Dalam usaha memperkukuh pendapatan negara dan mempertingkatkan kestabilan fiskal jangka sederhana, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) telah menegaskan bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas sektor kewangan hanya melibatkan perkhidmatan tertentu yang berasaskan yuran dan komisen.
Penjelasan ini penting bagi memastikan rakyat dan pihak berkepentingan memahami secara jelas skop dan implikasi cukai ini, selain mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul mengenai perkhidmatan kewangan yang tidak tertakluk kepada SST.
Pelaksanaan SST 8% Ke Atas Sektor Kewangan
Pelaksanaan SST 8% ini merupakan sebahagian daripada pelan kerajaan yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025, dengan matlamat utama untuk memperluaskan sumber pendapatan negara. Pendekatan ini juga selari dengan usaha mengukuhkan kedudukan fiskal Malaysia sekaligus menyokong program pembangunan ekonomi negara secara mampan. Untuk sektor kewangan, SST ini tidak melibatkan perkhidmatan asas yang digunakan oleh rakyat secara umum seperti akaun simpanan, akaun semasa atau pinjaman perumahan.
Skop Cukai Dan Perkhidmatan Yang Dikenakan SST 8%
Mulai 1 Julai 2025, semua bank di Malaysia akan mengenakan SST sebanyak 8% ke atas perkhidmatan kewangan tertentu yang berasaskan yuran dan komisen. Perkhidmatan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
- Pemindahan dana rentas sempadan
- Transaksi pelaburan
- Pengeluaran laporan khas
- Perkhidmatan nasihat kewangan tertentu
- Yuran perkhidmatan
Perlu diingatkan bahawa SST ini tidak melibatkan perkhidmatan asas perbankan yang menjadi keperluan harian rakyat Malaysia. Sebagai contoh, urusan seperti membuka akaun simpanan atau semasa, pengeluaran tunai ATM, pembayaran bil, serta pemindahan wang melalui platform seperti DuitNow, IBG atau QR code, tidak akan dikenakan SST.
Perkhidmatan Dikecualikan Daripada SST
Sebaliknya, kerajaan turut memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan cukai ini. Oleh itu, beberapa perkhidmatan kewangan yang dianggap sebagai keperluan asas dan sering digunakan oleh rakyat akan dikecualikan daripada SST. Antaranya adalah;
- Akaun simpanan dan akaun semasa bank, termasuk perbankan konvensional dan Islam.
- Urus niaga pasaran modal seperti keuntungan pertukaran asing.
- Caj penalti dan yuran tertentu, contohnya caj penalti, kiriman wang keluar, caj pemindahan masuk kepada ejen kiriman wang asing.
- Pembiayaan berkaitan eksport.
- Perkhidmatan pembrokeran atau penaja jamin insurans hayat, perubatan, keluarga atau takaful.
- Transaksi perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
- Perkhidmatan patuh syariah untuk Bursa Malaysia dan Labuan.
- Yuran kad kredit yang dikenakan secara sedia ada.
Pelaksanaan SST sebanyak 8% ke atas sektor kewangan adalah terhad kepada perkhidmatan berasaskan yuran dan komisen yang lebih bersifat profesional dan bukan untuk perkhidmatan asas yang digunakan oleh rakyat Malaysia secara umum. Kerajaan melalui MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggalakkan orang ramai dan pihak berkepentingan merujuk maklumat rasmi bagi memastikan kefahaman yang tepat mengenai skop dan pelaksanaan cukai ini.
Implikasi Terhadap Rakyat Dan Pengguna
Secara ringkas, pelaksanaan SST 8% ini tidak akan memberi kesan kepada perkhidmatan asas yang digunakan harian seperti membuka akaun bank, pengeluaran tunai, pemindahan wang melalui ATM atau pembayaran bil secara online. Perkhidmatan ini akan kekal tanpa sebarang cukai tambahan. Sebaliknya, SST ini lebih tertumpu kepada perkhidmatan kewangan yang bersifat profesional dan berasaskan yuran seperti perkhidmatan pelaburan, nasihat kewangan, laporan khas dan transaksi rentas sempadan.
Pihak pengguna tidak perlu risau mengenai kenaikan kos harian mereka kerana SST ini tidak dikenakan ke atas perkhidmatan seperti pengeluaran ATM, pembayaran bil atau penggunaan kad debit dan e-wallet. Ini adalah langkah kerajaan untuk memastikan bebanan kewangan rakyat tidak bertambah sekaligus mengekalkan keberkesanan perkhidmatan perbankan harian yang cukup penting dalam kehidupan seharian.
Dengan penjelasan ini, diharapkan rakyat Malaysia dapat memahami dan menerima pelaksanaan SST 8% ini sebagai langkah strategik kerajaan dalam mengukuhkan kewangan negara sekaligus memastikan keseimbangan antara keperluan fiskal dan kebajikan rakyat terpelihara. Sebarang maklumat lanjut sila layari laman sosial Facebook Rasmi Kementerian Kewangan.