Syarat Kesihatan Jemaah Layak Tunai Haji Mulai 2026/1447H

Syarat Kesihatan Jemaah Layak Tunai Haji Mulai 2026/1447H. Pengumuman Tabung Haji (TH) syarat terkini kelayakan kesihatan jemaah haji Malaysia menunaikan haji.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan beberapa syarat baharu berkaitan kesihatan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah haji menunaikan ibadah di Tanah Suci Makkah yang perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pengumuman ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Arab Saudi untuk memastikan keberkesanan pengurusan keselamatan jemaah serta mengekalkan standard kesihatan tertinggi sepanjang musim haji akan datang bermula 1447H/2026M.

Syarat Kelayakan Terkini Kesihatan Jemaah Haji

Syarat baharu ini akan dikuatkuasakan secara rasmi dan wajib dipatuhi oleh semua jemaah dari Malaysia sebagai syarat utama untuk mendapatkan visa haji. Di antara syarat utama yang perlu dipenuhi adalah:

  1. Bebas daripada Penyakit Berjangkit dan Kronik
    Jemaah hendaklah menunjukkan keadaan kesihatan stabil dan tidak membawa risiko jangkitan kepada orang lain. Penyakit berjangkit aktif seperti tuberkulosis, demam berdarah atau penyakit berjangkit lain tidak akan diluluskan.
  2. Tiada Penyakit Serius atau Kronik yang Tidak Terkawal
    Mereka yang menghidap penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung, penyakit paru-paru kronik dan penyakit hati kronik tidak akan layak menyertai ibadah haji. Ia bertujuan melindungi kesihatan jemaah dan memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna.
  3. Keupayaan Melaksanakan Ibadah Secara Kendiri
    Jemaah perlu menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan ibadah haji tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain termasuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan dan berdiri untuk tempoh yang panjang.
  4. Kecualian Kesihatan
    Jemaah yang mengalami masalah neurologi atau mental menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas menghidap dementia atau mengalami kelemahan fizikal, kehamilan berisiko tinggi serta mereka sedang menjalani rawatan kanser atau penyakit berjangkit aktif, tidak akan dibenarkan menunaikan haji.

syarat kesihatan layak tunai haji

Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan setiap jemaah berada dalam keadaan terbaik dari segi kesihatan sekaligus mengelakkan sebarang komplikasi tidak diingini ketika berada di Tanah Suci. Tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat utama (istito‘ah) untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

Persediaan Kesihatan Dan Pemeriksaan Kesihatan Jemaah Haji

Selain itu, bakal jemaah disarankan membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya sebelum berangkat ke Arab Saudi. Ini termasuk menjalani ujian kesihatan, mendapatkan rawatan jika perlu dan memastikan keadaan tubuh badan berada dalam keadaan optimum.

Hal ini penting kerana perjalanan haji memakan masa panjang serta berdepan dengan suasana berdebu, cuaca panas dan keletihan fizikal memerlukan tahap kesihatan yang tinggi untuk memastikan ibadah berjalan lancar dan selamat.

Tahap kesihatan yang baik merupakan satu keperluan asas menyokong kemampuan jemaah untuk menunaikan ibadah secara penuh dan khusyuk. Sebagai tambahan, proses pemeriksaan kesihatan akan dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan semua jemaah layak dari segi fizikal dan mental sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Perkhidmatan Rawatan Tabung Haji Di Tanah Suci Mekah

Satu lagi perubahan penting diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi adalah Tabung Haji (TH) tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan di Tanah Suci bagi musim haji 1447H/2026M. Sebaliknya, semua jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital disediakan oleh kerajaan Arab Saudi. Rawatan ini akan dipantau secara rapi oleh pasukan pakar perubatan daripada KKM untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan rawatan.

Walau bagaimanapun, TH masih komited untuk menyediakan kemudahan kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah. Klinik pesakit luar dan farmasi akan disediakan di setiap bangunan penginapan tersebut dikendalikan oleh petugas kesihatan yang bertauliah daripada KKM. Ini bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah Malaysia termasuk mereka yang berusia, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, TH merancang untuk menempatkan petugas kesihatan dari hospital swasta di Arab Saudi jika diperlukan dalam musim haji akan datang. Langkah ini menunjukkan komitmen TH dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah sentiasa terjaga sepanjang tempoh mereka berada di Tanah Suci.

Penekanan Keselamatan, Kebajikan Jemaah Haji Malaysia

Dalam kenyataan media, TH menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia adalah keutamaan utama dalam pengurusan operasi haji. Sebahagian besar kuota petugas di Tanah Suci diperuntukkan kepada petugas perubatan dan keselamatan bagi memastikan setiap jemaah mendapat layanan terbaik dan mampu menunaikan ibadah dengan penuh khusyuk dan selamat.

kenyataan tabung haji kesihataan jemaah

Pengumuman syarat baharu berkaitan kesihatan dan perubahan pentadbiran pusat rawatan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ini menunjukkan betapa seriusnya pihak berkuasa Arab Saudi dalam memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah haji dunia. Langkah-langkah ini tidak hanya bertujuan untuk mencegah sebarang insiden tidak diingini tetapi juga untuk memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

Bagi bakal jemaah dari Malaysia, persediaan fizikal, mental serta pematuhan kepada syarat kesihatan yang ketat ini adalah amat penting selain memastikan kelulusan visa dan juga sebagai langkah proaktif melindungi diri sendiri mahupun jemaah haji lain.

Kongsi Artikel