Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan agama yang bersifat universal dan menyeluruh. Ia tidak hanya sekadar panduan untuk ibadah semata-mata, tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Dalam perkara ini, Islam mengajar umatnya untuk sentiasa bergantung harap kepada Allah S.W.T., sebagai Pencipta dan Pemilik segala sesuatu dalam menghadapi cabaran dan ujian hidup. Keyakinan ini adalah asas kepada kehidupan seorang Muslim yang beriman, di mana setiap langkah dan keputusan diambil dengan penuh tawakal dan doa kepada Allah S.W.T.
Solat Istikharah: Mohon Petunjuk Daripada Allah
Kadang kala, manusia menghadapi situasi di mana mereka buntu dan tidak tahu membuat pilihan terbaik. Contohnya, dalam urusan jodoh, kerjaya atau melanjutkan pelajaran, mereka memerlukan petunjuk dari Allah. Di sinilah Solat Istikharah memainkan peranan penting.
Solat Istikharah adalah solat sunat yang dilakukan apabila seseorang berada dalam keadaan keraguan atau dilema terhadap sesuatu perkara. Ia adalah amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagai jalan untuk memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. agar diberikan pilihan yang terbaik dan mendatangkan kebaikan dalam hidup.
Pengertian dan Hukum Solat Istikharah
Secara bahasa, Istikharah bermaksud meminta kebaikan atau pilihan yang terbaik daripada Allah. Dalam perkara syariat, solat ini dilakukan untuk memohon petunjuk tentang sesuatu perkara yang halal dan harus dilakukan. Ia tidak dibenarkan digunakan untuk tujuan yang tidak bermanfaat atau maksiat.
Hukum melakukan Solat Istikharah adalah sunat mu’akkad (solat sunat yang sangat dianjurkan), terutama apabila seseorang menghadapi dilema dalam membuat keputusan penting. Ia bukanlah jaminan bahawa keputusannya akan terus jelas, tetapi ia adalah usaha untuk mendapatkan petunjuk dan keberkatan dari Allah.
Perkara yang Boleh dan Tidak Boleh Dihajatkan Melalui Istikharah
Hendaklah diingat bahawa Solat Istikharah hanya dilakukan untuk perkara yang bermanfaat. Contohnya, dalam menentukan jodoh, memilih kerjaya, memohon kelulusan belajar, membeli rumah dan lain-lain. Ia tidak sesuai digunakan untuk perkara yang haram atau maksiat.
Selain itu, permasalahan yang ingin dipohon petunjuknya tidak seharusnya yang telah jelas hukumnya dalam Islam. Jika sudah jelas hukum halal atau haramnya, maka tidak perlu melakukan Istikharah kerana keputusannya sudah diketahui berdasarkan syariat.
Kelebihan dan Tata Cara Melaksanakan Solat Istikharah
Melalui Solat Istikharah, seorang Muslim berdoa memohon agar dipermudahkan dan diberikan petunjuk dalam membuat keputusan. Doa selepas solat ini biasanya diikuti dengan memohon kepada Allah agar memberi pilihan yang terbaik dan mengelakkan keburukan.
Tata cara melaksanakan Solat Istikharah adalah seperti solat sunat biasa dua rakaat, kemudian diikuti dengan doa khusus yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ia dilakukan apabila seseorang merasa benar-benar memerlukan petunjuk dari Allah.
Marilah kita sentiasa menjadikan Islam sebagai panduan hidup, memohon petunjuk dan kekuatan dari Allah, kerana sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengasih terhadap hambaNya. Semoga setiap langkah yang diambil diberkati dan diberi jalan yang terbaik oleh Allah S.W.T.
Kaitannya Dengan Kehidupan Seharian
Kebiasaannya masyarakat mengaitkan Solat Istikharah dengan pemilihan jodoh atau pasangan hidup. Memang benar, ia adalah salah satu tujuan utama. Namun, tidak terbatas di situ sahaja. Banyak lagi aspek kehidupan yang memerlukan petunjuk Allah, seperti kerjaya, keputusan penting dalam keluarga, peluang melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
Dalam kehidupan moden yang penuh cabaran dan pilihan yang banyak, kebergantungan kepada Allah melalui amalan seperti Istikharah adalah langkah terbaik untuk memastikan keputusan yang dibuat selaras dengan kehendak syariat dan memberi keberkatan dalam hidup.
