Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Betul Niat Rumi

Cara Mandi Wajib Atau Junub Yang Betul, Bacaan Niat Dalam Rumi. Panduan lengkap mengikut JAKIM dan sunnah Nabi beserta rukun mandi wajib yang sah & tepat.

Dalam kehidupan seorang Muslim, menunaikan ibadah adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sempurna dan penuh keikhlasan. Salah satu aspek penting dalam memastikan ibadah kita sah dan diterima oleh Allah SWT adalah dengan melakukan mandi wajib atau mandi junub. Oleh itu, penting untuk kita memahami, mempelajari dan melaksanakan mandi wajib dengan cara yang betul agar ibadat kita tidak terbatal dan diterima Allah SWT.

Mandi wajib tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu dilakukan setiap kali berlaku keadaan tertentu seperti terkeluar air mani, selepas bersetubuh, selepas haid atau selepas nifas. Walaupun begitu, masih ramai yang kurang faham tentang tata cara mandi wajib yang betul dan sempurna. Ada yang menganggap ia hanya sekadar membasuh badan, namun sebenarnya terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti agar mandi tersebut sah dan menepati syariat.

Tidak kiralah sama ada menggunakan air hujan, air paip atau air pancut shower yang penting adalah air tersebut adalah air mutlak iaitu air yang suci dan menyucikan. Tidak perlu mandi terlalu lama yang penting adalah cepat, mudah dan ringkas tetapi tetap memenuhi syarat-syarat sah mandi wajib. Panduan ini sesuai untuk semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan.

Cara-Cara Mandi Wajib Yang Betul

tatacara mandi wajib jakim

Melaksanakan Mandi Wajib

Memahami dan melaksanakan mandi wajib dengan betul adalah penting kerana ia berkait rapat dengan sah atau tidaknya ibadah lain seperti solat, puasa dan ibadah yang lain. Jika mandi wajib dilakukan dengan tidak sempurna, maka ibadah tersebut tidak sah dan perlu diulang. Oleh itu, ilmu mengenai cara mandi wajib ini harus dipelajari dan diamalkan oleh setiap Muslim.

Mandi wajib adalah satu ibadah yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sahaja membersihkan tubuh secara fizikal tetapi juga menyucikan hati dan jiwa. Dengan melaksanakan mandi wajib secara betul dan sempurna menurut sunnah Rasulullah s.a.w., kita memastikan ibadah yang dilakukan sah dan diterima Allah SWT.

Panduan Mandi Wajib

Ilmu ini perlu dipelajari dan diamalkan secara berterusan sebagai satu bentuk taqwa kepada Allah. Tidak perlu berlama-lama, asalkan langkah-langkah dilakukan dengan cepat, mudah dan lengkap, insyaAllah ibadah kita akan lebih berkualiti dan diterima.

Semoga panduan ini dapat membantu kita semua dalam menjalankan mandi wajib dengan cara yang betul dan penuh keberkatan. Ingatlah, menjaga kesucian diri adalah sebahagian daripada iman kita. Wallahu’alam. Berikut adalah rangkuman langkah-langkah mandi wajib.

1. Niat Mandi Wajib

niat mandi wajib jakim

  • Rumi: Nawaitu raf ‘al hadatsil akbari lillahi ta’ala.
  • Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

Niat ketika air sampai ke tubuh.
Niat merupakan syarat utama dalam ibadah. Pastikan niat untuk melakukan mandi wajib kerana Allah dan mengikut syariat.

2. Membaca “Bismillah

Sebelum memulakan mandi, baca Bismillah sebagai tanda memohon keberkatan dan memulakan amalan dengan niat yang bersih.

3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali

Membasuh tangan terlebih dahulu untuk membersihkan kotoran yang mungkin melekat.

4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

Bersihkan kemaluan daripada kotoran dan najis.

5. Membersihkan tangan kiri dengan sabun

Pastikan tangan kiri bersih sebelum menyentuh bahagian tubuh yang lain.

