Tanda Dan Tarikh Malam Lailatul Qadar 2026 Di Malaysia

Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dan pengampunan. Setiap detiknya diisi dengan pelbagai amalan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT. Namun, di dalam bulan mulia ini terdapat satu tempoh sangat istimewa iaitu sepuluh malam terakhir Ramadhan. Sepanjang malam-malam ini terdapat satu malam dicari-cari dan diimpikan oleh setiap umat Islam iaitu Malam Lailatul Qadar.

Keistimewaan Malam Lailatul Qadar

Malam Lailatul Qadar diakui sebagai malam penuh keistimewaan. Ia disebut dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ini menunjukkan betapa istimewanya malam tersebut di mana amalan dilakukan pada malam ini akan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda.

Malam Lailatul Qadar sebagai malam di mana Al-Quran diturunkan. Keberkatannya bukan sahaja dirasai oleh individu tetapi juga oleh seluruh umat Islam di dunia.

Sila Rujuk: PERSOALAN AL-QURAN DITURUNKAN PADA MALAM NUZUL AL-QURAN ATAU MALAM LAILATULQADAR)

Salah satu keistimewaan malam berkenaan adalah peluang untuk mendapatkan pengampunan dosa. Pada malam tersebut, Allah SWT membuka pintu taubat seluas-luasnya bagi hamba-Nya yang ingin bertaubat dan memperbaiki diri. Mereka yang berdoa dan memohon ampun pada malam ini diyakini akan mendapat rahmat dan maghfirah dari Allah.

keistimewaan malam lailatul qadar

Tanda Dan Alamat Malam Lailatul Qadar

Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain sebagaimana diterangkan di dalam kitab Allah dan Hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT.

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3).

Rujukan:  Carilah Malam Lailatul Qadar

Ayat di atas iaitu ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun. Ia membawa maksud, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Malahan ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.

Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita bertarawih selama 83 tahun tanpa henti.

Tanda Malam Lailatul Qadar

Ada beberapa pendapat berhubung dengan tanda atau alamat malam Lailatulqadar antaranya seperti berikut:

Malam berkenaan terang dan nyaman serta tidak panas pada paginya.

  • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’ : “Sesungguhnya malam berkenaan bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam itu dan tidak terlalu panas serta tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya sehingga ke waktu pagi. [Umdah al-Qari 11/134]

Matahari terbit pada paginya tidak terang dan tidak panas.

  • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’ : Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. [Umdah al-Qari 11/134]
  • Daripada Ubai Bin Kaab R.A menyatakan daripada Rasulullah SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
  • Berdasarkan riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” [Umdah al-Qari 11/134]

10 Malam Terakhir Ramadhan

Sepuluh malam terakhir Ramadhan, khususnya malam Lailatul Qadar adalah waktu yang sangat berharga bagi setiap umat Islam. Ia merupakan peluang bagi mendapatkan keberkatan, pengampunan dan rahmat Allah SWT.

Sepanjang 10 malam terakhir Ramadan, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kita dan tidak melepaskan kesempatan untuk meraih malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Semoga kita semua dikurniakan kesempatan merasai malam Lailatul Qadar dan menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat diberikan.

Marilah kita berdoa agar Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang lebih baik selepasnya. Selamat menjalani sepuluh malam terakhir Ramadhan dengan amalan kebaikan.

10 malam terakhir ramadan

Tarikh Malam Lailatul Qadar 2026M-1447H

Berdasarkan Takwim Miladiah yang diterbitkan oleh JAKIM, tarikh malam 10 terakhir bulan Ramadhan bagi tahun 2026M/ 1447H adalah seperti berikut:

  • 10 Mac hingga 19 Mac 2026
Tarikh Dan Hari 10 Malam Terakhir Ramadhan 2026M-1447H
MacRamadanHariMalam Ke:
10 Mac 202621 Ramadan 1447HSelasa21
11 Mac 202622 Ramadan 1447HRabu22
12 Mac 202623 Ramadan 1447HKhamis23
13 Mac 202624 Ramadan 1447HJumaat24
14 Mac 202625 Ramadan 1447HSabtu25
15 Mac 202626 Ramadan 1447HAhad26
16 Mac 202627 Ramadan 1447HIsnin27
17 Mac 202628 Ramadan 1447HSelasa28
18 Mac 202629 Ramadan 1447HRabu29
19 Mac 202630 Ramadan 1447HKhamis30

senarai tarikh malam lailatul qadar 2026

Lampiran Doa Malam Lailatul Qadar

doa khusus malam lailatul qadar

Dianjurkan membaca doa ini pada 10 malam terakhir ramadhan

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, maka maafkanlah aku.”