Apakah itu Istikharah?
Merujuk kepada info dari FB Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Istikharah adalah memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Pengenalan istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala dengan pilihan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan.
Sesungguhnya Allah SWT adalah tempat kita mengadu dan memohon. Ianya adalah sebagai satu jalan terbaik untuk menentukan pilihan dan ikhtiar makhluk agar sentiasa dipandu dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT.
Firman Allah SWT : “dan Tuhanmu menciptakan dan memilih apa yang Dia kehendaki, bagi manusia tidak ada pilihan (kecuali ianya adalah daripada pilihan dan ketentuan Allah)..” (al-Qasas : ayat 68).
Terdapat tiga cara dianjurkan oleh ulama:
- a) Menunaikan solat sunat 2 rakaat (Paling afdhal dan disepakati oleh 4 mazhab).
- b) Istikharah dengan membaca doa istikharah sahaja terutama bagi yang uzur dan tidak boleh solat.
- c) Membaca doa istikharah selepas melakukan solat tertentu seperti solat witir, solat fardhu dan lain lain solat.
Allah SWT adalah tempat sebaik-baiknya untuk mengadu. Andainya kita sebagai muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada-Nya maka Dialah Allah sebagai tempat kita menyerahkan segala urusan dan tindakan samada besar atau kecil, penting atau tidak sesuatu perkara tersebut. Kerana disitulah kita dapat melihat adakah disana terdapat pergantungan hati seorang hamba dengan Tuhannya ataupun tidak. Kerana hanya Allah SWT sahaja yang terbaik untuk menentukan hala tuju kita dalam melakukan sesuatu perkara sedangkan kita tidak mengerti apakah hikmah dan rahsia terhadap setiap perkara yang kita kerjakan.
Firman Allah SWT : “…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah : 216).
Panduan Lengkap Cara Solat Sunat Istikharah Ringkas Serta Bacaan Doa
Islam sebagai agama yang lengkap dan menyeluruh menuntut umatnya untuk sentiasa bergantung harap kepada Allah dalam setiap langkah. Solat Istikharah adalah salah satu medium yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagai jalan untuk mendapatkan petunjuk dari Allah ketika berhadapan dengan dilema. Dengan mengamalkannya, kita tidak hanya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik, tetapi juga memperkuat keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T., pencipta dan pemberi segala petunjuk.
Berikut adalah cara untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah yang ringkas dan padat sebagai rujukan buat mereka yang ingin melaksanakannya. Dikongsikan juga video, dalil dan beberapa perkara penting lain yang berkaitan.
Masa Dan Bilangan Rakaat
- Boleh dilakukan pada siang atau malam, sebaik-baiknya sebelum tidur pada waktu malam dan juga selain waktu diharamkan solat (waktu tahrim)
- Bilangan rakaat boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat dan 1 salam atau sehingga 12 rakaat dengan 6 salam (mengikut kemampuan dan tidak terhad)
Lafaz Niat Solat Istikharah
- Bahasa Rumi: Usolli Sunnatal Istikharati Rak’ataini Lillahi Taala.
- Maksudnya: Sahaja aku (sembahyang / solat) sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.
Tatacara Menunaikan Solat Sunat Istikharah
Rakaat Pertama
- Di mulai dengan lafaz takbiratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al- Kafirun atau surah-surah lain.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujuk kali kedua.
Rakaat Kedua
- Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Ikhlas atau surah-surah lain.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
- Duduk Tahiyyat Akhir.
- Memberi salam.
- Membaca doa solat sunat istikharah, Ya Allah aku memohon diberi petunjuk.
Doa Solat Istikharah
Untuk lebih kefahaman sila rujuk: Video Panduan Cara Solat Sunat Istikharah
Perkara Penting Sebelum Buat Solat Istikharah
Sebelum melakukan Solat Istikharah, digalakkan juga buat istisyarah dahulu. Istisyarah membawa maksud meminta nasihat. Maknanya sebelum melakukan Solat Istikharah hendaklah seseorang meminta nasihat daripada mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman mengenai masalah atau kemusykilan yang sedang dihadapi.
