Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 menandakan satu lagi babak penting dalam proses demokrasi yang menentukan hala tuju dan masa depan negeri Sabah.
Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah pada 6 Oktober 2025 oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman membuka lembaran baharu dalam proses demokratik negeri ini. Pembubaran ini adalah tindakan biasa bagi proses politik demokrasi, memberi ruang kepada pilihan raya untuk dilaksanakan dan memastikan mandat rakyat terus terjamin.
Dewan Undangan Negeri Sabah
Dewan Undangan Negeri Sabah terdiri daripada 73 ahli yang dikenali sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Setiap ADUN dipilih melalui sistem majoriti mudah atau sistem first-past-the-post di mana calon yang memperoleh undi terbanyak dalam satu kawasan pilihan raya akan menjadi wakil rakyat di DUN.
Setiap ADUN yang terpilih akan berkhidmat selama lima tahun dan mereka akan menjadi wakil rakyat yang mewakili suara rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah. Jika satu atau gabungan parti politik memperoleh majoriti kerusi, parti tersebut berhak membentuk kerajaan negeri dengan ketua parti tersebut dilantik sebagai Ketua Menteri.
Pilihan Raya Negeri Sabah 2025
Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 tidak boleh dilihat sebagai perebutan kerusi politik semata-mata tetapi lebih penting dengan masa depan pembangunan, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Sabah. Parti politik yang menang akan mempunyai kuasa untuk merancang dan melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pelancongan dan perkara-perkara berkepentingan kepada rakyat Sabah.
Selain itu, pilihan raya ini juga menjadi medan untuk rakyat menilai dan memilih calon yang benar-benar mampu membawa perubahan positif. Ia adalah peluang untuk menyuarakan harapan, keperluan dan aspirasi rakyat Sabah secara langsung kepada pemimpin yang akan dipilih nanti.
Tarikh Penting Pilihan Raya Sabah Ke-17
Pilihan raya Sabah 2025 adalah peristiwa yang dinanti-nanti oleh semua pihak. Ia merupakan hari di mana rakyat Sabah akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, memilih calon-calon yang mereka percaya mampu membawa perubahan dan kestabilan kepada negeri ini.
Proses pemilihan menggunakan sistem first-past-the-post (majoriti mudah), di mana calon yang memperoleh undi terbanyak di setiap kawasan pilihan raya akan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Berikut adalah tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17
- Hari Penamaan Calon
15 November 2025
(Tempoh Berkempen 14 Hari) - Hari Mengundi Awal
25 November 2025 - Hari Mengundi
29 November 2025
Cabaran Pilihan Raya Sabah
Seperti mana-mana pilihan raya di peringkat nasional mahupun negeri, Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 turut menghadapi cabaran besar. Politik yang sering kali dipenuhi dengan polemik, isu-isu semasa yang sensitif serta keperluan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan merupakan cabaran utama yang perlu dihadapi oleh semua pihak.
Namun, di sebalik cabaran tersebut, terdapat harapan yang tinggi dari rakyat Sabah bahawa pilihan raya ini akan menjadi titik tolak kepada perubahan positif. Rakyat mengharapkan wakil-wakil mereka nanti mampu memperjuangkan keadilan dan memperkukuhkan pembangunan ekonomi.

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah 29 November 2025
Orang ramai diingatkan bahawa keputusan rasmi dan sah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hanyalah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Walaupun terdapat pihak tertentu yang mengumumkan keputusan tidak rasmi semasa hari pengundian, pengumuman tersebut tidak boleh dianggap sebagai gambaran sebenar mengenai jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.
SPR menegaskan bahawa keputusan yang mereka keluarkan adalah sah mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan keputusan tersebut adalah muktamad serta berkemungkinan besar tidak akan diubah.
Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan keputusan awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dapat diketahui selewat-lewatnya pada jam 10 malam. Manakala, keputusan penuh/rasmi pula dijangka diumumkan sekitar jam 12 tengah malam.
Statistik Keseluruhan Keputusan Rasmi PRN Sabah 2025
| No. | Parti | Jumlah Kerusi Calon Bertanding | Jumlah Kerusi Calon Dimenangi |
|---|---|---|---|
| 1 | Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) | 55 | 29 |
| 2 | Parti Warisan Sabah (WARISAN) | 73 | 25 |
| 3 | Barisan Nasional (BN) | 45 | 6 |
| 4 | BEBAS | 74 | 5 |
| 5 | Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) | 25 | 3 |
| 6 | Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) | 46 | 2 |
| 7 | Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) | 40 | 1 |
| 8 | Perikatan Nasional (PN) | 42 | 1 |
| 9 | Pakatan Harapan (PH) | 22 | 1 |
| 10 | Parti Maju Sabah (SAPP) | 6 | 0 |
| 11 | Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) | 16 | 0 |
| 12 | Parti Impian Sabah (PIS) | 72 | 0 |
| 13 | Parti Bumi Kenyalang (PBK) | 14 | 0 |
| 14 | Parti Bangsa Malaysia (PBM) | 3 | 0 |
| 15 | Parti Kebangsaan Sabah (PKS) | 20 | 0 |
| 16 | Perjuangan Rakyat (PR) | 6 | 0 |
| 17 | Parti Rumpun Sabah (Rumpun) | 7 | 0 |
| 18 | Parti Gemilang Anak Sabah (GAS) | 3 | 0 |
| 19 | Parti Damai Sabah (SPP) | 5 | 0 |
| 20 | Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) | 3 | 0 |
| 21 | Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaaan Sabah (PERPADUAN) | 1 | 0 |
| 22 | Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) | 17 | 0 |
| 23 | Parti Bersatu Sasa Malaysia (BERSAMA) | 1 | 0 |
| Jumlah Keseluruhan | 596 | 73 | |
- *Kemaskini akhir keputusan rasmi jam 2:20 am (30 November 2025).
- Calon yang menang mewakili UPKO, STAR, KDM dan BEBAS dijangka menjadi penentu (berkerjasama) bagi pembentukan kerajaan Sabah baharu. Ini kerana gabungan GRS mahupun WARISAN tidak dapat mencapai majoriti mudah 37 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri.
Setiap gabungan parti yang berhasrat menubuhkan kerajaan di Sabah mesti meraih atau memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi (majoriti mudah) daripada jumlah 73 kerusi dipertandingkan.
Anda boleh dapatkan keputusan semasa atau tidak rasmi serta perincian statistik undi setiap calon-calon parti bertanding di dashboard keputusan PRN Sabah 2025.


