersekolah disebabkan kekangan kewangan keluarga.

bantuan sekolah maiwp 2026

Tarikh Penting Permohonan Dan Syarat Kelayakan

Permohonan Bantuan AM Persekolahan MAIWP tahun 2026 dibuka mulai 21 Januari 2026 dan akan ditutup pada 20 Februari 2026 (Jumaat). Oleh itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan segera mendapatkan borang permohonan serta menyiapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh tersebut.

Syarat Kelayakan Utama

  • Warganegara Malaysia beragama Islam.
  • Bermastautin dan menetap di Wilayah Persekutuan tidak kurang daripada satu tahun.
  • Tidak menerima sebarang tajaan atau biasiswa daripada mana-mana pihak.
  • Penilaian berdasarkan had kifayah yang ditetapkan oleh MAIWP.

Panduan Permohonan Bantuan Sekolah MAIWP

Permohonan boleh dibuat melalui dua kaedah utama bergantung kepada lokasi sekolah anak anda:

Sekolah Di Wilayah Persekutuan

Bagi pelajar yang bersekolah di sekolah dalam Wilayah Persekutuan, borang permohonan boleh diperoleh melalui guru penghubung yang dilantik oleh MAIWP di sekolah masing-masing. Setelah mengisi borang, ia perlu dikembalikan kepada guru penghubung yang akan menyerahkan kepada MAIWP selepas pengesahan maklumat.

Sekolah di Luar Wilayah Persekutuan

Pelajar yang bersekolah di luar Wilayah Persekutuan dan tidak pernah menerima bantuan ini sebelum ini boleh memuat turun borang permohonan melalui laman web rasmi MAIWP. Manakala, bagi pelajar yang pernah menerima bantuan sebelum ini, mereka perlu mengisi Borang Pengesahan Bersekolah yang juga boleh didapati di laman web tersebut untuk proses penyambungan bantuan.

Selain itu, borang juga boleh didapati di:

  • Kaunter Agihan Zakat, Aras 3, Bangunan Daruzzakah, No.55, Jalan Haji Hussein 2, 50300 Kuala Lumpur.
  • Pusat Agihan Zakat (PAZA).
  • MAIWP Cawangan Putrajaya dan Labuan.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan ke lokasi-lokasi tersebut bagi tujuan proses penilaian dan kelulusan.

Sumber: Facebook Rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Kongsi Artikel

Azam Hairi

Azam Hairi

Penulis utama laman web mysumber dengan pengalaman lebih 5 tahun dalam menghasilkan kandungan digital berkualiti. Berkomited menyampaikan maklumat sahih, relevan dan terkini bagi memastikan setiap pembaca mendapat info yang tepat dan bermanfaat.

"Seorang penulis yang yakin idea hebat akan datang. Cuma tidak pasti bila."