Tempat & Tarikh Tengok Anak Bulan Puasa Ramadhan 2026

Bulan Ramadan adalah bulan paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam. Ia bukan sahaja bulan penuh keberkatan dan kemuliaan tetapi juga bulan di mana umat Islam menunaikan ibadah puasa sebagai salah satu kewajipan dalam rukun Islam. Sebagai makluman, program mencerap anak bulan Ramadan bagi menentukan tarikh permulaan puasa Ramadan di Malaysia dijadualkan pada lewat petang hari Selasa, 17 Februari 2026 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

Mencerap Anak Bulan Ramadan 2026

Hilal atau anak bulan boleh dilihat pada hari rukyah iaitu hari kebolehnampakan yang telah ditetapkan iaitu pada 29 Syaaban pada waktu matahari belum terbenam. Sekiranya terdapat syarat-syarat hilal (anak bulan kelihatan), ia akan dipersetujui kedudukan hilal telah ada.

Cara Menentukan Anak Bulan Ramadan

Penentuan anak bulan merupakan proses dilakukan oleh para ulama dan ahli Falak dengan menggunakan berbagai kaedah iaitu melalui pandangan mata kasar atau menggunakan teodolite dan teleskop untuk proses pengamatan Hilal.

Anak bulan atau Hilal merupakan fasa bulan yang paling nipis dan kurang bercahaya. Ia akan muncul selepas bulan mengalami fasa ijtimak atau fasa bulan gelap (new moon).

Dalam menentukan awal bulan Ramadhan terdapat tiga amalan yang berbeza iaitu:

  1. Rukyah : mencerap anak bulan semata-mata
  2. Hisab Falak : kiraan hari semata-mata
  3. Rukyah dan Hisab : menggunakan ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.

Malaysia merupakan salah satu negara yang mengamalkan praktis penentuan awal bulan melalui kaedah rukyah dan hisab penyelesaian jalan tengah yang dilihat lebih hampir kepada kehendak syarak.

Kriteria Imkanur Rukyah

Kriteria imkanur rukyah mula diperkenal ketika Muktamar Hilal bagi penentian permulaan bulan Hijriah di Istanbul pada 26-29 November 1978 dengan dua ketetapan iaitu:

  1. Hilal berada pada ketinggian tidak kurang dari 5 darjah (5°) ketika matahari terbenam
  2. Jarak lengkung hilal ke matahari ketika matahari terbenam tidak kurang dari 8 darjah (8°)

Proses Penetapan Tarikh Puasa Ramadhan

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengumumkan tarikh permulaan puasa pada malam yang sama selepas cerapan anak bulan dilakukan. Pengisytiharan ini akan disiarkan melalui saluran radio dan televisyen utama di negara kita. Kebiasaannya, pengisytiharan ini akan dibuat sehari sebelum bermulanya puasa, memberikan kesempatan kepada umat Islam membuat persiapan yang diperlukan.

Pengisytiharan tarikh mula puasa Ramadan ini akan ditayangkan setelah waktu Maghrib dan sebelum waktu Isyak. Ini adalah kerana, setelah diumumkan bahawa esok atau hari berikutnya merupakan hari pertama puasa, umat Islam akan mula mengerjakan Solat Sunat Terawih pada malam tersebut. Solat ini adalah salah satu cara untuk memohon keberkatan dan rahmat Allah sebelum memulakan ibadah puasa.

Cara Menetapkan Tarikh Puasa Ramadan

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara untuk menetapkan tarikh permulaan puasa Ramadan adalah melalui dua kaedah utama iaitu Rukyah (melihat anak bulan) dan Hisab (perhitungan astronomi).

Rukyah adalah cara melibatkan pemerhatian secara langsung terhadap anak bulan manakala Hisab melibatkan pengiraan berdasarkan kalendar dan pengetahuan astronomi. Kedua-dua kaedah ini saling melengkapi dan digunakan bagi memastikan ketepatan dalam penetapan tarikh puasa.

Lokasi Mencerap Anak Bulan Ramadan 2026

Berikut adalah senarai lokasi atau tempat program cerapan di seluruh negeri di Malaysia bagi melihat anak Bulan Ramadan iaitu pada lewat petang hari Selasa, 17 Februari 2026 Masihi bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.

  1. Perlis
    Kuala Sungai Baru, Simpang Empat
  2. Kedah
    Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda
    Pemandangan Indah, Pulau Langkawi
    Menara Alor Setar, Alor Setar
  3. Pulau Pinang
    Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh
  4. Perak
    Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong
  5. Kuala Lumpur
    Menara Kuala Lumpur
  6. Selangor
    Bukit Melawati
    Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat
    Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam
  7. Putrajaya
    Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
  8. Negeri Sembilan
    Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson
  9. Melaka
    Kompleks Falak Al-Khawarizmi
    Kampung Balik Batu
    Tanjung Bidara
  10. Johor
    Pontian Kecil
  11. Pahang
    Bukit Tanjong Batu, Nenasi
    Gunung Berincang, Cameron Highlands
    Bukit Pelindung, Kuantan
    Menara Kuantan 188
  12. Terengganu
    Bukit Besar, Kuala Terengganu
    Bukit Geliga, Kemaman
    Pulau Perhentian, Besut
    Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu
  13. Kelantan
    Bukit Peraksi, Pasir Putih
    Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai
    Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu
  14. Sarawak
    Tanjung Lubang, Miri
    Teluk Bandung, Kuching
    Tanjung Batu, Bintulu
  15. Sabah
    Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan
    Labuan
    Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan

Kongsi Artikel

Azam Hairi

Azam Hairi

Penulis utama laman web mysumber dengan pengalaman lebih 5 tahun dalam menghasilkan kandungan digital berkualiti. Berkomited menyampaikan maklumat sahih, relevan dan terkini bagi memastikan setiap pembaca mendapat info yang tepat dan bermanfaat.

"Seorang penulis yang yakin idea hebat akan datang. Cuma tidak pasti bila."