Sebagai manusia, kita tidak pernah terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan sama ada kecil mahupun besar. Walaupun berusaha untuk mematuhi ajaran agama dan menjalani kehidupan yang berakhlak mulia tetap sahaja ada saat-saat kita tersilap laku, terlupa atau melakukan dosa sama ada secara sedar atau tidak.
Tidak kira kecil atau besar dosa itu, setiap insan tidak harus berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah SWT. Sebaliknya, kita dianjurkan untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam menyesali dan memohon keampunan daripada-Nya melalui amalan taubat yang ikhlas.
Solat Taubat Nasuha
Taubat secara umumnya bermaksud rasa bersalah dan menyesal atas segala perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam. Ia adalah satu bentuk pengakuan bahawa kita telah melakukan kesilapan dan keinginan untuk kembali ke jalan benar. Manakala taubat nasuha adalah taubat yang benar-benar ikhlas disertai tekad kukuh untuk tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut lagi. Ia adalah taubat diiringi dengan usaha memperbaiki diri dan menjauhi maksiat.
Dosa besar memerlukan taubat nasuha yang tulus ikhlas agar pengampunan Allah SWT dapat diperoleh. Sebab itu, sebagai manusia yang lemah, kita harus sentiasa beristiqamah dalam menunaikan solat taubat dan memperbaiki diri sepanjang hayat.

Syarat-Syarat Taubat Nasuha
Terdapat tiga syarat utama yang perlu dipenuhi agar taubat kita diterima oleh Allah SWT:
- Pertama
Kita harus menyesal dengan sepenuh hati atas dosa yang telah dilakukan. Penyesalan ini harus benar-benar ikhlas, bukan sekadar kata-kata kosong tetapi dari lubuk hati yang paling dalam. - Kedua
Kita hendaklah memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh, disertai dengan ucapan istighfar dan doa memohon keampunan. Lafaz istighfar seperti “Astaghfirullah” adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam memohon keampunan daripada Allah. - Ketiga
Kita harus berazam untuk tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut lagi. Komitmen ini penting sebagai tanda kesungguhan hati dalam berubah ke arah lebih baik. Dengan memenuhi ketiga-tiga syarat ini, Insya-Allah. Taubat kita akan diterima oleh Allah SWT dan pintu keampunan-Nya terbuka luas untuk kita.
Langkah-Langkah Melaksanakan Solat Sunat Taubat
Salah satu cara yang sangat berkesan dan dianjurkan dalam bertaubat adalah dengan menunaikan solat sunat taubat. Ia adalah satu bentuk ibadah khusus yang menunjukkan keikhlasan hati kita untuk kembali kepada jalan yang benar dan memohon keampunan dari Allah SWT.
Berikut adalah rumusan langkah-langkah untuk melaksanakan solat sunat taubat:
- Niat di Dalam Hati
Sebelum memulakan solat, niatkan dalam hati bahawa kita melaksanakan solat sunat taubat kerana mengharap reda dan pengampunan Allah SWT. Niat ini penting kerana niat adalah asas utama dalam setiap amal ibadah. - Mendirikan Solat
Mendirikan solat taubat. Dalam setiap rakaat, selepas membaca surah al-Fatihah boleh disertakan dengan doa dan istighfar. - Bacaan Doa Taubat
Selepas selesai solat, amat digalakkan untuk membaca doa taubat. - Berazam untuk Tidak Ulangi Dosa
Selain itu, setelah melakukan solat dan doa, hendaklah kita berazam dengan sepenuh hati untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat tersebut lagi. Keazaman ini menjadi syarat utama agar taubat kita diterima dan keampunan Allah SWT diperoleh.
Solat Sunat Taubat Peluang Bermuhasabah
Solat sunat taubat menunjukkan kesungguhan kita untuk memperbaiki diri dan meninggalkan maksiat. Melalui solat ini juga, hati menjadi lebih tenteram dan jiwa lebih dekat kepada Allah. Ia membuka pintu hati untuk menerima rahmat dan keampunan Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Selain itu, solat sunat taubat juga memberi peluang kepada kita untuk bermuhasabah dan memperbaiki hubungan dengan Allah serta sesama manusia. Jika dosa melibatkan manusia lain, maka memohon maaf dan memulangkan hak mereka adalah langkah yang sangat dianjurkan, sebagai usaha membersihkan hati dan mendapatkan keberkatan.
Ingatlah, Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Jangan pernah rasa takut untuk bertaubat kerana pintu keampunan-Nya sentiasa terbuka luas buat hamba-Nya yang ikhlas. Marilah kita sentiasa melaksanakan solat sunat taubat, memohon keampunan dan memperbaiki diri demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Semoga setiap usaha kita diterima dan diberkati dan kita sentiasa berada di jalan yang diredai-Nya. Aamiin.

