Umat Islam menyambut dua perayaan besar iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Setiap tahun, kedua-dua perayaan ini diraikan dan menjadikan detik tersebut sebagai waktu mengeratkan hubungan sesama insan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal menandakan berakhirnya Ramadan. Selama sebulan, umat Islam berpuasa dari fajar hingga senja sebagai satu bentuk ibadah dan latihan diri meningkatkan iman ketakwaan. Aidilfitri bukan sahaja meraikan kemenangan menahan hawa nafsu tetapi juga menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat diberikan.
Selain itu, sambutan Aidilfitri seringkali diwarnai amalan saling bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi dan sedekah kepada yang memerlukan. Amalan ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim tetapi juga menekankan pentingnya memberi dan berkongsi rezeki dengan mereka kurang bernasib baik.
Hari Raya Aidiladha
Sementara itu, Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah merupakan perayaan yang lebih berkisar kepada pengorbanan. Ia memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Ismail sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah. Namun, Allah SWT menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang menandakan kasih sayang dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya.
Umat Islam melaksanakan ibadah korban di mana haiwan ternakan seperti lembu, kambing, atau unta disembelih dan dagingnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Lafaz Takbir Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha Dalam Rumi Maksud
Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha merupakan waktu yang amat istimewa bagi umat Islam. Ia mengingatkan kita tentang pentingnya nilai pengorbanan, kesyukuran dan kasih sayang dalam kehidupan. Setiap lafaz takbir dan amalan yang kita lakukan, tersemat harapan menjadi hamba yang lebih baik serta menjalin hubungan harmoni dengan sesama insan.
Berikut disediakan lafaz takbir hari raya yang lengkap beserta terjemahan dan juga teks rumi bagi memudahkan semua sebagai rujukan dan panduan.
Lafaz Takbir Raya Lengkap Beserta Terjemahan dan Teks Rumi

Teks Rumi
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Laa ilaaha illallahu wallahu akbar
Allaahu akbar walillaahil hamd’
Ulang *3 kali
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar kabiiraa Walhamdulillaahi katsiiraa Wasubhaanallaahi bukrataw wa asiillaa
Laa ilaaha illallallahu Walaa na’budu illaa iyyaahu Mukhlishiina lahuddiin Walau karihal kaafiruun
Laa ilaaha illallallahu wahdah Sadaqa wa’dah Wanasora ‘abdah Wa a’azza jundahu Wahazamal ahzaaba wahdah
Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar
Allaahu akbar walillaahil hamd’
Terjemahan
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar.
Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian Dan Subhanallah (Maha Suci Allah) pagi dan petang.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah, Kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, Dengan ikhlas untuk Agama (Islam), Walaupun dibenci oleh golongan kafir.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, Yang benar janji-Nya, Dan yang menolong hamba-Nya, Dan yang memuliakan tentera-tentera-Nya (tentera Muslimin), Dengan mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaan-Nya.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.
Jenis Takbir Hari Raya
Para ulama’ telah mengklasifikasikan jenis takbir kepada dua jenis iaitu:
| Takbir Mursal | Takbir Muqayyad |
|---|---|
| Takbir Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha | Takbir Hari Raya Aidiladha |
| Juga digelar Takbir Mutlak kerana boleh dilaksanakan tanpa terikat pada waktu solat | Takbir ini terikat kepada pelaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu) |
| Dilafazkan apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya (disunatkan bertakbir sepanjang masa) | Takbir Muqayyad ini disunatkan untuk dilafazkan selepas setiap kali solat fardhu apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha. Ianya hendaklah dilakukan secara jahar (bacaan nyaring) |
| Ulama menyatakan bahawa Takbir Mursal lebih ditekankan perlaksanaannya pada Hari Raya Aidilfitri berbanding Hari Raya Aidiladha | Takbir ini hanya dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha serta tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilfitri (kecuali Takbir Mursal) |
Waktu Bertakbir Raya
Terdapat perbezaan waktu bertakbir untuk kedua-dua jenis takbir iaitu seperti berikut:
1. Hari Raya Aidilfitri
- Selepas terbenam matahari pada malam raya, iaitu masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri pada keesokan paginya.
2. Hari Raya Aidiladha
- Mulai waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
- Disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan Haji, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah. (menjadikan waktu bertakbir tersebut 5 hari 4 malam).
- Bagi yang menunaikan Haji, disunatkan bertakbir mulai gelincir matahari, iaitu masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh 13 Zulhijjah). Tetapi jika mereka telah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Video Lengkap Takbir Raya