6. Berwuduk terlebih dahulu

Melakukan wuduk seperti biasa sebelum mandi. Wuduk ini termasuk membasuh muka, tangan, berkumur dan membasuh kaki. Ia adalah sunnah dan membantu membersihkan badan secara menyeluruh.

7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala dan siram 3 kali

Berdasarkan hadis dari ‘Aisyah (R.A), Rasulullah SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, dan menyiram kepala sebanyak tiga kali. Ketika menyiram kepala, mulakan dari bahagian kanan, kemudian kiri dan akhir sekali bahagian tengah kepala. Ini menunjukkan keutamaan dan keberkesanan dalam menyucikan kepala.

8. Bagi wanita yang mandi untuk haid atau junub, lepaskan ikatan rambut dan sisirlah rambut

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah (R.A), Baginda SAW menyarankan agar wanita yang haid atau junub melepaskan ikatan rambut dan menyisirnya supaya air sampai ke seluruh bahagian rambut dan kulit kepala.

9. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh

Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam semua urusan termasuk mandi. Maka, mulakan dengan bahagian kanan seperti tangan, kaki, dan bahagian tubuh yang lain.

10. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

Pastikan seluruh bahagian tubuh terkena air, termasuk tempat yang sukar dijangkau.

11. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu

Selepas mandi, jika hendak melaksanakan solat fardhu, disunatkan berwuduk semula agar solat menjadi sah dan sempurna.

Perbezaan Mandi Wajib dan Mandi Sunat

Perlu diketahui, perbezaan utama antara mandi wajib dan mandi sunat terletak pada niat. Cara dan kaedah mandi adalah sama, cuma niat sahaja yang membezakan. Mandi wajib dilakukan untuk menunaikan fardhu tertentu, manakala mandi sunat adalah sebagai amalan sunnah yang digalakkan.

Mandi wajib adalah satu ibadah yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sahaja membersihkan tubuh secara fizikal tetapi juga menyucikan hati dan jiwa. Dengan melaksanakan mandi wajib secara betul dan sempurna menurut sunnah Rasulullah s.a.w., kita memastikan ibadah yang dilakukan sah dan diterima Allah SWT.

Syarat Wajib Mandi Junub

Berikut adalah perkara yang mewajibkan seseorang untuk mandi junub sebelum ingin melakukan ibadah:

  1. Bersetubuh (berjimak) samada keluar air mani ataupun tidak.
  2. Keluar air mani (secara sengaja ataupun tidak).
  3. Datang haid bagi perempuan.
  4. Wiladah (bersalin).
  5. Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin).
  6. Mati selain daripada mati syahid.

Maklumat Penting

  1. Jika terdapat najis pada anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu.
  2. Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali.
  3. Kaedah mandi junub dengan mandi sunat adalah sama. Beza hanyalah pada niatnya sahaja.
  4. Sesudah menyelesaikan mandi hadas besar maka tidak lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa mandi.
  5. Sekiranya mandi di sungai yang mengalir atau kolam yang airnya lebih dari dua kolah / qullah (lebih kurang 270 liter), maka dibenarkan menyelam ke dalam air. Buat selaman (sebanyak 3 kali)  sambil berniat dan meratakan air ke serata tubuh dengan menggosok tangan ke seluruh badan serta celah yang boleh disampaikan air kepadanya.

Rukun Mandi Wajib

1. Niat

niat mandi wajib jakim

  • Rumi: Nawaitu raf ‘al hadatsil akbari lillahi ta’ala.
  • Maksudnya: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

2. Meratakan Air Ke Seluruh Anggota Badan

Cara atau kaedah mandi adalah seluruh anggota badan hendaklah dibasuh secara menyeluruh termasuklah bahagian-bahagian tersebut:

  1. Rambut (jika terikat hendaklah diuraikan).
  2. Semua bulu di seluruh angota badan.
  3. Bahagian luar kulit telinga.
  4. Kemaluan lelaki dan perempuan yang sebelah belakang yang zahir semasa membuang air besar.
  5. Kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil.