Panduan Lengkap Cara Solat Sunat Taubat Ringkas Serta Bacaan Doa
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Kesilapan dan dosa adalah sebahagian daripada ujian kehidupan. Namun, yang membezakan antara manusia yang beriman dan tidak ialah keupayaan untuk mengakui kesilapan dan kembali kepada Allah melalui taubat. Solat sunat taubat adalah satu cara praktikal dan berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah, memohon keampunan dan membuka pintu rahmat-Nya.
Bagi mereka yang berhasrat untuk mendirikan solat taubat untuk memohon keampunan daripada Allah SWT, berikut dikongsikan cara solat sunat taubat yang mudah serta doa dan bacaan yang boleh dilafazkan untuk panduan semua.
Waktu Solat Taubat
Boleh dilakukan pada bila-bila masa selain daripada waktu yang diharamkan untuk mengerjakan solat. Namun begitu, solat sunat taubat lebih afdhal didirikan pada 2/3 malam dan yang terbaik adalah sejurus selepas tersedar daripada melakukan dosa serta rasa bersalah dan ingin memohon keampunan daripada Allah SWT.
Bilangan Rakaat Solat Taubat
Bilangan rakaat boleh dilakukan menurut pandangan ulama’ adalah sebanyak 2, 4 atau 6 rakaat.
Lafaz Niat Solat Sunat Taubat

- Bahasa Rumi: Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala.
- Maksudnya: Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah ta’ala.
Tatacara Menunaikan Solat Sunat Taubat
Rakaat Pertama
- Dimulakan dengan takbiratul ihram dengan menyebut lafaz Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Dianjurkan membaca surah Al-Kafirun atau surah pilihan.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.


Rakaat Kedua
- Dimulakan dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas atau mana-mana surah pilihan.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
- Duduk Tahiyyat Akhir.
- Memberi salam.
- Seusai memberi salam, lafazkan istighfar berulang kali dengan rasa menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan dan terimalah taubatku.

Untuk lebih kefahaman sila rujuk: Video Panduan Cara Solat Sunat Taubat
Kelebihan Solat Taubat
Antara kelebihan menunaikan solat sunat taubat adalah seperti berikut:
- Dosa-dosa diampunkan oleh Allah SWT.
- Allah akan mempermudahkan urusan harian.
- Hidup akan menjadi lebih tenang.
- Mengelakkan daripada perlakuan dosa.
Soalan Popular
Setelah bertaubat daripada maksiat kemudian kembali melakukannya lagi, adakah taubat diterima?
Taubat yang dilakukan berulang-ulang beserta istighfar yang dilakukan dengan berulang-ulang adalah diterima Allah SWT selagi mana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan. Maka teruskan bertaubat dan memohon keampunan Allah selagi nyawa masih ada.
Bolehkah Melakukan Solat Taubat Setiap Malam?
Solat Taubat adalah solat sunat yang disyariatkan dalam Islam dan termasuk dalam solat sunat bersebab. Ia boleh ditunaikan pada bila-bila masa apabila melakukan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Justeru, tidaklah disyariatkan untuk dilakukan sentiasa tanpa didahului sebabnya iaitu melakukan dosa. Sekiranya melakukan dosa, wajib segera bertaubat dan disunatkan Solat Taubat dan memperbanyakkan bacaan istighfar.