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadan

Umat Islam digalakkan meningkatkan amalan ibadah mereka. Antara amalan yang digalakkan termasuklah:

  • Solat Malam (Tahajjud)
    Mendirikan solat malam dengan penuh khusyuk dan tawaduk. Ini merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  • Bacaan Al-Quran
    Menghabiskan waktu membaca dan memahami Al-Quran. Setiap huruf yang dibaca akan mendatangkan pahala berlipat ganda.
  • Berdoa
    Memohon kepada Allah SWT. Malam Lailatul Qadar adalah waktu mustajab bagi setiap doa dipanjatkan.
  • Zikir dan Tasbih
    Melakukan zikir dan tasbih.

Iktikaf: Diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW beriktikaf 10 hari terakhir Ramadhan sehingga Baginda wafat.

Qiamullail: iaitu bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.

  • Apabila Rasulullah SAW ditanya oleh ‘Aisyah RA apakah amalan yang patut dilakukan jika bertemu  dengan malam lailatul qadar ? Baginda SAW menyarankan supaya perbanyakkan doa mohon keampunan, dikurniakan syurga dan dijauhkan azab neraka.
  • Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) bersabda:”Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
  • Rasulullah SAW bersabda: “Carilah ia dalam sepuluh terakhir dan jika salah satu orang dari kamu adalah terlalu lemah atau tidak dapat beribadat, maka hendaklah dia tidak membenarkan dirinya daripada terlepas tujuh malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
  • Selain itu, kita digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.

Membaca Al-Quran: Para sahabat biasa mengkhatamkan Al-Qiran sehari semalam, antaranya Usman bin Affan, Tamim, Said dan Zubair selama Ramadhan.

Solat: di antara solat yang terlibat dalam qiamullail adalah Solat Tahajjud, Solat Taubat, Solat Hajat, Solat Tasbih dan sebagainya.

Bersedekah: dengan penuh keikhlasan.

Yakinlah apabila seseorang itu bersedia setiap malam Ramadhan dengan ibadat, sekurang-kurangnya bersolat jemaah setiap waktu, Maghrib, Isyak dan Subuh, kata ulama dia pasti memperoleh fadilat malam Lailatulqadar. Tarikh berlakunya Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila atau masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakiNya.

amalan lailatul qadar

Tips Berdoa Qiamulail Lailatul Qadar

Bahagian 1: Pengampunan Dosa

  • Minta ampun keatas dosa2 diri sendiri.
  • Minta ampun keatas dosa ibu bapa.
  • Minta ampun keatas dosa pasangan.
  • Minta ampun keatas dosa anak-anak.
  • Minta ampun keatas dosa keluarga (sanak saudara adik beradik).
  • Minta ampun keatas dosa guru / ustaz / ustazah.
  • Minta ampun keatas dosa muslimin dan muslimat (sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia).

Bahagian 2: Keperluan Masa Kehidupan

  • Dimurahkan rezeki.
  • Diberi sakinah (ketenangan) dalam keluarga.
  • Anak-anak diperlihara oleh Allah.
  • Minta rezeki diberkati.
  • Dijauhkan dari musibah, bala bencana, penyakit.
  • Dijauhkan dari ujian yang tak mampu untuk kita tanggung.
  • Minta hati anak-anak kita tidak berpecah belah.
  • Minta orang lain kasih kepada keluarga dan diri kita.
  • Dijauhkan dari orang lain dengki khianat, iri hati, cemburu kepada kita.