Dalam beberapa situasi penting, Rasulullah SAW juga tidak melakukan Istikharah. Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAWA ingin memilih kawasan yang jauh daripada mata air manakala para sahabat pula mencadangkan agar tempat yang dekat dengan mata air dipilih. Setelah mendengar kepentingan membuat kem berdekatan mata air, Rasulullah terus menerima cadangan sahabat kerana releven dan lebih baik daripada cadangan awal.
Sama seperti peperangan Khandaq, ketika Salman Al-Farisi mencadangkan menggali parit, Rasulullah menerimanya tanpa istikharah kerana cadangan tersebut sememangnya terbaik dalam pertimbangan.
Justeru sebelum melakukan istikharah, eloklah kita berbincang dahulu dengan golongan pakar dalam masalah yang kita hadapi seperti doktor ataupun mereka yang rapat dengan kita seperti keluarga dan kenalan baik. Jika ada pilihan yang terbaik, kemungkinan tidak perlu untuk istikharah. Namun jika masih kurang yakin, boleh melakukan istikharah.
Perkara Penting Mengenai Solat Istikharah
Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh umat Islam dalam melaksanakan Solat Istikharah
- Istikharah tak semestinya dijawab menerusi mimpi
Lazimnya orang kaitkan solat istikharah dengan kedatangan mimpi yang menunjukan petanda kepada jawapan bagi hajat yang ingin diketahui jawapannya. Istikharah dijawab dengan keyakinan yang muncul dalam hati dan diberikan kesenangan ketika mengambil salah satu keputusan. Jika hati semakin serabut dan keputusan juga sukar untuk diambil maka mungkin itu tanda Allah tidak menyukai pilihan yang ingin dibuat. - Istikharah bukan untuk soal Jodoh sahaja, malah semua urusan
Kebanyakan umat Islam menganggap Solat Istikharah adalah bagi urusan jodoh sahaja namun bukan begitu. Ianya melibatkan semua jenis pilihan dalam kehidupan termasukan membuat pilihan dalam sambung pelajaran, bekerja, membeli rumah dan sebagainya. - Istikharah hanya bagi pilihan yang baik dengan yang baik
Solat istikharah hanya boleh dibuat bagi memilih antara perkara yang baik. Ini bermaksud bagi hal yang sememangnya jelas tidak baik dan berdosa adalah tidak boleh. Jadi jika dah tahu pilihan tersebut akan membawa keburukan dan tidak baik maka terus tinggalkan sahaja.
Dalil Solat Sunat Istikharah
Dalil bagi Solat Sunat Istikharah dijelaskan menerusi hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A., dia berkata: Rasulullah S.A.W. pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda nabi S.A.W mengajar kami dalam segala urusan, sepertimana baginda mengajar kami surah dari Al-Quran. Kalau seseorang dari kamu mengkehendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa solat istikharah). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib
Peringatan
Petunjuk tidak semestinya muncul di dalam mimpi, bayangan, tanda dan sebagainya. Allah S.W.T. akan meletakkan sedikit kecenderungan atau gerak rasa dalam hati kita bagi meneruskan sesuatu tindakan atau sebaliknya. Itulah tujuan melakukan solat istikharah untuk meminta petunjuk terbaik untuk diri
Soalan Kerap Ditanya
Sudah Solat Istikharah namun masih belum mendapat jawapan
Solat Istikharah boleh dilakukan beberapa kali sehingga yakin dengan keputusan yang ingin dibuat. Sekiranya istikharah pertama tidak memberikan keyakinan maka teruskan lagi untuk Solat Istikharah pada malam seterusnya.
Bolehkah Solat Sunat Istikharah bila-bila masa?
Boleh, kecuali dalam waktu yang diharamkan solat. Berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari, maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari.”
Apakah hukum lakukan istikharah dengan membuka Al-Quran secara rawak?
Tidak ada dalam dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan tentangnya. Namun berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, hukumnya adalah makruh. Justeru ikutlah seperti cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Sekiranya sedang uzur dan tidak boleh Solat bagaimana?
Jika sesorang itu tidak dapat mengerjakan solat kerana berada dalam keadaan haid, maka beliau diperbolehkan untuk terus membaca Doa Istikharah. Ini kerana, seorang wanita yang tidak solat kerana uzur shar’ie doanya tetap sah walaupun tidak diiringi dengan solat.