Solat hajat adalah solat sunat yang dilakukan khusus untuk memohon sesuatu yang diinginkan kepada Allah SWT. Ia merupakan salah satu cara berkesan menguatkan keyakinan dan mempercepatkan permohonan yang dipanjatkan.

Cara Solat Hajat Serta Bacaan Doa
Solat Hajat antara solat sunat yang didirikan apabila kita ingin memohon sesuatu hajat daripada Allah. Hajat tersebut tidak kira sama ada ingin memohon kebaikan ataupun menolak sebarang keburukan.
Berikut dikongsikan panduan cara solat sunat hajat yang mudah serta doa solat hajat dan bacaan yang boleh dibaca sebagai bimbingan untuk orang ramai.
Waktu Solat
Lebih utama dilakukan apabila ada hajat tertentu seperti ingin memohon perkara yang baik berlaku ataupun mengelak kejadian buruk terjadi. Afdal juga dilaksanakan pada waktu sepertiga malam sewaktu qiamulail.
Bilangan Rakaat
Solat sunat Hajat dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat (dua rakaat) dengan satu salam atau sehingga 12 rakaat (dengan 6 kali salam) mengikut kemampuan masing-masing.
Lafaz Niat Solat Hajat

- Bacaan Rumi: Usolli Sunnatal Hajaati Rak’ataini Lillahi Ta’ala.
- Maksudnya: Sahaja aku Solat Sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
Tatacara Menunaikan Solat Sunat Hajat
Rakaat Pertama
- Mulakan dengan mengangkat takbiratul ihram dengan menyebut lafaz Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
- Membaca doa iftitah.
- Baca surah Al-Fatihah.
- Membaca surah Al-Kafirun atau Ayat Kursi (satu kali atau 11 kali) ataupun mana-mana surah pilihan.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.


Rakaat Kedua
- Dimulakan dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua).
- Membaca surah Al-Fatihah.
- Dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas atau mana-mana surah pilihan.
- Rukuk dan Iktidal.
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.
- Duduk Tahiyyat Akhir.
- Memberi salam.

Doa Solat Hajat
Selepas memberi salam, baca doa seperti berikut:

Untuk lebih lagi kefahaman, sila tonton: Video Panduan Cara Solat Hajat
Dalil Kelebihan Mengerjakan Solat Hajat
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”
[Riwayat Tirmizi]
Imam Ahmad juga ada meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.”
Amalan Selepas Solat Hajat

Bolehkah Solat Hajat Ditunaikan Selepas Solat Subuh?
Solat sunat hajat tidak boleh dilakukan selepas solat Subuh. Ini kerana ianya termasuk di dalam solat sunat mutlak.
Solat sunat terbahagi kepada dua jenis iaitu Solat Sunat Mutlak dan Solat Sunat Atas Sebab (Dzatul Asbab). Solat sunat mutlak seperti solat hajat, taubat dan iktikharah diharamkan ditunaikan selepas azan subuh sehingga masuk waktu syuruq. Ini kerana ianya termasuk waktu-waktu haram bagi solat sunat mutlak kecuali apabila berada di Masjidil haram.
Sama-samalah ambil peluang melaksanakan ibadah sunat ini dan memperbanyakkan amalan kita. Semoga segala hajat dan permintaan dikabulkan oleh Allah SWT.


