Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pembukaan permohonan bagi Program MyLesen B2 Tahun 2026 peringkat negeri Selangor. Program ini dirangka khusus membantu golongan B40 atau penerima STR dan tanggungan mereka memperoleh Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 bagi membolehkan mereka menunggang motosikal berkapasiti tidak melebihi 250 cc secara sah.
Program MyLesen B2 Motosikal Tahun 2026
Motosikal merupakan salah satu mod pengangkutan utama di Malaysia terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar. Namun begitu, tanpa lesen sah, penunggang motosikal berisiko dikenakan saman, denda malah berdepan risiko kemalangan serius.
Justeru itu, Program MyLesen B2 hadir sebagai inisiatif membantu golongan B40 atau penerima STR dan tanggungan mereka yang selama ini berhadapan dengan kekangan kewangan, mendapatkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma.
Program MyLesen B2 juga merupakan satu langkah ke arah meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan motosikal. Melalui latihan teori dan praktikal dijalankan oleh institusi latihan memandu, peserta memperoleh pengetahuan secukupnya tentang keselamatan dan undang-undang jalan raya malah berpeluang lulus ujian dan mendapatkan lesen sah dan diiktiraf.

Syarat Kelayakan Program MyLesen B2 Selangor 2026
Bagi memastikan keberkesanan program ini, JPJ Selangor menetapkan beberapa syarat utama yang perlu dipenuhi oleh calon yang berminat:
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 16 tahun dan ke atas.
- Golongan B40 dan penerima STR.
- Belum memiliki sebarang Lesen Memandu.
- Bebas daripada senarai hitam Mahkamah, JPJ dan PDRM.
- Sihat fizikal dan mental.
- Keutamaan diberikan kepada Kadet JPJ, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Borang Dan Cara Permohonan Program MyLesen B2
Permohonan boleh dibuat secara langsung di bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Negeri Selangor dan semua cawangan-cawangan JPJ berdekatan. Warga Selangor disaran mendapatkan dan melengkapkan serta menghantar borang permohonan dengan kadar segera.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 6 Februari 2026, jadi para pemohon disarankan bertindak segera agar tidak terlepas peluang ini. Borang permohonan boleh juga di muat turun secara dalam talian dengan imbas melalui QR code di poster yang disediakan.
Keistimewaan Program
Antara kelebihan utama program ini ialah semua kos latihan dan ujian akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Peserta tidak perlu risau tentang kos bahan pembelajaran, latihan teori dan praktikal serta ujian kerana semuanya dibiayai penuh.
Setelah berjaya lulus ujian, peserta akan menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 yang sah dan diiktiraf sekali gus membolehkan mereka menunggang motosikal berkapasiti tidak melebihi 250 cc secara sah dan selamat.
Pertanyaan Dan Maklumat Lanjut
Bagi mereka yang berminat atau memerlukan maklumat lanjut mengenai Program MyLesen B2 Tahun 2026, pihak JPJ Selangor menyediakan saluran komunikasi yang boleh di rujuk melalui Portal Rasmi JPJ Selangor.
Selain itu, maklumat terkini berkenaan program ini serta aktiviti JPJ boleh diikuti melalui semua rangkaian platform media sosial rasmi mereka.