Perkara Wajib dan Sunat

Perkara Wajib

  1. Berniat untuk mandi wajib.
  2. Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.

Perkara Sunat

  1. Mengambil wudhuk.
  2. Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air.
  3. Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.
  4. Membasuh bahagian kanan dahulu kemudian kiri (Berdasarkan hadis Aisyah R.A yang maksudnya, baginda menyiram kepala hendaklah dimulai di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri).
  5. Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali (dalam riwayat lain, Baginda membasuh. kemaluannya dan kotoran yang mengenainya, kemudian Baginda berwuduk sepertimana biasa dilakukan untuk solat, kemudian Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengan pangkal-pangkal rambutnya.
  6. Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak.
  7. Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota seperti basuh kedua-kedua kakinya.
  8. Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk.

Soalan Lazim

Berikut adalah beberapa soalan lazim yang sering ditanyakan berkaitan cara mandi wajib:

  • Soalan: Adakah sah mandi dalam keadaan telanjang?
    Jawapan:  Hukum mandi telanjang adalah makruh. Maka sah mandi dalam keadaan tanpa seurat benang namun hendaklah tidak di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
  • Soalan: Adakah sah mandi sekiranya terdapat luka yang belum kering?
    Jawapan: Mandi sewaktu ada anggota badan yang tidak boleh terkena air disebabkan mudarat hendaklah dibalut terlebih dahulu anggota tersebut supaya tidak terkena air. Sewaktu mandi, ratakan air ke seluruh badan kecuali bahagian berbalut (tidak boleh kena air). Selesai mandi hendaklah bertayamum bagi menyempurnakan mandi tersebut.
  • Soalan: Apakah hukum mandi selepas subuh ketika bulan puasa?
    Jawapan:  Sah puasa dan tidak batal puasa kerana dalam keadaan junub mahupun mandi wajib selepas subuh. Berdasarkan hadith daripada Saidatina Aisyah RA : Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub akibat jima’ (pada  malamnya), lalu Baginda mandi (wajib) dan (meneruskan) berpuasa. — Hadis Muttafaqun ‘alaih
  • Soalan: Adakah sah mandi sekiranya mewarnakan rambut?
    Jawapan:  Sekiranya bahan yang digunakan sebagai pewarna rambut sama seperti inai iaitu boleh ditembusi air dan nipis maka sah mandi. Sekiranya tidak, boleh dipotong bahagian rambut yang. diwarnakan atau dilunturkan sehingga hilang zat yang menghalan air sampai, lalu dilaksanakan semula mandi
  • Soalan: Apakah perlu berwuduk terlebih dahulu sebelum mandi?
    Jawapan: Mengambil wuduk semasa mandi adalah sunat. Jika tersentuh kemaluan semasa mandi, wuduk terbatal tetapi mandi tersebut adalah sah.
  • Soalan: Perlukah mandi jika bermimpi tetapi tidak keluar air mani?
    Jawapan: Bagi seseorang yang bermimpi melakukan perbuatan seperti berjima’ dan seumpamanya, namun tidak keluar air mani maka dia tidak perlu untuk mandi.

Jenis-Jenis Mandi Sunat

Dalam Islam, terdapat beberapa keadaan yang umat Islam disunatkan untuk melakukan mandi sunat, antaranya seperti berikut:

  1. Mandi Sunat untuk pergi Solat Jumaat.
  2. Mandi Sunat Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.
  3. Mandi selepas berbekam.
  4. Mandi selepas memandikan mayat.
  5. Mandi selepas sembuh daripada penyakit gila.
  6. Mandi kerana hendak ber ihram.
  7. Mandi kerana hendak wukuf di Arafah.
  8. Mandi kerana hendak masuk Kota Madinah.

Kongsi Artikel