Bahagian 3: Urusan Ketika Kematian

  • Mohon Mati dalam husnul khatimah
  • Mohon Mati dijauhkan dari fitnah
  • Mohon Dapat mengucap syahadah “La ilaha illallah, muhammadur rasulullah”
  • Minta mati sedang dalam beribadah

Bahagian 4: Alam Barzakh

  • Jadikan kuburku nanti dari taman-taman syurga.
  • Jangan jadikan kuburku dari lubang-lubang api neraka.
  • Ya Allah, aku takut gelap (terangkanlah kuburku).
  • Ya Allah, aku takut sempit (luaskanlah kuburku).
  • Ya Allah Engkau lapangkanlah kuburku sejauh mata memandang.
  • Engkau berikanlah rezeki pada ku didalam kubur nanti.
  • Engkau bukakanlah satu pintu nampak tempat dudukku di dalam syurga.

Bahagian 5: Ketika di Padang Mahsyar

  • Ya Allah, selamatkanlah aku di padang mahsyar.
  • Jadikan aku duduk di maqam mahmudah (kedudukan yang terpuji).
  • Jadikan aku orang yang duduk dibawah perlindungan arashmu.
  • Ya Allah, jangan Engkau seksa aku di padang mahsyar.
  • Berikanlah suratan amal dari tangan kanan.
  • Padamkan dosa-dosaku di dalam kitab-kitab amal.
  • Jangan Engkau tunjuk/tayang dosa-dosaku yang dulu aku lakukan di tayangan amal.
  • Tutup dan lindungilah aib-aibku, dosa-dosaku dan kesilapanku dulu.
  • Beratkan timbangan amal di sebelah kananku.
  • Masukkan aku di dalam golongan yg masuk syurga tanpa hisab

Bahagian 6: Lintasan Titian Sirat

  • Permudahkanlah aku milintasi titian sirat.
  • Jangan jatuhkanku ke dalam lubang neraka ketika melintas titian sirat.
  • Ya Allah, tolonglah aku ketika melintas titian sirat.
  • Ya Allah, percepatkanlah aku melintas titian sirat sepantas kilat.

Bahagian 7: Masuk Syurga Allah

  • Ya Allah, kurniakan aku Syurga Firdaus.
  • Bangkitkan aku bersama Nabi Muhammad SAW di Syurga Firdaus.
  • Berilah aku dapat berganding, berdamping dengan Nabi Muhammad SAW.
  • Ya Allah, jauhkanlah aku dari azab api neraka.

cari malam lailatul qadar

Hadith Perbanyakkan Ibadah Di Malam Lailatul Qadar

Berikut adalah bagaimana Rasulullah SAW dan salaf as-soleh beribadat:

  • Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ ، أَحْيَا اللَّيْلَ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri isterinya)” [Riwayat Muslim: 2015]

  • Daripada ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh akhir (Ramadan) melebihi kesungguhannya pada bulan-bulan yang lain” [Riwayat Ahmad]

  • Imam Sufyan al-Thauri Rahimahullah berkata:

أحب إلي إذا دخل العشر الأواخر أن يتهجد بالليل و يجتهد فيه و ينهض أهله و ولده إلى الصلاة إن أطاقوا ذلك

Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh akhir Ramadan, aku lebih suka untuk melakukan tahajjud pada waktu malam dan bersungguh-sungguh melakukannya. Sufyan al-Thauri Rahimahullah juga akan mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan solat seandainya mereka mampu melakukannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 160).

Secara umumnya tiada ibadah khusus yang ditetapkan. Bagaimanapun, umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir, berdoa, memohon keampunan dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut.

Kongsi Artikel

Azam Hairi

Azam Hairi

Penulis utama laman web mysumber dengan pengalaman lebih 5 tahun dalam menghasilkan kandungan digital berkualiti. Berkomited menyampaikan maklumat sahih, relevan dan terkini bagi memastikan setiap pembaca mendapat info yang tepat dan bermanfaat.

"Seorang penulis yang yakin idea hebat akan datang. Cuma tidak pasti bila."