Media sosial bukan sahaja menjadi platform berkongsi kisah dan pendapat malah telah melahirkan satu profesion baharu dikenali sebagai Influencer atau Pempengaruh media sosial. Individu yang mempunyai pengaruh besar di platform seperti Instagram, TikTok, YouTube, Facebook dan lain-lain ini kini menjadi pemantauan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).
Garis Panduan Cukai Pendapatan Pempengaruh
LHDN telah mengeluarkan Garis Panduan baharu berkaitan layanan cukai ke atas pendapatan pempengaruh media sosial atau digital sekali gus memberi kesan kepada influencer terhadap penerimaan bayaran iklan, ulasan berbayar, jualan produk digital hingga kepada pendapatan daripada penajaan dan jualan akaun media sosial.
Semuanya kini menuntut pengiktirafan sebagai pendapatan yang sah dan tertakluk kepada cukai. LHDN melalui garis panduan ini, ingin memastikan bahawa semua aktiviti yang menjana pendapatan melalui media sosial diiktiraf dan dilaporkan dengan betul bagi mengelakkan ketirisan hasil dan memastikan keadilan cukai terhadap semua pihak.

Isi Kandungan Garis Panduan Baharu
Garis panduan baharu boleh disemak di Portal Rasmi LHDN yang memperincikan kewajipan influencer mengisytiharkan semua bentuk pendapatan termasuk:
- Bayaran tunai dan bukan tunai.
- Barangan percuma dan hadiah.
- Manfaat dan diskaun yang diterima hasil aktiviti promosi, ulasan atau pemasaran di media sosial.
- Sila rujuk: Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Pendapatan Pempengaruh Media Sosial
- Sila rujuk: Ekonomi Digital Influencer
Garis panduan baharu LHDN ini menandakan satu titik perubahan penting dalam dunia influencer di Malaysia. Ia menunjukkan bahawa pendapatan dari dunia digital dan media sosial tidak lagi boleh diabaikan dan perlu dilaporkan serta diuruskan secara sah dan bertanggungjawab.
Kategori Influencer Dan Bentuk Pendapatan
Garis panduan ini turut memperincikan dua kategori utama influencer:
- Pempengaruh Individu
Termasuk selebriti, profesional, pelajar dan pencipta kandungan. - Pempengaruh Berasaskan Objek
Seperti watak animasi, logo jenama atau objek yang mempunyai pengikut dan dikendalikan oleh individu atau syarikat.
Pendapatan yang diperoleh oleh influencer merangkumi pelbagai bentuk, antaranya:
- Pendapatan dari platform media sosial seperti iklan, bayaran per klik, komisen langganan dan pendapatan dari Google AdSense, YouTube, Facebook dan Instagram.
- Bayaran sebagai duta produk atau ulasan berbayar sama ada dalam bentuk tunai, produk percuma, baucar, diskaun atau manfaat lain yang mempunyai nilai wang.
- Jualan produk fizikal dan digital termasuk e-buku, lagu digital, kursus dalam talian dan sebagainya.
- Pendapatan dari jualan akaun media sosial atau ID di platform tertentu.
- Royalti dari penggunaan watak, imej atau nama pempengaruh oleh pihak ketiga.
- Pendapatan daripada aktiviti lain seperti ceramah, seminar, podcast, konvensyen dan bayaran kehadiran.
Kewajipan Pematuhan Cukai
Menurut garis panduan ini, semua pendapatan influencer yang bermastautin di Malaysia dan aktiviti berkaitan di Malaysia atau walaupun di luar negara tetapi diterima di Malaysia, tertakluk kepada cukai. Ini termasuk:
- Pendapatan yang dikreditkan ke akaun bank di Malaysia.
- Pendapatan dari aktiviti yang berkaitan profesion di Malaysia.
Pengiraan cukai juga memperlihatkan bahawa influencer perlu menuntut perbelanjaan yang berkaitan secara sah dan munasabah seperti kos penggambaran, penyuntingan, yuran internet dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perbelanjaan peribadi dan aset modal seperti kamera dan telefon hanya boleh dituntut melalui Elaun Modal (Jadual 3 ACP).

Rekod Pengurusan
Influencer wajib menyimpan rekod pendapatan, perbelanjaan dan dokumen sokongan selama tujuh tahun bermula dari akhir tahun taksiran. Ini penting bagi memudahkan proses pengiraan dan pengesahan cukai serta mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.
Saluran Rujukan Dan Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lengkap dan terkini, sila layari portal rasmi LHDN atau hubungi talian Hasil Care Line di 03-8911 1000.


